7 November 2022, 16:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Berdasarkan Laporan Statistik Pendidikan Tinggi 2020: Kementerian Pengajian Tinggi, pelajar antarabangsa yang menyambung pelajaran di Malaysia berjumlah 131 300 orang. Peningkatan jumlah kemasukan pelajar antarabangsa di institusi pengajian di Malaysia telah menjadi asas utama bagi penawaran Kursus bahasa Melayu kepada pelajar antarabangsa, khususnya di institusi pengajian tinggi (IPT).

Berpandukan Akta Pendidikan 1996 dan Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996, semua pelajar antarabangsa yang menuntut di Malaysia wajib mengambil Kursus Bahasa Melayu di IPT masing-masing. Bagi memastikan keseragaman dalam penawaran Kursus Bahasa Melayu di IPT, Agensi Kelayakan Malaysia menggariskan beberapa hasil pembelajaran dan sukatan pelajaran komprehensif untuk pelajar yang mengambil Kursus Bahasa Melayu, terutamanya pelajar antarabangsa.

Penawaran Kursus Bahasa Melayu kepada pelajar antarabangsa memberikan cabaran yang hebat kepada pihak IPT dan pengajar Kursus Bahasa Melayu. Hal ini untuk membolehkan pelajar antarabangsa dapat mengikuti Kursus Bahasa Melayu dan menguasai kemahiran asas bahasa Melayu dengan baiknya.

Satu daripada cabaran utama yang dihadapi oleh pihak IPT dan pengajar Kursus Bahasa Melayu ialah pelaksanaan sesi pengajaran dan pembelajaran yang menarik dan menyeronokkan untuk memastikan pelajar antarabangsa kekal bermotivasi ketika mempelajari bahasa Melayu. Motivasi pelajar antarabangsa dalam pembelajaran bahasa Melayu sering berubah-ubah dan banyak pelajar yang mempunyai tahap motivasi yang rendah disebabkan oleh pelbagai faktor.

Menurut Siti Saniah dalam makalah “Kekangan Pelajar Asing dalam Menggunakan Kemahiran Bertutur Bahasa Melayu”, peruntukan tempoh masa belajar yang singkat mengurangkan tahap motivasi pelajar antarabangsa. Tempoh masa yang tidak mencukupi ini menyebabkan pelajar tidak mampu menguasai bahasa Melayu dengan baiknya.

Bagi Nurul Shahida Jamil dalam makalah “Kebimbangan Pelajar Antarabangsa dalam Mempelajari Bahasa Melayu”, kebimbangan melampau turut mempengaruhi motivasi pelajar. Kebimbangan melampau ini meliputi kurangnya keyakinan diri, takut gagal, gementar dan rasa rendah diri untuk bercakap di hadapan kelas.

Juwairah Osman dan Mardian Shah Omar dalam makalah “Aplikasi Teknologi dan Motivasi dalam Kemahiran Berbahasa Melayu untuk Penutur Asing” pula menyatakan bahawa penggunaan teknologi ialah suatu kaedah yang mampu menarik minat pelajar antarabangsa untuk mempelajari bahasa Melayu dan mengekalkan motivasi pelajar.

Yang terkini, antara aplikasi teknologi pembelajaran yang dapat digunakan untuk memperkukuh pembelajaran bahasa Melayu sebagai bahasa asing dalam bentuk yang menyeronokkan termasuklah chatbot kecerdasan buatan.

Dalam makalah “Applying AI Chatbot for Teaching a Foreign Language: An Empirical Research”, Nghi dan rakan-rakan mendapati bahawa penggunaan chatbot kecerdasan buatan bukan sahaja dapat meningkatkan motivasi pelajar dalam pembelajaran bahasa asing, malah dapat membantu pelajar memahami aspek tatabahasa dalam suasana pembelajaran yang santai dan menyeronokkan.

