3 November 2022, 10:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Baru-baru ini, Persatuan Persahabatan Malaysia–China (PPMC) telah menandatangani memorandum persefahaman bersama Universiti Sains Malaysia (USM) di Dewan Budaya USM. YBhg. Dato’ Abdul Majid Ahmad Khan, Presiden Persatuan Persahabatan Malaysia–China dan YBhg. Prof. Dato’ Gs. Dr. Narimah Samat, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) yang menjalankan fungsi Naib Canselor, telah menyempurnakan majlis menandatangani memorandum persefahaman tersebut yang turut disaksikan oleh  Profesor Madya Dr. Jasni Sulong, Dekan PPIK USM,  dan Ts. Haji Abdul Aziz How Abdullah, Penasihat Eksekutif Kanan Persatuan Persahabatan Malaysia–China.

Antara hasrat utama memorandum persefahaman tersebut termasuklah bekerjasama dalam pelaksanaan aktiviti pertukaran pendidikan dan kebudayaan khasnya yang melibatkan belia Malaysia dan China. Selain itu juga, kedua-dua pihak akan melihat potensi kerjasama akademik, pembangunan penyelidikan, kerjasama latihan dan pertukaran penerbitan. Hal ini secara langsung mewujudkan satu kerjasama yang progresif bagi meningkatkan hubungan persahabatan Malaysia–China.

PPMC yang merupakan sebuah badan bukan kerajaan yang telah ditubuhkan pada tahun 1992 ini sentiasa menfokuskan usaha-usaha meningkatkan hubungan baik Malaysia–China yang merentasi aktiviti sosial, budaya, pendidikan, belia, sukan dan aktiviti-aktiviti yang melibatkan kedua-dua buah negara.

Dato’ Abdul Majid menyatakan penghargaannya kepada USM yang bersedia menjadi rakan strategik PPMC. Antara aktiviti-aktiviti yang pernah dilaksanakan oleh PPMC sebelum ini termasuklah Program Khidmat Bakti dan Sosial belia Malaysia–China, majlis berbuka puasa, permainan bola keranjang, sesi forum dan banyak lagi. Keutamaan ketika ini ialah program-program yang melibatkan belia Malaysia–China.

Belia merupakan pewaris masa depan dan amat penting untuk mereka mempunyai asas pemahaman dan semangat persahabatan yang tinggi dalam memastikan kelestarian hubungan bilateral yang terbina sejak 48 tahun yang lepas. Masih terngiang-ngiang di fikiran penulis kata-kata seperti “Nama Malaysia menjadi harum di seluruh dunia dan keharuman ini tidak pernah mencapai ke peringkat tinggi seperti yang ada sekarang,” kata Tun Abdul Razak Hussein, sekembalinya dari China.

Sebelum majlis bermula, Dato’ Majid juga telah bertemu dan beramah mesra dengan 32 orang pelajar antarabangsa dari China yang sedang mengikuti Program Pemindahan Kredit Bahasa Melayu (PROPERBM), Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, USM. Perkongsian ilmu dan pengalaman sebagai mantan Duta Besar Malaysia ke China menjadikan sesi ramah mesra tersebut amat bermakna kepada para pelajar berkenaan. Sesi pertemuan dan perbincangan dua hala antara pihak PPMC dan USM juga telah diadakan bagi membincangkan secara terperinci kerjasama lanjut yang bakal diadakan.

Semasa sesi ramah mesra, para pelajar juga mengambil peluang untuk mempromosikan universiti mereka, iaitu Universiti Pengajian Asing Sichuan, Universiti Minzu Yunnan dan Universiti Pengajian Asing Guandong. Universiti ini merupakan tiga buah universiti daripada 10 buah universiti yang sedang menawarkan Pengajian Bahasa Melayu di China. Seorang daripada pelajar tersebut, iaitu Saudari Pi Jiayi atau nama Melayunya, Khaira dari Universiti Pengajian Asing Sichuan berkongsi pengalamannya berada di Malaysia. Beliau sangat gembira dapat berada di Malaysia dan mengikuti pengajian di USM. Hal ini memberinya peluang untuk lebih mendalami pembelajaran Bahasa Melayu dan memahami kebudayaan Malaysia dengan baik. Khaira juga berhasrat untuk terus menjadi penghubung dan menyampaikan informasi yang baik dari China dan Malaysia bagi menyokong persahabatan Malaysia dan China.

