Oleh Firdaus Mul
11 November 2022, 21:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Selain menjadi bahasa ilmu, bahasa Melayu juga merupakan satu daripada kurikulum terpenting dalam sukatan sistem pendidikan negara, iaitu sebermula dari peringkat sekolah hinggalah ke peringkat pengajian tinggi. Perkara ini membuktikan bahawa pendidikan bahasa Melayu di negara ini berterusan. Pendidikan bahasa Melayu yang dijadikan sebagai teras utama bukan sahaja melahirkan generasi yang berketerampilan berbahasa dalam proses penulisan dan komunikasi bahkan dapat membentuk generasi yang mencintai bahasa kebangsaan yang menjadi teras perpaduan negara.

Sehubungan dengan itu, program “Tutur Kita 2022: Kalau Bukan Kita Siapa Lagi”, anjuran Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum, Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menampilkan seorang guru berpengalaman yang turut dikenali sebagai Cikgu Juilis Mokujal dari negeri Sabah untuk berkongsi perihal bahasa Melayu dalam lensa pendidikan. Program ini turut dikendalikan sepenuhnya oleh Encik Azimin Daud sebagai moderator yang merupakan Perancang Bahasa di DBP.

Lembaran sesi pada kali ini dibuka dengan perkongsian daripada Cikgu Juilis Mokujal berkenaan dengan pengalamannya menjadi seorang guru Bahasa Melayu di Sabah selama hampir 30 tahun. Menurut beliau, terdapat banyak cabaran dalam memastikan keberhasilan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan. Antara cabaran yang paling dekat termasuklah pengajaran Bahasa Melayu di peringkat sekolah yang melibatkan guru yang tidak mengambil opsyen Bahasa Melayu. Guru-guru yang tidak mengambil opsyen Bahasa Melayu dan mengajar Bahasa Melayu menghadapi kesukaran untuk mencari pendekatan dan strategi yang hendak digunakan ketika proses pengajaran dan pembelajaran.

Oleh sebab itulah beliau terpanggil untuk membantu guru-guru tersebut dengan penghasilan inovasi agar proses pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu berjalan dengan jayanya. Antara inovasi yang dihasilkan dan berjaya dilaksanakan termasuklah menerusi penciptaan lagu puisi dan novel RM2. Beliau turut menyatakan, hasil daripada penghasilan tersebut, sedikit banyak telah membuahkan hasil yang cukup ketara.  Inovasi tersebut bukan sekadar memudahkan guru yang tidak mengambil opsyen Bahasa Melayu malah guru-guru yang mengambil opsyen Bahasa Melayu turut mendapat manfaatnya. Hal ini secara tidak langsung merangsang peningkatan prestasi akademik pelajar sekolah berkaitan dengan subjek Bahasa Melayu.

Beliau turut menyatakan pendiriannya berkaitan dengan kepentingan bahasa Melayu dengan membuka ruang penyataan pendirian itu melalui dua persepsi. Yang pertama sebagai seorang guru dan yang kedua sebagai rakyat Malaysia. Beliau berpendapat bahawa setiap pelajar perlu menguasai subjek Bahasa Melayu yang merupakan subjek wajib lulus ketika mengambil peperiksaan di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia.

Selain itu, beliau melihat kepentingan berbahasa kebangsaan ini perlu digembleng dan dipraktikkan oleh setiap rakyat di negara ini kerana beliau percaya bahawa bahasa Melayu bukan sekadar bahasa komunikasi atau bahasa ilmu malah sebagai bahasa yang membentuk perpaduan. Jelas beliau, sebagai rakyat Malaysia yang menetap di Sabah, 32 etnik di Sabah kebanyakannya boleh bertutur bahasa Melayu dengan baik.Oleh itu, bahasa Melayu menjadi alat perpaduan selain sebagai bahasa percakapan dan bahasa rasmi”.

Pada akhir sesi, beliau menyatakan harapannya terutama kepada rakan guru di seluruh Malaysia untuk terus kekal bersemangat memainkan peranan dalam memastikan kelangsungan pengaplikasian berbahasa kebangsaan. Baginya, guru bukan sekadar mendidik pelajar memahami subjek Bahasa Melayu, bahkan pada masa yang sama menanamkan rasa kecintaan terhadap bahasa Melayu. Beliau percaya bahawa guru ialah pempengaruh yang paling dekat dengan generasi muda.

Kita memerlukan iltizam dan perlu merealisasikan satu bangsa Malaysia yang mempunyai rasa cinta yang kuat terhadap bahasa Melayu.

Beliau juga mengharapkan agar penghasilan kandungan pendidikan di media sosial terutamanya yang berkaitan dengan subjek Bahasa Melayu diperbanyak. Bagi beliau, usaha ini juga menjadi satu daripada penyumbang pengisian ilmu berkaitan dengan bahasa Melayu di negara ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.