Pembelajaran bahasa asing berasaskan chatbot kecerdasan buatan juga dapat memberikan pengalaman pembelajaran baharu kepada pelajar. Tugasan percakapan yang disediakan dalam chatbot kecerdasan buatan juga mampu meningkatkan prestasi kemahiran bertutur pelajar. Kajian Nghi dan rakan-rakan ini juga mendapati bahawa chatbot kecerdasan buatan dapat membantu pelajar mempelajari bahasa asing pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.

Istilah chatbot merujuk program komputer yang menyediakan perkhidmatan melalui dialog. Pada peringkat awal, chatbot menggunakan mekanisme padanan kata kunci atau mekanisme pemprosesan bahasa semula jadi. Seiring dengan kemajuan teknologi komputer dan pengecaman pertuturan, teknologi antara muka interaktif suara (voice interactive interfaces) mula muncul. Oleh sebab itu, Chatbot telah mula digunakan sebagai ejen perbualan.

Hwang dan Chang dalam makalah “A Review of Opportunities and Challenges of Chatbots in Education” mendapati bahawa penggunaan chatbot dalam dunia pendidikan mula berkembang pesat dan digunakan dalam pembelajaran formal dan tidak formal. Dengan adanya kemajuan teknologi kecerdasan buatan, mesin pembelajaran dan teknologi bahasa semula jadi digunakan untuk membangunkan chatbot pendidikan. Menerusi penggunaan kecerdasan buatan, chatbot akan menjadi pembantu pengajar yang pintar pada masa hadapan.

Perkembangan ini akan menggalakkan guru untuk menggunakan chatbot pendidikan berasaskan kecerdasan buatan dalam aktiviti pembelajaran yang terbukti mampu meningkatkan kemahiran berkomunikasi secara berpasangan dan menambah baik kecekapan belajar.  Hal ini berlaku disebabkan oleh pelajar yang mempunyai peluang untuk belajar dalam suasana yang menyeronokkan melalui interaksi waktu nyata.

Dengan kemunculan dan perkembangan chatbot kecerdasan buatan yang semakin rancak dalam dunia pendidikan di seluruh dunia, pengajaran bahasa Melayu kepada pelajar antarabangsa di IPT Malaysia akan bertambah menarik dan berkesan. Penggunaan chatbot kecerderasan buatan yang fleksibel dan mudah dicapai ini akan meningkatkan motivasi pelajar antarabangsa untuk mempelajari bahasa Melayu.

Pada masa yang sama, chatbot kecerdasan buatan dapat membantu pihak IPT dan pengajar Kursus Bahasa Melayu untuk melaksanakan pembelajaran bahasa Melayu secara tidak segerak (asynchronous) dengan lebih sistematik dan berkesan.

Sehubungan dengan itu, Fryer dan rakan-rakan dalam makalah “Bots for Language Learning Now: Current and Future Directions” menyarankan agar pereka chatbot kecerdasan buatan bekerjasama dengan penyelidik dalam bidang pendidikan. Kerjasama ini bertujuan untuk menghasilkan chatbot kecerdasan buatan bagi pembelajaran bahasa asing yang berkualiti dengan mengintegrasikan pelbagai isi kandungan, strategi pembelajaran dan reka bentuk yang bersesuaian.

Secara tidak langsung, pembangunan dan penggunaan chatbot kecerdasan buatan untuk pembelajaran bahasa Melayu sebagai bahasa asing dapat memenuhi aspirasi Dasar e-Pembelajaran Negara 2.0, iaitu menghayati pembelajaran sepanjang hayat dan pembelajaran secara dalam talian tahap global. Selain itu, penggunaan chatbot kecerdasan buatan ini juga dapat mempercepat inovasi dan penerimagunaan Revolusi Perindustrian Keempat seperti yang dihendaki oleh Kerajaan Malaysia melalui Dasar Revolusi Perindustrian Keempat Negara.

 

 

 

Muhammad Zuhair Zainal ialah Pensyarah Kanan Pendidikan Bahasa Melayu di Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, Universiti Sains Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.