Oleh Firdaus Mul
18 Oktober 2022, 15:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

“Hilang bahasa, lenyaplah bangsa” dan itulah peribahasa yang cukup menggambarkan kemegahan yang ada pada sesuatu bahasa. Dalam sejarah peradaban dunia juga membuktikan kehebatan bahasa Melayu pada suatu ketika dahulu telah terserlah apabila bahasa Melayu diangkat dan dijadikan sebagai lingua franca.

Bahasa Melayu juga tercatat dalam lembaran sejarah, yakni melalui satu proses asimilasi yang cukup kukuh sehingga mencapai fasa pemantapan. Bahkan, turut diakui bahawa darjat bahasa Melayu ini tidak ada tolok bandingnya apabila terpateri dalam Perlembagaan Persekutuan di bawah Akta Bahasa Kebangsaan Perkara 152.

Bahasa secara umumnya dapat ditakrifkan sebagai satu instrumen ataupun alat pengucapan manusia. Tanpa bahasa, manusia tidak mungkin dapat berkomunikasi dengan manusia yang lain. Takrifan ini selari dengan definisi yang tercatat dalam Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM), Dewan Bahasa dan Pustaka, yang mendefinisikan bahasa sebagai sistem lambang bunyi suara yang digunakan dalam sesuatu kelompok manusia untuk melahirkan perasaan dan fikiran. Oleh yang demikian, bahasa memainkan peranan yang sangat penting dalam kehidupan seharian manusia.

Pilihan raya pula merujuk satu sistem pemilihan pemerintah, iaitu rakyat diberi kuasa dan pilihan untuk menentukan pemimpin di negara mereka melalui proses pengundian. Parti politik yang memenangi pilihan raya akan membentuk kerajaan dan mentadbir negara selama tempoh yang telah ditetapkan. Maka itu, kepimpinan politik ini perlu menunjukkan hasil yang cemerlang dalam pemerintahan agar mereka ini terus menjadi pilihan rakyat. Sistem pilihanraya ini bukanlah sesuatu yang asing bagi negara yang mengamalkan sistem demokrasi. Sistem demokrasi ini membentuk keadilan bagi rakyat dan menjamin keberhasilan kepimpinan pemerintahan.

Jalinan yang begitu utuh dapat dilihat antara bahasa dengan pilihan raya. Bukan sekadar pilihan raya di dalam negara ini tetapi di negara-negara luar juga menunjukkan satu hipotesis yang sama. “Semakin cekap dan mahir ahli-ahli politik dalam sesebuah parti politik, semakin banyak sokongan yang mereka akan raih dalam pilihan raya”. Kesemua ini terbukti dalam siri-siri pilihan raya sebelum ini, iaitu kita dapat melihat bagaimana bahasa memainkan peranan yang penting dalam penulisan dan pengucapan ahli-ahli politik untuk meraih kemenangan daripada rakyat dalam pilihan raya.

Selain daripada sumbangan dan pengaruh ketika berada dalam pemerintahan, sesebuah parti politik itu dinilai daripada kecekapan dan kemahiran untuk menyampaikan pemikiran, perjuangan dan jaminan untuk diberikan sokongan. Justeru, untuk menyampaikan pemikiran, perjuangan dan pemikiran, seseorang ahli politik itu memerlukan kemahiran berbahasa yang kukuh untuk disampaikan kepada rakyat secara berkesan.

Misalnya, hasil penggunaan bahasa dalam pilihan raya dapat dilihat melalui penulisan manifesto. Manifesto ini ialah janji kepada rakyat, bahkan kita sendiri dapat melihatnya. Ada pelbagai manifesto yang ditawarkan kepada rakyat jelata. Manifesto yang berkesan dan menjadi pilihan adalah manifesto yang dibina menggunakan bahasa secara berkesan untuk memujuk rakyat sebagai pengundi.

Sementara itu juga, ketika perkembangan media sosial mula menguasai kehidupan rakyat jelata, peperangan persepsi antara parti-parti politik di Malaysia mula tercetus menjelang pilihan raya. Pelbagai konflik dan serangan balas yang berlaku. Kesemua ini dibentuk dengan seni pemakaian bahasa yang berkesan. Malahan yang lebih menarik, seni pemakaian bahasa untuk memenangi perang persepsi ini juga dapat dilihat.

Sekalipun ada pelbagai kritikan dan kecaman, bahasa tetap digunakan untuk memainkan peranan yang penting bagi membentuk penjelasan. Kelangsungan sesebuah parti ataupun seseorang ahli politik bukan hanya bergantung pada pengaruh dan jumlah ahli di dalam partinya tetapi kelangsungan ini dibentuk melalui seni berpolitik yang berkesan untuk membentuk diplomasi dan persepsi rakyat. Kesemua ini disampaikan melalui komunikasi, yakni komunikasi yang berkesan adalah melalui seni pemakaian bahasa yang cekap dan berjaya membentuk keyakinan rakyat selaku kelompok sasaran.

