Oleh Awang Sariyan
16 Disember 2022, 10:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Menteri Pendidikan yang baharu, YB Fadhlina Sidek menyatakan bahawa pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersatu (UEC) bukan keutamaan Kerajaan Perpaduan pimpinan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Penegasan itu tepat kerana pendidikan negara kita masih banyak diselubungi oleh isu penting seperti mutu pendidikan, keciciran dalam pendidikan, perpaduan, golongan miskin, sekolah daif dan pelbagai masalah lain. Pada hemat saya, bukan sahaja pengiktirafan UEC itu tidak bertaraf “bukan keutamaan” malah tidak relevan sama sekali dengan tujuan memupuk perpaduan dan pelaksanaan sistem pendidikan kebangsaan yang berorientasikan ciri-ciri kenegaraan. UEC berada di luar kerangka ciri kenegaraan.

Sejarah dan latar belakang isu yang berkaitan dengan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersatu (Unified Examination Cerficate) atau singkatnya UCE, yang dituntut oleh Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia perlu difahami. Sijil itu melibatkan 60 buah sekolah menengah persendirian Cina (SMPC) yang berasingan daripada sekolah menengah jenis kebangsaan Cina (SMJKC). SMPC wujud sebagai kesan penolakan lembaga pengurusnya untuk menerima tawaran kerajaan sebagai sekolah bantuan penuh kerajaan yang disyaratkan agar melaksanakan sistem sekolah menurut kurikulum kebangsaan, menurut Akta Pendidikan 1961 pada waktu itu.

Kewujudan sekolah yang enggan tertakluk kepada kurikulum kebangsaan itu sendiri menimbulkan kesangsian bagaimana sekolah yang berada di luar sistem pendidikan kebangsaan patut diberi layanan dengan mengiktiraf sijil yang dikeluarkannya. Kurikulum asalnya berorientasikan latar di Taiwan, meskipun kini, menurut Dong Zong, telah “dimalaysiakan”. Dalam keadaan kelulusan tertentu dalam mata pelajaran Bahasa Melayu yang tidak disyaratkan, menjadi pertanyaan apakah yang telah “dimalaysiakan”? Demikian juga, ketiadaan mata pelajaran Sejarah yang berkaitan dengan penghayatan sejarah tanah air Malaysia tidak mewajarkan penerimaan secara mudah bahawa kurikulum SMPC telah “dimalaysiakan”. Bahkan kurikulum yang menjadi kompas sekolah persendirian Cina itu masih menjadi misteri dan sukar diperoleh maklumat rasminya.

Bertitik tolak dengan latar belakang ringkas itu, perhatian penting perlu diberikan kepada falsafah dan matlamat sistem pendidikan negara yang dirancang dan dilaksanakan untuk memenuhi asas kenegaraan, terutama perpaduan kebangsaan dan peningkatan pancang kenegaraan yang menjadi asas jati diri warganegara Malaysia, termasuklah bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi. Sistem pendidikan yang bersifat “laissez-faire” dan membenarkan subsistem-subsistem lain tidak akan berjaya memenuhi falsafah dan matlamat kenegaraan.

Pemerintah Malaysia sejak awal kemerdekaan mengamalkan pendekatan yang amat bertolak ansur dan berusaha memenuhi kehendak rakyat berbilang kaum, termasuklah sistem pendidikan. Tidak seperti negara lain seperti Indonesia dan Thailand, pemerintah Malaysia mengizinkan kewujudan sekolah rendah jenis kebangsaan Cina dan Tamil dan juga sekolah menengah jenis kebangsaan Cina. Kewujudan subsistem dalam bentuk sekolah jenis kebangsaan itu sahaja pun telah menimbulkan masalah untuk membentuk jati diri dan citra kewarganegaraan yang padu.

Sesudah lebih 65 tahun negara merdeka, masih timbul masalah ketidakfasihan sejumlah warganegara dalam penguasaan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi. Dalam pelaksanaan kurikulum pula, masih wujud polarisasi apabila dua sukatan pelajaran berbeza diwujudkan untuk sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan, situasi yang tidak akan mempercepat penyatuan rakyat melalui bahasa kebangsaan. Hal itu turut menimbulkan keanehan kerana ada dua standard bahasa negara, satu untuk pelajar sekolah kebangsaan dan satu lagi untuk sekolah jenis kebangsaan.

Perlembagaan Persekutuan yang digubal telah memaktubkan asas kenegaraan yang penting, iaitu antara rakyat asal penduduk negara ini dengan rakyat yang berasal dari luar Persekutuan Tanah Melayu. Melalui pelaksanaan jus soli, telah diterima oleh orang Melayu akan kehadiran rakyat dari negara lain, dan sebagai imbangan terhadap kesediaan dan keikhlasan orang Melayu itu, maka ditetapkan beberapa asas kenegaraan yang berteraskan penduduk asal dan majoriti negara. Antara pancang kenegaraan yang penting dalam Perlembagaan Persekutuan termasuklah Kedudukan Raja-raja Melayu, Islam sebagai agama Persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera, dan hak sah rakyat keturunan lain.

