23 November 2022, 16:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dalam Utusan Malaysia pada 4 Julai 2022, terdapat satu makalah oleh Ku Seman Ku Hussain yang berjudul “Perkukuh Bahasa Melayu – Young Hun”. Profesor di Jabatan Pengajian Melayu–Indonesia di Universiti Hankuk, Korea Selatan, iaitu Profesor Koh Young Hun menolak tanggapan yang mengatakan bahawa bahasa Melayu tidak mampu memajukan negara dari segi sains dan teknologi. Jelasnya lagi, negara yang menggunakan bahasa ibunda tetap maju dalam sektor berkenaan.

Sebagai contoh, negara Jerman menggunakan bahasa Jerman walaupun dalam membincangkan hal ehwal automotif kerana negara berkenaan sangat terkenal dengan bidang berkenaan. Apa yang terjadi? Adakah Jerman mundur? Tidak. Melalui hal itu juga, bahasa Jerman berkembang dan meluas.

Contoh yang seterusnya, setiap pelajar yang ingin menyambung pengajian ke negara Jerman wajib mengambil kelas bahasa Jerman terlebih dahulu sebelum  ke sana. Hal ini demikian kerana bahasa pengantar di institut pengajian Jerman rata-ratanya dalam bahasa Jerman. Soalnya, adakah selepas mendapat ijazah dari institut pengajian di Jerman itu para pelajar akan menjadi tidak kompeten hanya kerana ilmu yang mereka pelajari di Jerman bukan dalam bahasa Inggeris? Tidak.

Tanggungjawab untuk menjadikan suatu bahasa itu sebagai bahasa ilmu adalah tanggungjawab penutur bahasa itu sendiri. Contohnya, apabila ke Jepun, seseorang itu tetap harus mempelajari bahasa Jepun kerana para penuturnya tidak tunduk kepada bahasa lain. Selain itu, masih lagi terdapat temu duga bagi sesuatu jawatan di Malaysia yang menggunakan bahasa Inggeris sedangkan pekerjaan itu di Malaysia dan bukannya di United Kingdom. Dalam hal ini, amatlah malu sekiranya kita ditegur tentang bahasa sendiri oleh orang Korea yang mendalami bahasa Melayu. Seharusnya kita yang lebih unggul tentang bahasa negara kita sendiri berbanding dengan orang asing.

Bahasa Melayu merupakan bahasa yang terus berkembang. Dengan perkembangan tersebut, bahasa Melayu mengalami penstandardan menurut negara masing-masing. Terdapat dua varian bahasa Melayu yang terbesar, iaitu bahasa Melayu Malaysia dan bahasa Melayu Indonesia yang kini dinamakan bahasa Indonesia. Bahasa Indonesia berasal daripada bahasa Melayu, tetapi telah mengalami sejarah penstandardannya sendiri yang berbeza daripada bahasa Melayu Malaysia. Oleh sebab itulah wajar dipanggil bahasa Indonesia. Cuma yang penulis perikan ini adalah berdasarkan sejarahnya.

Dalam Ensiklopedia Bahasa Melayu, Asmah Haji Omar menyebut perkara ini sebagai variasi nasional. Variasi nasional ialah kelainan standard bahasa yang sama. Bahasa tersebut tetap bahasa Melayu, tetapi menurut piawai negara masing-masing. Begitulah dengan negara lain-lain termasuklah Brunei.

Bagaimanakah bahasa Melayu berkembang di Korea Selatan? Dalam “Perkembangan Bahasa Melayu di Korea Selatan” oleh Lim Kim Hui, Hankuk University of Foreign Studies (HUFS) di Seoul, Korea Selatan, telah memainkan peranan yang penting dan terawal dalam menyebarkan bahasa asing di Korea Selatan. Universiti tersebut dibangunkan pada tahun 1954 selepas Perang Korea. 10 tahun kemudian, barulah Jabatan Bahasa Melayu–Indonesia dibangunkan dengan menerima angkatan mahasiwa pertamanya.

Zaharani Ahmad merupakan pemegang Kursi Pengajian Melayu yang pertama di Korea Selatan. Dalam makalahnya, iaitu “Pengajian Melayu di Korea Selatan: Perkembangan dan Pencapaiannya”, beliau membahagikan perkembangan bahasa Melayu di Korea Selatan kepada tiga tahap, iaitu permulaan (1960-an hingga 1970-an), pertengahan (1980-an hingga 1990-an) dan semasa (2000 hingga kini). Namun begitu, tahap-tahap ini diperincikan oleh Lim Kim Hui dalam bukunya kepada lima tahap.

Tahap yang pertama adalah mengenai kelahiran HUFS dan perkembangan awal Pengajian Melayu di Korea Selatan. Pada tahap ini, Jabatan Bahasa Melayu–Indonesia masih belum mapan dan hanya meminjam pensyarah dari luar jabatan seperti Jabatan Sepanyol dan Inggeris untuk mengurus program jabatan seperti mencari pensyarah dan sebagainya. Para pensyarahnya pula hanya bekerja sambilan dan ada yang belum mempunyai kelayakan akademik melainkan pengalaman tertentu.