Program sebegini sudah pasti mendapat sokongan dan kerjasama yang baik  daripada Kementerian Luar Negeri Malaysia dan China. Tidak ketinggalan juga Dewan Bahasa dan Pustaka, Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan (PADU), Kementerian Pendidikan Malaysia dan Bahagian Education Malaysia, Jabatan Pendidikan Tinggi turut terlibat dalam menyumbang buku dan cenderamata kepada para pelajar yang mengikuti program PROPERBM. Mereka sudah pastinya bertindak sebagai duta kecil Malaysia–China bagi memastikan adanya kerjasama bersepadu dalam menggerakkan agenda diplomasi pendidikan antara kedua-dua buah negara.

Selain itu, kita dapat melihat kesungguhan dan komitmen yang tinggi daripada Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, USM dalam menggerakkan program PROPERBM. Usaha ini perlu dipuji dan diharapkan lebih banyak institusi pendidikan tinggi di Malaysia tampil untuk bekerjasama dan melaksanakan agenda pengantarabangsaan bahasa Melayu khasnya di China.

Program PROPERBM ini turut memberikan peluang kepada para pelajar mengikuti program ini selama setahun dan memenuhi keperluan politik, ekonomi dan sosial semasa serta lebih berdaya saing sekali gus melengkapkan penyelidik dengan pelbagai kecekapan dan kemahiran dunia Melayu.

Penulis bersama dengan para tetamu yang hadir juga sangat teruja dengan kesungguhan para pelajar ini yang baru sahaja dua tahun mengikuti Pengajian Bahasa Melayu di China namun dapat berucap dan menyampaikan mesej dalam bahasa Melayu dengan baik sekali. Semangat seperti ini akan terus dibugarkan dengan sokongan dan kerjasama daripada semua pihak.

Kesempatan dalam majlis tersebut juga membolehkan penulis mendengar sesi Syarahan Perdana Bahasa Melayu yang bertajuk “Kelestarian Bahasa Melayu dalam Pengurusan Perniagaan: Membugar Paradigma”, yang dibentangkan oleh Tokoh Akademik Bahasa Melayu 2021, Profesor Dr. Zafir Khan Mohamed Makhbul. Beliau berkongsi maklumat tentang peranan bahasa Melayu, cabaran memartabatkan bahasa Melayu, kelestarian bahasa Melayu dalam pengurusan dan peribahasa Melayu melayari zaman. Beliau juga menyimpulkan bahawa bahasa Melayu merupakan khazanah yang bernilai tinggi yang perlu diperkasakan setiap warga kerana bahasa Melayu bukan hanya milik orang Melayu, bahkan milik semua.

Penulis juga yakin dan terus mendambakan usaha yang berterusan daripada semua pihak dan hal ini diterjemahkan melalui bait-bait puisi yang berikut:

Percayalah

bahasa jiwa bangsa

membina peradaban dunia

dengan semangat kita yang sama.

 

Tiada indah selain bahasa

untuk mengenali sesama kita

andai esok kita terlupa

kembalilah kita pada yang nyata.

 

Hakikat kita tidak berpura

untuk menyelami indahnya

bahasa pengikat jiwa dan raga

menjadi tunjang keamanan dunia.

Pepatah Melayu yang berbunyi, “Bagai aur dengan tebing” menjadi asas bagi kerjasama ini untuk terus mengorak langkah memperkukuh persahabatan dan menelurusi masa depan yang gemilang antara Malaysia dan China.

Pengurusan USM dan Persatuan Persahabatan Malaysia–China bersama-sama pelajar antarabangsa dari China.

 

Ts. Haji Abdul Aziz How Abdullah,

Penasihat Eksekutif Kanan, Persatuan Persahabatan MalaysiaChina

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.