1 November 2022, 09:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Semasa melayari laman web Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) baru-baru ini, pandangan penulis terhenti sebentar pada bahagian info terkini yang mempamerkan poster Pentas Akhir Pencarian Duta Bahasa,  dengan tertera senarai nama pendek yang bertanding pada peringkat akhir. Pertandingan  yang sudah berlangsung pada September 2022 lepas adalah anjuran DBP Wilayah Selatan berserta dengan ganjaran hadiah wang tunai di samping sijil dan hadiah sampingan lain. Terdapat pelbagai syarat yang diletakkan oleh pihak penganjur kepada calon yang menyertai pertandingan tersebut. Satu usaha yang berani daripada DBP untuk terus mencari legasi penyambung bahasa kebangsaan negara.

Secara keseluruhannya, kredibiliti pencarian duta bahasa ini mestilah cekap dari aspek kognitif, psikomotor dan juga afektif serta perlu menguasai bidang bahasa dan sastera. Tidak dinafikan bahawa kriteria ini sangat mencabar, sesuai dengan fungsinya sebagai duta bahasa. Duta bahasa ialah wakil sah yang dilantik oleh sesebuah kerajaan atau institusi yang bertanggungjawab memperkasakan bahasa Melayu sama ada di dalam negara mahupun di luar negara.

Duta bahasa ialah individu yang mesti berbangga berbahasa Melayu dan menjiwai sastera Melayu serta mempunyai keyakinan, sentiasa bersikap komunikatif dan berketrampilan untuk menyebatikan bahasa dan sastera Melayu dalam kalangan masyarakat agar menggunakan dua bidang yang berkolerasi ini dengan tepat dan betul.

Sebelum ini, Zuraini Jusoh (2021) pernah menulis artikel tentang “Malu Jadi Duta Bahasa Melayu?” sebagai menangkis pandangan segelintir masyarakat yang memperlekeh kemampuan bahasa Melayu di persada antarabangsa. Kini, keluarga Malaysia boleh berasa “duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi” apabila Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob telah melakar nama sebagai ketua tertinggi kerajaan yang pertama berucap sepenuhnya dalam bahasa Melayu di pentas Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-77, New York, Amerika Syarikat. Beliau disambut selayaknya sebagai adiwira negara dan sekali gus menjadi contoh sebagai duta bahasa yang berpegang pada jati diri bangsa.

Hal ini juga telah menarik perhatian tokoh bahasa negara. Antaranya termasuklah YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan dan YBhg. Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim, yang mengekspresikan rasa gembira dengan kesungguhan Perdana Menteri melaksanakan kata. Selain itu, penutur bukan asli di luar negara juga tidak ketinggalan mengucapkan syabas dan tahniah.

Misalnya, Dr. Victor A Pogadaev, sejarawan dan penterjemah bahasa Rusia dan Koh Young Hun, Profesor Jabatan Pengajian Melayu Indonesia di Universiti Hankuk, Korea Selatan. Kedua-dua ahli akademik ini menyatakan bahawa Perdana Menteri Malaysia telah mempromosikan dan memartabatkan bahasa Melayu di mata dunia selari dengan diplomasi kebudayaan yang menjadi antara inti pati dalam kerangka Dasar Luar Negeri Malaysia yang dilancarkan pada bulan Disember 2021.

Melihat perkembangan positif ini, DBP ialah institusi yang paling layak diangkat menjadi peneraju untuk melatih dan seterusnya melahirkan kelompok yang penulis gelarkan sebagai “duta muda bahasa”. Kerjaya sebagai duta muda bahasa perlu dicipta untuk generasi muda yang berkelayakan. Kita tidak ingin pencarian duta bahasa terhenti begitu sahaja dan hanya berbentuk pertandingan semata-mata.

Lanjutan hal itu memerlukan dokongan, komitmen dan kegigihan yang berterusan serta ijtihad untuk melahirkan duta muda bahasa yang berkaliber. Bagi mengenal pasti calon duta muda bahasa, tahap penilaian kelayakan, temu duga secara personal, ujian kecekapan kognitif, psikomotor dan afektif pada setiap fasa selain ujian lapangan perlu dilaksanakan. Penilaian ini perlu dikendalikan oleh kumpulan profesional yang berpengalaman dalam bidang bahasa dan sastera.

Cabaran ini bagi memastikan bahawa duta muda bahasa yang dilantik ialah seorang yang tepat dan dapat melaksanakan tugas besar negara di samping menghayati dan mempraktikkan bahasa dan sastera Melayu. Dengan cara itu, gred jawatan dan skim gaji juga perlu berpatutan, selaras dengan tugas yang diberikan. Dari sudut pandang yang lain, kerjaya ini dapat menyanggah sentimen berpanjangan ketidak boleh pasaran bidang bahasa dan sastera.