Pancang kenegaraan itu dilaksanakan dalam pelbagai sektor di negara ini, termasuklah melalui sistem pendidikan, iaitu sektor yang menjadi acuan pembentukan warganegara yang bercirikan negara Malaysia. Selain ketetapan Penyata Razak bahawa semua aspek pendidikan, iaitu kurikulum, latihan guru, bahan pengajaran dan pembelajaran, dan sistem peperiksaan perlu diseragamkan, aspek bahasa turut dijadikan landasan untuk memenuhi aspirasi negara.

Sebagaimana yang diusulkan dalam Penyata Razak 1956 dan kemudian diperkuat oleh Penyata Rahman Talib 1960 dan dimaktubkan dalam Akta Pendidikan 1961, bahasa Melayu menjadi bahasa penghantar utama sistem pendidikan kerana melalui bahasa yang sama dapat diserapkan nilai-nilai kenegaraan kepada murid dan pendemokrasian pendidikan dapat terlaksana, tidak seperti dalam zaman penjajahan Inggeris yang sistem pendidikannya bersifat mewujudkan polarisasi kaum, termasuklah dalam soal bahasa.

Kita menyaksikan bagaimana peranan dan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama pendidikan negara mengalami pasang surut apabila ketetapan itu tidak dilaksanakan dengan tegas dan tekal. Zaman pasang bagi peranan dan kedudukan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan negara dapat dilihat pada tahun 1960-an dan 1970-an, khususnya apabila Menteri Pendidikan pada hujung tahun 1960-an, Tun Patinggi Abdul Rahman Yaakub mengusahakan penukaran sekolah aliran Inggeris kepada sekolah aliran kebangsaan yang berteraskan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama secara beransur-ansur. Sementara itu, sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil tetap diteruskan.

Satu detik lagi peningkatan peranan dan kedudukan bahasa Melayu berlaku ketika Dato’ Seri Anwar Ibrahim menjadi Menteri Pendidikan apabila pada tahun 1987 dimulakan Kurikulum Bersepadu yang berasaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, dengan bahasa Melayu digerakkan agar “merentas kurikulum”.

Zaman surut bahasa Melayu ditandai oleh pelaksanaan PPSMI, iaitu dasar dan program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris pada tahun 2003 hingga tahun 2011. Meskipun pada zaman Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Menteri Pendidikan, program itu dimansuhkan dan diganti dengan program Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI), nasib bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama sistem pendidikan digelapkan oleh Program Dwibahasa atau Dual Language Programme yang bersifat ala PPSMI. Meskipun secara rasmi program itu dianggap pilihan sekolah, dalam pelaksanaannya program itu berlangsung dalam bentuk “rela dalam paksa”. Maklumat itu diperoleh secara langsung daripada sejumlah pengetua dan guru besar.

Hubung kait antara masalah pemantapan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama sistem pendidikan negara dengan isu pengiktirafan UEC sangat jelas. Dalam keadaan perjuangan meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama pendidikan selaras dengan Dasar  Bahasa Kebangsaan yang belum mencapai matlamatnya, maka pengiktirafan kepada UEC yang berteraskan pendidikan berbahasa penghantar bahasa Cina menambah duka dalam lara dan menambah barah dalam barah yang sedia ada.

Pada hemat saya, sijil persendirian biarlah berada dalam taraf persendiriannya, apatah lagi sijil itu mewakili hanya sejumlah rakyat, bahkan juga hanya mewakili sejumlah rakyat berketurunan Cina. Anggaran yang pernah dibuat adalah bahawa UEC hanya melibatkan kira-kira 15 peratus pelajar di negara ini. Kemurahan hati pemerintah, seandainya berlaku dengan mengiktiraf UEC akan mengundang pelbagai sijil lain yang dituntut untuk diiktiraf, sehingga akhirnya negara kini kebanjiran pelbagai jenis sijil dan menggerhanakan sijil yang bersifat kebangsaan seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM). Bahkan ada dalam kalangan orang Cina sendiri yang tidak menyetujui pengiktirafan UEC, khususnya mereka yang mengatakan lebih “setia kepada negara” kerana menghantar anak ke sekolah kebangsaan. Mereka menganggap bahawa pengiktirafan UEC merampas hak sebahagian daripada mereka yang mengikuti pengajian di sekolah kebangsaan.

Akhirnya, apa-apa pun keputusan pemerintah, asas terpenting yang mesti difikirkan adalah bahawa negara terbina dan terlestari dengan adanya pancang-pancang kenegaraan. Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi menjadi salah satu pancang penting, baik untuk perpaduan mahupun untuk menjadi wahana pentadbiran dan komunikasi dalam bidang lain. Kita perlu mengutamakan rancangan dan pelaksanaan untuk memenuhi semangat Penyata Razak 1956 yang menetapkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa utama penghantar sistem pendidikan negara. Bahasa lain dirancang dan dilaksanakan pengajaran dan penggunaannya dalam konteks untuk membantu meningkatkan pengutuhan tamadun negara, terutama ilmu tetapi bukan sebagai pengganti bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.