Oleh Firdaus Mul
29 November 2022, 22:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pengaplikasian dan penyesuaian laras bahasa dalam setiap perkara terutamanya dalam aktiviti berkomunikasi merupakan antara penerapan elemen yang perlu dititikberatkan. Tanpa laras bahasa yang tepat sudah pasti akan menyukarkan audiens mengikuti dan memahami setiap maklumat yang diterima dalam sesebuah aktiviti berkomunikasi.

Sehubungan dengan itu, program Canai Bahasa dan Sastera mengupas tajuk “Laras Bahasa Pengulas Sukan” dengan menampilkan tiga orang ahli panel yang cukup terkenal dengan sukan tanah air, iaitu Encik Izwan Mohd Nor, Tuan Haji Zainal Abidin Rawop dan Encik Hafizal Hamad. Sementara itu, moderator bagi siri yang terakhir ini dikendalikan  oleh Encik Rusdi Abd.Rahman, Perancang Bahasa dari Dewan Bahasa dan Pustaka.

Menurut Tuan Haji Zainal Abidin Rawop, kaedah dan pendekatan yang digunakan oleh pengulas sukan lebih kepada memudahkan penyampaian dan pemahaman para penonton dan juga pendengar. Bahkan, beliau turut berkongsi pengalaman dan pelibatan beliau dalam dunia penyampai radio.

Pengaplikasian bahasa baku menjadi keutamaan dan bahasa rojak menjadi satu larangan disebabkan siaran radio di Malaysia pada waktu itu sangat mengutamakan penggunaan bahasa baku. Namun begitu, disebabkan oleh peredaran masa, penggunaan bahasa baku semakin kurang didengari.

Encik Hafizal Hamad juga berkongsi pandangan yang sama dengan Tuan Haji Zainal Abidin.

Dalam era yang serba moden, apabila kita berbicara di kaca TV atau media sosial dan sebagainya, ulasan itu lebih menjurus untuk memahamkan penonton itu sendiri. Contohnya seperti acara terjun, terma seperti darjah kesukaran masih digunakan tetapi apabila membabitkan teknik terjunan, kami perlu menggunakan bahasa yang mudah difahami.

Tambah beliau lagi, kemahiran berbahasa merupakan satu kemahiran utama yang perlu dikuasai.

Saya suka memartabatkan loghat untuk menarik minat penonton supaya mereka tunggu di depan TV.

Berdasarkan pengalamannya sebelum ini, beliau mendapati bahawa kemahiran berbahasa memberikan impak yang cukup besar kepada penonton ketika membuat ulasan sukan dengan penerapan adunan dialek, perumpamaan dan bahasa yang mudah difahami.

Sementara itu, Encik Izwan Mohd Nor juga bersetuju dengan kedua-dua pandangan panel tersebut. Bagi beliau, kepentingan memartabatkan bahasa dalam penyampaian menjadi keutamaan. Namun begitu, ada beberapa terma atau perkataan asing yang digunakan ketika sesi penyampaian di dalam ulasan.

 Ada di beberapa bahagian, kita terpaksa menggunakan istilah bahasa Inggeris. Kita perlu menggambarkannya untuk memudahkan orang faham dan jikalau boleh diubah kepada bahasa Melayu, seboleh-bolehnya kami cuba ubah.

Menurut beliau, kemahiran berbahasa merupakan keperluan utama yang perlu dimiliki oleh individu yang bercita-cita untuk menjadi seorang pengulas sukan.

Kalau kita tidak ada penggunaan bahasa yang tepat atau menggunakan bahasa yang cacamarba, perkara itu akan menjadi ikutan. Kita ialah staf barisan hadapan yang tidak menampakkan muka dan hanya menggunakan suara. Oleh itu, perlu ingat bahawa sukan ditonton oleh semua lapisan masyarakat. Jika penggunaan bahasa itu tidak cantik, apa akan jadi kepada orang yang mendengar? Itu satu perkara yang sangat penting.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.