Pelantikan duta muda bahasa untuk memasyarakatkan penggunaan bahasa dan sastera juga akan meningkatkan semangat dan keterujaan generasi muda mendalami kedua-dua bidang ini. Kesannya, generasi muda akan dapat melihat kepentingan dan perkaitan antara bidang ini dalam kehidupan seharian. Penerangan ini sememangnya membutuhkan aplikasi digital, seiring dengan kepesatan teknologi global dan gaya penyampaian juga perlu berbentuk hiburan tetapi kaya dengan ilmu. Di sinilah pendekatan dan gaya kemahiran komunikasi pemujukan duta muda bahasa akan teruji.

Duta muda bahasa perlu menyedarkan dan mampu mengajak golongan sasaran bahawa bahasa dan sastera adalah bidang yang berupaya mencipta peluang pekerjaan selain dapat membina karakter diri dan juga berfungsi sebagai bahasa perpaduan. Kerisauan penulis ini timbul sedikit dalam hal ini apabila generasi muda mula berkiblatkan jati diri dan mengagungkan bahasa dari negara luar. Justeru itu, duta muda bahasa perlu bersifat mampan, terbuka serta kukuh daya tahan emosi dan fizikal.

Selain melatih generasi muda yang berumur sekitar 18 tahun hingga 30 tahun, duta muda bahasa juga boleh dilantik dalam kalangan guru-guru bahasa Melayu yang profesional. Pada tahun 2011, Malaysia telah menerima kehadiran guru-guru import untuk mengajar bahasa Inggeris di sekolah-sekolah perdana. Oleh itu, sebagai timbal balik, penghantaran guru bahasa Melayu yang profesional ke luar negara, terutamanya negara yang memerlukan pengajaran bahasa Melayu perlu direalisasikan.

Usaha ini sebagai tanda sokongan mengantarabangsakan bahasa Melayu. Dengan adanya program bahasa Melayu di institusi luar negara, sudah tentu akan menarik minat pelajar asing untuk belajar bahasa ibunda dan seterusnya menyambung pengajian di Malaysia. Namun begitu, usaha ini memerlukan iltizam dan juga persediaan kewangan dan fizikal yang rapi kerana melibatkan penajaan kepada pelajar asing selain imbuhan atau insentif khas dan guna tenaga guru-guru profesional.

Namun begitu, kita perlu positif dalam perkara ini kerana usaha ini akan dapat menyebarkan bahasa tercinta sama ada di dalam atau di luar lingkungan diaspora Melayu. Dalam hal ini, tuntutan peribahasa Melayu seperti “bersatu kita teguh, bercerai kita roboh” perlu ditanamkan di setiap kalbu keluarga Malaysia.

Sementara itu, duta muda bahasa juga dapat diperpanjangkan kepada golongan menteri dan pegawai kanan di kementerian yang berkepentingan. Hal ini kerana menteri ialah imej bagi rakyat. Kita tidak ingin pemikiran masyarakat dibelenggu dengan berita yang bertajuk seperti “Penguasaan Bahasa Melayu Menteri Masih Banyak Perlu Diperbaik”. Oleh itu, menteri perlu turun padang dan bersama-sama menggunakan bahasa Melayu dengan betul.

Mungkin juga nama duta muda bahasa dapat digantikan dengan nama yang lebih effektif dan sejajar dengan jawatan yang disandang. Apabila pihak menteri menunjukkan contoh yang baik, tidak mustahil rakyat akan meneladaninya, ibarat kepemimpinan melalui teladan dan juga menjauhkan sikap seperti baling-baling di atas bukit yang menunjukkan pendirian tidak tetap, khususnya dalam suatu perkara yang sudah diputuskan oleh ketua pemimpin.

Duta muda bahasa dapat direalisasikan dengan adanya keutuhan solidariti daripada semua pihak. Duta muda bahasa bukan sahaja bertanggungjawab dalam memperkasakan bahasa dan sastera di luar negara tetapi juga di dalam negara. Oleh itu, tugas berat ini perlu diringankan dengan adanya kerjasama daripada semua pihak.

Pendekatan seperti bermain yoyo perlu dijauhkan agar semua kitaran masyarakat dapat mengetahui kewujudan dan amanah yang dijalankan oleh duta muda bahasa sekiranya lantikan ini dapat dijadikan kenyataan. Duta muda bahasa ialah pemangkin kesedaran dan menaikkan semangat generasi muda untuk terus berjuang meletakkan bahasa dan sastera Melayu di tempat yang sewajarnya.

“Indah pada bahasa tetapi tidak indah pada cara, akan mendatangkan kesalahan pada pandangan mata”  ~Salmah Jan, 2022~

 

 

Profesor Madya Dr. Salmah Jan Noor Muhammad − Pensyarah Kanan, Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, yang juga merangkap Ahli Lembaga Amanah Yayasan Karyawan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.