Tahap pertama ini sangat penting bagi kelangsungan jabatan ini. Jabatan ini juga berusaha untuk kekal relevan dan penting agar bahasa Melayu–Indonesia itu terus dipelajari di Korea Selatan. Penubuhan HUFS pada awalnya bertujuan untuk menarik seberapa banyak pelajar untuk mendalami bahasa asing yang selaras dengan usaha negara tersebut untuk meningkatkan diplomasi dan ekonomi di persada antarabangsa. Ketika itu, Korea Selatan melancarkan Pelan Pembangunan Ekonomi Lima Tahun Pertama. Sehubungan dengan itu, mereka akan banyak berurusan dengan negara asing termasuklah negara Malaysia. Untuk melicinkan hubungan tersebut, bahasa merupakan entiti terpenting untuk dikuasai.

Seperti yang dilihat pada hari ini, banyak orang muda di Malaysia yang gemar menonton drama Korea dan ada yang mahu melancong ke sana. Pada hari ini, kita mendapat tahu bahawa terdapat papan tanda kereta api bawah tanah di Korea Selatan yang menggunakan bahasa Melayu. Hal ini menunjukkan bahawa terdapat banyak pelancong dari Malaysia yang melancong ke Korea Selatan sehingga memerlukan papan tanda dalam bahasa Melayu.

Tahap kedua pula ialah era pengembangan pendidikan Pengajian Melayu. Pada tahun 1981, kampus kedua HUFS dibangunkan di Yongin. Kampus ini selepasnya menjadi Jabatan Interpretasi dan Terjemahan. Hal ini berlaku kerana negara Korea Selatan telah beralih fokus kepada industri teknologi tinggi dan komputer. Kerja-kerja terjemahan amat diperlukan untuk memerikan konsep teknikal. Kini HUFS sudah mempunyai dua kampus, iaitu di Seoul dan Yongin. Kampus di Seoul masih berfokus pada pembelajaran bahasa secara tunggal. Di Yongin pula berfokus pada interpretasi dan terjemahan, yakni melibat dua bahasa, iaitu bahasa sumber dan bahasa sasaran.

Tahap ketiga menerangkan tentang era pemantapan Pengajian Melayu–Indonesia. Pada era ini, syarat pelantikan pensyarah menjadi semakin ketat. Dahulu, dengan ijazah sarjana muda sahaja sudah boleh menjadi pensyarah. Kemudian, syarat pelantikan itu dinaikkan kepada ijazah sarjana dan akhirnya kepada ijazah kedoktoran.

Pada tahun 1997, Memorandum Persefahaman (MoU) ditandatangani bersama dengan Universitas Gadjah Mada dari Indonesia dan Universiti Malaya dari Malaysia. Para pensyarah Malaysia dan Indonesia dijemput untuk menjadi pensyarah tamu dan profesor pelawat di HUFS dengan mengajarkan bahasa Melayu, bahasa Indonesia, sastera Melayu dan Indonesia, dan sebagainya. Zaman ini sangat signifikan kerana telah mendapat ajaran dan bimbingan secara langsung daripada negara asal, iaitu Malaysia dan Indonesia. Banyak juga lepasan Jabatan Bahasa Melayu–Indonesia yang berbangsa Korea melanjutkan pengajian di Malaysia dan Indonesia. Contohnya, Profesor Koh Young Hun. Dengan hubungan erat begini, Jabatan Bahasa Melayu-Indonesia boleh berkembang dengan mekar.

Tahap keempat pula ialah era perluasan ekonomi ASEAN. Pada tahun 1991, Korea Selatan dan Korea Utara menyertai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Sehubungan dengan itu, segala hal ehwal Korea Selatan telah memasuki pasaran antarabangsa secara meluas. Korea Selatan harus menyebarkan ekonominya untuk import–eksport dengan negara-negara asing. Atas dasar keperluan ekonomi global, maka keperluan untuk mempelajari bahasa asing seperti bahasa Melayu juga meningkat.

Tahap kelima menerangkan tentang era siber dan perkembangan mutakhir. Pada zaman moden ini, negara sudah mengamalkan polisi terbuka bagi program pendidikan dan pembelajaran. Setiap orang mempunyai peluang untuk belajar apa-apa sahaja secara dalam talian. Hal ini berikutan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi dan dunia digital di dunia. Oleh itu, kuliah secara dalam talian dikendali sepenuhnya oleh sebuah universiti terbuka daripada cabang HUFC sendiri, iaitu Cyber Hankuk University of Foreign Studies (CUFS). Sesiapa yang tinggal berjauhan dari HUFS tetap boleh menghadiri kuliah secara dalam talian daripada sana juga.

Walaupun HUFS merupakan universiti terawal dalam menyediakan program bahasa Melayu, universiti ini juga mengalami cabaran dalam mengembangkan program berkenaan. Selepas itu, barulah universiti lain di Korea Selatan membangunkan program bahasa Melayu seperti di Busan University of Foreign Studies (BUFS) dan Youngsan University. Semua hal ini tidak akan dapat direalisasikan melainkan usaha oleh banyak pihak dalam menjayakannya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.