Oleh Kho Thong Eng
23 November 2022, 15:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bahasa ialah wahana komunikasi yang utama antara manusia. Oleh itu, seseorang yang bertutur atau menulis akan berusaha menggunakan bahasa yang setepat mungkin untuk menyampaikan maksud yang hendak disampaikannya dengan jelas. Sila lihat contoh yang berikut:

  1.  Dia guru tadika.
  2.  Dia sangat rajin.
  3.  Dia sedang bercuti.
  4.  Dia di perpustakaan.

Keempat-empat ayat di atas dapat menyampaikan maksud yang dihajati dengan amat objektif dan jelas tanpa sebarang ambiguiti atau ketaksaan makna.

Ambiguiti bererti kesamaran maksud yang memungkinkan adanya dua atau lebih tafsiran terhadap sesuatu perkara yang telah diujarkan atau ditulis. Hal ini sering berlaku pada karya kreatif seperti puisi atau teks agama.

Dalam ujaran atau tulisan biasa pun, ada kalanya timbul unsur ambiguiti atau ketaksaan makna yang mungkin tidak disengajakan. Sila lihat contoh yang berikut:

  1.  Dia berkata bahawa dia mahu ke kampung pada hari itu.

Ayat 5 dapat ditafsirkan seperti yang berikut:

Tafsiran 1:

Subjek:  dia

Predikat:  berkata bahawa dia mahu ke kampung pada hari itu

Predikat utama:  berkata

Pelengkap predikat:  bahawa dia mahu ke kampung pada hari itu

Keterangan pelengkap predikat:  pada hari itu

Tafsiran 2:

Subjek:  dia

Predikat:  berkata bahawa dia mahu ke kampung pada hari itu

Predikat utama:  berkata

Pelengkap predikat:   bahawa dia mahu mahu ke kampung

Keterangan predikat ayat:  pada hari itu

Dalam tafsiran 1 di atas, frasa sendi nama pada hari itu ialah frasa keterangan bagi pelengkap predikat ayat, iaitu bahawa dia mahu ke kampung pada hari itu. Oleh itu, frasa keterangan pada hari itu tidak dapat dipisahkan daripada unsur utama pada pelengkap predikat mahu ke kampung. Ayat tafsiran 1 dapat disongsangkan seperti yang berikut:

  1.  Berkata bahawa dia mahu ke kampung pada hari itudia.

Dalam tafsiran 2 pula, frasa sendi nama pada hari itu ialah frasa keterangan untuk predikat seluruh ayat, iaitu berkata bahawa dia mahu ke kampung pada hari itu. Oleh itu, frasa keterangan pada hari itu dapat dipisahkan dari frasa mahu ke kampung. Ayat tafsiran 2 dapat disongsangkan dengan pelbagai cara, seperti yang berikut:

7a.  Pada hari itu, dia berkata bahawa dia mahu ke kampung.

7b.  Pada hari itu, berkata bahawa dia mahu ke kampung dia.

7c.  Berkata bahawa dia mahu ke kampung dia pada hari itu.

Hal yang serupa juga berlaku jika terdapat dua objek pada ayat. Sila lihat contoh yang berikut:

  1.  Dia memberitahu ibunya bahawa dia mahu ke kampung pada hari itu.

Tafsiran 1: (ayat songsang)

  1.  Memberitahu ibunya bahawa dia mahu ke kampung pada hari itu dia.

Tafsiran 2: (ayat songsang)

10a.  Pada hari itu, dia memberitahu ibunya bahawa dia mahu ke kampung.

10b.  Pada hari itu, memberitahu ibunya bahawa dia mahu ke kampung dia.

10c.  Memberitahu ibunya bahawa dia mahu ke kampung dia pada hari itu.

Ada kalanya, ayat menimbulkan ambiguiti struktur dan makna antara penerang frasa nama dengan keterangan predikat ayat. Sila lihat contoh yang berikut:

  1.  Dia membaca buku di perpustakaan.

Tafsiran 1:

12a.  Dia membaca buku (yang terdapat) di perpustakaan.

Ayat songsang

12b.  Membaca buku di perpustakaan dia.

Tafsiran 2:

13a.  Dia membaca buku (miliknya) di perpustakaan.

Ayat songsang

13b.  Di perpustakaan, dia membaca buku.

13c.  Di perpustakaan, membaca buku dia.

13d.  Membaca buku dia di perpustakaan.

Dalam tafsiran 1 (kelompok ayat 12), buku yang dibacanya ialah buku yang terdapat di perpustakaan. Ertinya, frasa sendi nama di perpustakaan ialah penerang bagi frasa nama buku. Oleh itu, frasa sendi nama penerang di perpustakaan tidak boleh dipisahkan dari frasa nama buku.

Dalam tafsiran 2 (kelompok ayat 13), frasa sendi nama di perpustakaan ialah frasa keterangan yang dapat dipisahkan daripada predikat membaca buku. Walau bagaimanapun, ada kalanya sesuatu ayat hanya menawarkan satu kemungkinan tafsiran. Sila lihat contoh yang berikut:

  1.  Dia menyusun buku di atas meja.

Tafsiran 1:

  1.  Menyusun buku di atas meja dia.

Tafsiran 2:

16a.  *Di atas meja, dia menyusun buku.

16b.  *Di atas meja, menyusun buku dia.

16c.  *Menyusun buku dia di atas meja.

Bagi ayat 14, frasa sendi nama di atas meja merupakan penerang kepada frasa nama buku, bukan keterangan predikat menyusun buku. Oleh itu, tafsiran 1 (ayat 15) adalah tepat dan tafsiran 2 (kelompok ayat 16) tidak betul.

Satu hal yang menarik ialah unsur ambiguiti atau ketaksaan makna terdapat juga dalam bahasa lain. Sila lihat contoh yang berikut:

  1.  Flying planes can be dangerous.

Tafsiran 1:

18a.  Memandu kapal terbang mungkin berbahaya,

Tafsiran 2:

18b.  Kapal terbang yang sedang terbang mungkin berbahaya.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.