Oleh Firdaus Mul
17 November 2022, 10:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur –Berdasarkan dunia perbukuan di Malaysia, negara ini dikatakan menghadapi kekurangan buku terjemahan, iaitu buku dari luar negara yang diterjemahkan ke dalam bahasa kebangsaan. Sehubungan dengan itu, usaha memperbanyak buku tersebut berupaya merangsang minat pembacaan masyarakat, yang sekali gus berupaya meningkatkan mutu penulisan yang ada.

Demikian antara inti pati penerangan oleh Encik Kiridaren Jayakumar, yang berpengalaman dalam dunia industri perbukuan dan juga seorang Ketua Pegawai Eksekutif The Bibliophile. Beliau diundang untuk berkongsi pandangannya terhadap dunia perbukuan tanah air melalui Program Tutur Kita 2022, yang dikendalikan oleh Encik Azimin Daud, selaku moderator yang merupakan Perancang Bahasa di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Menurut Encik Kiridaren Jayakumar, beliau mula serius bergiat dalam perniagaan menjual buku bermula dari tahun 2018 hingga kini. Beliau juga berhasrat untuk menjadikan budaya membaca di negara ini sebagai sesuatu yang membanggakan. Beliau berhasrat untuk meningkatkan pelibatan masyarakat dan minat mereka terhadap pembacaan buku di negara ini.

Fokus kita adalah untuk mereka yang tidak ingin membaca buku dan menjadikan membaca itu sebagai aktiviti yang santai.

Beliau juga berkongsi pengalamannya berbual dengan beberapa orang Sasterawan Negara pada suatu ketika dahulu dan ada di antara mereka yang menyatakan bahawa hasil pembacaan daripada karya luar negara banyak membantu mereka menghasilkan karya yang lebih berkualiti.

Apabila kita membawa banyak buku terjemahan dari negara luar, mutu pembacaan juga akan meningkat dan secara tidak langsung dapat melahirkan penulis yang baik. Sebagai contoh, banyak penulis Malaysia yang terdahulu mempunyai penulisan yang beraras tinggi.

Tambah beliau, penerbitan buku DBP ketika ini sememangnya memenuhi permintaan semasa.

DBP menerbitkan pelbagai jenis buku. Antaranya termasuklah karya yang paling susah nak dapat, karya Sasterawan Negara yang asli, sejarah negara, bahasa, psikologi bahasa dan psikologi agama. Kini, DBP lebih memenuhi permintaan pembaca.

Sementara itu, beliau turut mengakui akan cabaran yang dihadapi dalam aktiviti penjualan buku. Menurut beliau, selepas pandemik COVID-19, para penjual buku atau syarikat buku perlu membawa buku kepada peminat buku. Penjualan buku juga tidak boleh bergantung pada penjualan secara dalam talian sahaja.

Beliau turut menyatakan harapannya agar semua rakyat Malaysia terus menyuburkan amalan membaca di negara ini selain berharap agar banyak lagi buku dari luar negara dapat diterjemahkan dalam bahasa kebangsaan. Beliau juga menyarankan agar penulis ulasan buku tidak hanya menulis berkaitan dengan kandungan buku semata-mata tetapi menulis tentang kepentingan membaca buku tersebut.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.