Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPerbuatan yang mendukung maksud kesalingan ialah perbuatan yang berbalas-balas antara dua pihak. Dalam bahasa Melayu, hal ini dapat ditunjukkan melalui pelbagai mekanisme, termasuklah proses pengimbuhan.
Awalan beR- dapat membawa maksud kesalingan jika diimbuh pada kata kerja yang melibatkan perbuatan tertentu. Sila lihat contoh yang berikut:
1a. Aminah dan Hasnah berpeluk.
1b. Aminah berpeluk dengan Hasnah.
Dalam kelompok ayat 1, kata kerja berpeluk membawa maksud perbuatan serentak yang berbalas-balas, seperti yang berikut:
2a. Aminah memeluk Hasnah.
2d. Hasnah memeluk Aminah.
Selain kata kerja berpeluk, kata kerja lain yang melibatkan maksud kesalingan meliputi contoh seperti bertemu, bersalam, bertengkar, bertumbuk, bergaduh, berperang, dan yang sebagainya.
Selain imbuhan beR-, imbuhan beR-…-kan dan imbuhan beR-…-kan dengan kata dasar ganda juga dapat membawa maksud kesalingan. Sila lihat contoh yang berikut:
3a. Aminah dan Hasnah berpelukan.
3d. Aminah dan Hasnah berpeluk-pelukan.
Satu lagi mekanisme yang melibatkan maksud kesalingan ialah kata saling yang mengiringi kata kerja tertentu. Sila lihat contoh yang berikut:
4a. Ali dan Ahmad saling membantu.
4b. Hashim dan Hasan saling menghormati.
Kata kerja membantu dan menghormati merupakan kata kerja transitif, dan harus diikuti oleh objek. Walau bagaimanapun, apabila kata kerja tersebut didahului oleh kata adverba saling, kata kerja tersebut menjadi tidak transitif, dan tidak lagi diikuti oleh objek.
Kelompok ayat 4 dapat juga ditulis semula seperti yang berikut:
5a. Ali dan Ahmad bantu-membantu.
5b. Hashim dan Hasan hormat-menghormati.
Dalam kelompok ayat 5 di atas, kata bantu-membantu dan hormat-menghormati merupakan kata ganda separa. Hal ini dapat dianalisis seperti yang berikut:
Kata dasar – membantu
Gandaan – bantu
Kata dasar – menghormati
Gandaan – hormat
Berdasarkan analisis di atas, gandaan bagi kata ganda separa hanya mengulang kata dasar tanpa mengulang imbuhannya, iaitu mem- bagi kata kerja membantu dan meng-…-i bagi kata kerja menghormati.
Sama seperti kelompok ayat 4, kelompok ayat 5 mendukung maksud seperti yang berikut:
6a. Ali membantu Ahmad.
6b. Ahmad membantu Ali.
7a. Hashim menghormati Hasan.
7b. Hasan menghormati Hashim.
Bagi kelompok ayat 5, kata kerja transitif membantu dan menghormati yang mengalami proses penggandaan separa tidak lagi transitif, dan tidak dapat diikuti oleh objek.
Oleh sebab semua mekanisme di atas mendukung maksud kesalingan, mekanisme itu tidak boleh digunakan secara serentak pada sesuatu kata kerja. Sila lihat contoh yang berikut:
8a. *Aminah dan Hasnah saling berpelukan.
8b. *Ali dan Ahmad saling bantu-membantu
Kelompok ayat 8 di atas dianggap tidak gramatis kerana terdapat maksud kesalingan yang lewah atau bertindih-tindan bagi kata kerja yang berkenaan.
Satu lagi mekanisme kesalingan yang lazim digunakan oleh masyarakat kita ialah rangkaian kata antara satu sama lain. Rangkaian kata ini dapat kita analisis seperti yang berikut:
Berdasarkan analisis di atas, kita akan mendapati bahawa kata sendi nama antara diikuti oleh kata bilangan satu, bukannya kata nama. Hal ini menyalahi tatabahasa bahasa Melayu. Selain itu, kata sama yang sefungsi dengan kata sendi nama dengan juga tidak diikuti oleh kata nama, tetapi diikuti oleh kata adjektif lain.
Oleh hal yang demikian, rangkaian kata antara satu sama lain sepatutnya ditulis seperti yang berikut:
Hal ini akan menghasilkan ayat seperti yang berikut:
9a. *Mereka menghulurkan bantuan antara satu sama lain.
9b. Mereka menghulurkan bantuan antara satu pihak dengan pihak lain.
9c. Mereka menghulurkan bantuan antara seseorang dengan orang lain.
Ayat 9b gramatis kerana sendi nama antara diikuti oleh frasa nama satu pihak dan pihak lain. Ayat 9b pula gramatis kerana sendi nama dengan diikuti oleh frasa nama seseorang dan orang lain.
Sesetengah kata kerja yang sedia mendukung maksud usaha bersama-sama atau saling membantu juga tidak sesuai digandingkan dengan kata adverba saling. Sila lihat contoh yang berikut:
10a. *Mereka saling bekerjasama.
10b. Mereka bekerjasama.
11a. *Mereka saling bergotong-royong.
11b. Mereka bergotong-royong.
Selain itu, contoh ayat berikut turut bersifat lewah kerana mendukung maksud kesalingan yang bertumpang-tindih.
12a. *Mereka saling membantu antara satu pihak dengan pihak lain.
12b. *Mereka bantu-membantu antara seseorang dengan orang lain.