Kesinambungan penggunaan bahasa secara berkesan ini juga dapat dilihat setelah ahli-ahli politik ini memenangi pilihan raya. Kredibiliti sebagai pemimpin bukan hanya dilihat daripada jumlah undi yang diraih atau dasar-dasar pembangunan yang diutarakan. Kredibiliti ini turut terserlah dalam penulisan dan pengucapan mereka. Bukan sahaja dengan seni penggunaan bahasa yang berkesan bukan dapat menjamin kemenangan dalam pilihan raya, malah selepas mencapai kemenangan, penggunaan seni bahasa yang berkesan ini diaplikasikan secara konsisten untuk mengekalkan diplomasi dan persepsi bersama-sama rakyat.

Di samping itu, bahasa turut memainkan peranan yang penting dalam pengucapan ketika kempen pilihan raya. Dalam kempen pilihan raya, kita juga dapat melihat kecekapan pemakaian bahasa yang digunakan oleh ahli-ahli politik yang bertanding untuk membentuk satu kepercayaan kepada pengundi. Contohnya dalam pelbagai kaedah dan cara yang digunakan ahli-ahli politik ketika dalam proses berkempen secara fizikal ataupun melalui platform media sosial.

Walau bagaimanapun, pemakaian bahasa yang berkesan dan meyakinkan sahaja yang akan menjadi pilihan pengundi. Di sinilah pentingnya kemuncak pengaplikasian bahasa yang berkesan digunakan untuk memujuk pengundi. Sebagai anak kelahiran Sabah, penulis melihat satu daripada ciri keistimewaan yang ada dalam pilihan raya yang berlangsung, iaitu dari aspek bahasa. Bahasa dan dialek digunakan sebagai satu alat komunikasi untuk berkempen. Keberkesanan penggunaan bahasa sukuan dan dialek menjadikan seseorang ahli politik itu lebih dekat dengan rakyatnya. Oleh sebab itu, bahasa dan pilihan raya tidak boleh dipisahkan. Seni pemakaian bahasa yang cekap dan berkesan dapat membentuk satu ikatan di antara ahli politik yang bertanding dengan rakyat jelata sebagai pengundi.

Kehadiran “pengubah rentak” atau pengundi baharu khususnya pengundi muda (18 tahun ke atas) di Malaysia menjadi satu cabaran besar buat parti-parti politik yang bakal bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) yang bakal diadakan nanti (hari mengundi). Perubahan dalam landskap politik negara pada tahun ini juga menyebabkan analisis kemenangan parti politik tidak dapat diramalkan. Strategi yang dibina oleh parti-parti politik perlu membentuk satu perubahan yang kukuh. Selain daripada strategi untuk mengekalkan kepercayaan dan sokongan daripada kelompok pengundi veteran, mereka juga perlu merangka satu strategi politik yang relevan dan berkesan, hatta yang melibatkan kelompok pengundi baharu.

Dianggarkan kehadiran “pengubah rentak” dalam pilihan raya yang bakal berlangsung nanti akan dapat menyaksikan pembaharuan strategi politik digunakan untuk mendapatkan sokongan daripada pengundi-pengundi baharu. Pada masa yang sama, seni pemakaian bahasa yang diterampilkan juga secara tidak langsung turut melibatkan isu-isu golongan pengundi-pengundi baharu.

Keunikan yang ada dalam PRU pada kali ini turut terserlah apabila melihat kehebatan parti-parti politik dalam pengaplikasian kecekapan berbahasa untuk menyampaikan pemikiran, perjuangan dan jaminan kepada rakyat. Tanpa pengaplikasian kecekapan berbahasa ataupun seni penggunaan bahasa dalam penulisan dan pengucapan yang berkesan, sudah tentu sesebuah parti politik sukar untuk memperoleh kemenangan.

Konklusinya, bahasa dan pilihan raya mempunyai satu pertalian yang cukup kukuh. Tanpa penekanan terhadap seni penggunaan bahasa yang cekap dan berkesan sudah tentu pemikiran, perjuangan dan jaminan parti-parti politik tidak dapat disampaikan kepada rakyat untuk difikirkan dan dipertimbangkan. Keunikan pilihan raya dalam negara ini turut tidak dinafikan dengan kepelbagaian parti politik dapat disaksikan kepelbagaian seni berbahasa yang digunakan untuk mengetengahkan aspirasi kepada rakyat jelata. Bahasa itu pemula lidah, penyambung niat manusia. Tanpa bahasa, manusia tidak akan mengenali manusia lainnya.

 

 

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.