Oleh Firdaus Mul
14 Disember 2022, 09:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Nilai – Selain kesantunan, pematuhan terhadap pemakaian bahasa juga sangat diititikberatkan, lebih-lebih lagi dalam landskap dunia penulisan dan penerbitan. Pematuhan terhadap tatabahasa merupakan keutamaan yang perlu dititikberatkan oleh seorang penulis ataupun seorang penutur. Namun berbeza konteksnya apabila menilai bahasa melalui sebuah penulisan dalam displin ilmu seni dan sastera. Penulis diberi kebebasan sepenuhnya di dalam penulisannya walaupun tidak mematuhi hukum tatabahasa. Oleh sebab itulah, wujud cabang ilmu deviasi dalam disiplin stilistik agar tidak wujud kekeliruan dalam pengaplikasian berbahasa sama ada dalam penulisan ataupun pengucapan.

Sehubungan dengan itu, rancangan Bicara Santai Penerbitan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menampilkan seorang wanita hebat, yakni Puan Zainab Said. Beliau juga merupakan seorang Munsyi Dewan Bahasa dan Pustaka. Dalam sesi Bijak Bahasa: Kesalahan Lazim, beliau membuka tirai perkongsiannya dengan memberikan penjelasan yang berkaitan dengan keunggulan yang dimiliki oleh bahasa Melayu.

Bahasa Melayu sangat unik dan dinamik. Maka itu, masyarakat kita kadang-kadang mengatakan bahawa bahasa Melayu ini sangat susah dan kenapa berubah-ubah? Bahasa Melayu ini sebenarnya sedang mengorak langkah dan sememangnya telah diterima dunia kerana bahasa Melayu merupakan lingua franca.

Puan Zainab Said (kiri) ketika bersiaran secara langsung.

Menyentuh tentang kepentingan pemakaian bahasa dalam dunia penerbitan, beliau jelas berpendapat bahawa bahasa merupakan cerminan peribadi seseorang dan begitu juga keadaannya ketika berada dalam sesebuah organisasi. Pemilihan dan pemakaian bahasa mencerminkan imej sesebuah organisasi. Oleh sebab itu, pemilihan dan pemakaian bahasa menjadi keutamaan yang perlu dititikberatkan.

Menurut beliau, pemilihan dan pemakaian bahasa itu merupakan satu bentuk gambaran imej yang sangat tinggi apabila melihat sesuatu penulisan. Hasil penulisan harus dititikberatkan. Kredibiliti seorang penulis, penyunting dan syarikat itu juga sangat penting. Tambah beliau, terdapat empat aspek kesilapan yang sering ditemui dalam sesebuah penulisan, yakni fonologi, morfologi, sintaksis dan semantik.

Beliau turut menegaskan bahawa seorang penulis seharusnya bersedia untuk menggalas tanggungjawab terhadap pematuhan berbahasa dalam hasil penulisannya. Bagi beliau, penulis yang prihatin menekuni dan menggalas tanggungjawab tersebut berupaya mengelakkan imej negatif terhadap organisasi yang diwakilinya.

Beliau turut menyarankan agar rakyat Malaysia terus kekal memartabatkan bahasa Melayu, sekali gus mengalakkan masyarakat khususnya kelompok penulis merujuk bahasa melalui sumber yang berwibawa seperti Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.