Oleh Firdaus Mul
26 November 2022, 08:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Penghasilan dan perkembangan karya di Malaysia tidak hanya tertumpu dan didominasi oleh karya sastera semata-mata. Bidang sains dan teknologi juga adalah antara bidang yang turut berkembang dan bergerak seiring dengan bidang lain dalam meniti kelangsungan penghasilan dan perkembangan karya di negara ini baik penghasilan dalam bentuk karya kreatif mahupun penulisan ilmiah. Sehubungan dengan itu, program Canai Bahasa dan Sastera Bil.11/2022 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka, memfokuskan perbincangan mengenai khazanah ilmu sains dan teknologi dalam bahasa Melayu.

Program ini menampilkan dua sosok yang hebat dalam dunia keilmuan, iaitu Prof. Dr. Ahmad Zaki Abu Bakar dari Institut Pengurusan Teknologi dan Keusahawanan, Universiti Teknikal Melaka dan Prof. Datuk Dr. Azizan Baharuddin, Pengarah Pusat Dialog Peradaban, Universiti Malaya. Kedua-dua panel undangan ini merupakan penilai karya yang memenangi Hadiah Karya Ilmiah 2019/2020. Sesi pada kali ini dikendalikan oleh Puan Hasni Jamali, selaku moderator.

Prof. Dr. Ahmad Zaki Abu Bakar memulakan bicara berkaitan dengan ciri-ciri buku sains yang berkualiti dalam bahasa Melayu. Sebuah buku ilmiah sains dan teknologi yang berkualiti seharusnya kandungan penulisannya bertumpu pada bidang sains dan teknologi. Menurutnya, kandungan buku tersebut bukanlah sebuah fiksyen ataupun cereka sains seperti dalam karya genre novel.

Beliau turut menegaskan bahawa sebuah buku ilmiah sains dan teknologi yang berkualiti perlu ditulis dengan bahasa yang lebih teknikal ataupun menggunakan laras bahasa ilmiah dan lengkap berformat. Hal ini kerana buku yang dihasilkan itu berdasarkan kajian yang telah dijalankan.

Harapan beliau agar bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu yang menjadi rujukan di seluruh dunia dan menyatakan kerelevanan bahasa Melayu sebagai wahana ilmu bagi bidang sains dan teknologi. Penyataannya turut diperkukuhkan melalui sebuah kajian.

Apabila seseorang itu mempelajari sains dalam bahasa ibundanya, dia akan jadi lebih hebat. Kreativiti dan pemahamannya menjadi lebih cepat. Hal ini berbeza apabila dia terpaksa mempelajari sains dan teknologi dalam bahasa asing.

Selain itu, beliau berpendapat bahawa anugerah dan hadiah buku negara yang berkaitan dengan sains dan teknologi sangat kurang berbanding dengan anugerah dan hadiah buku sastera. Walau bagaimanapun, pengiktirafan dan pemberian hadiah atau anugerah yang berlangsung baru-baru menjadi satu dorongan kepada para penulis bidang sains dan teknologi untuk menghasilkan pelbagai buku yang berkaitan bidang tersebut.

Untuk sains dan teknologi macam kurang sedikit sedangkan itulah dorongannya untuk memenangi hadiah. Semoga selepas ini lebih banyak lagi penganugerahan diberikan kepada buku dalam bidang sains dan teknologi.

 

Sementara itu, Prof. Datuk Dr. Azizan Baharuddin turut berkongsi pendapat yang sama dengan Prof. Dr. Ahmad Zaki Abu Bakar. Beliau menambah bahawa buku-buku yang memenangi hadiah buku bagi kategori sains dan teknologi baru-baru ini perlu diarusperdanakan dalam konteks pembelajaran. Hal ini kerana beliau berpendirian bahawa buku-buku dalam bidang sains dan teknologi yang ditulis dalam bahasa Melayu akan memudahkan golongan yang mempelajari aliran sains.

Para pelajar aliran sains yang mempelajari sains dan teknologi dalam bahasa ibundanya akan menjadikan mereka pelajar yang hebat. Proses pemahaman juga akan menjadi lebih cepat berbanding dengan mempelajarinya dalam bahasa asing.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.