Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangImbuhan apitan ke-…-an merupakan imbuhan yang dapat ditambah pada pelbagai bentuk kata dasar. Hal ini meliputi kata tunggal, kata terbitan, kata majmuk dan kata ganda. Dalam hal ini, imbuhan ke-…-an biasanya membawa pengertian “hal atau keadaan yang terkandung dalam kata dasar”. Sila lihat contoh yang berikut:
Kata Tunggal
kesukaan, kejatuhan, kebenaran
Kata Terbitan (kata dasar yang sedia berimbuhan)
beR- keberkesanan
meN- kemenjadian
teR- keterlibatan
juru- kejurulatihan
tata- ketatasusilaan
bi- kebitaraan
-wan kedermawanan
-si- kesinambungan
-er- kecemerlangan
Kata Majmuk
setiausaha kesetiausahaan
sukarela kesukarelaan
Kata Ganda
malu-malu kemalu-maluan
pura-pura kepura-puraan
Frasa
Frasa Adjektif
tidak adil ketidakadilan
tak normal ketaknormalan
kurang senang kekurangsenangan
Frasa Kerja
tidak hadir ketidakhadiran
boleh laras kebolehlarasan
kurang ajar kekurangajaran
Imbuhan ke-…-an dapat ditambah pada kata dasar yang meliputi kata nama, kata kerja, kata adjektif dan kata tugas. Sila lihat contoh yang berikut:
Kata Nama
kerajaan, kesiangan
Kata Kerja
kebangkitan, keterlanjuran, keberkesanan
Kata Adjektif
kesalahan, kejelitaan, kesementaraan, keterampilan
Kata Tugas
kesudahan, kemestian, keengganan, kesatuan
Kata terbitan yang berimbuhan ke-…-an meliputi pelbagai golongan kata, seperti yang berikut:
Kata Nama
Kementerian, kediaman
Kata Kerja
kehujanan, kecurian
Kata Adjektif
keinggerisan, kesukanan
Ada kata terbitan berimbuhan ke-…-an yang tergolong dalam lebih daripada satu golongan kata. Hal ini bergantung pada konteks penggunaannya dalam ayat yang berkenaan. Sila lihat contoh yang berikut:
Kata Kerja sebagai Kata Dasar
1a. Rumahnya kecurian.
1b. Kecurian telah berlaku.
Kata Adjektif sebagai Kata Dasar
2a. Dia ketakutan.
2b. Ketakutannya tidak masuk akal.
Dalam ayat 1a, kata kecurian ialah kata kerja pasif yang membawa maksud “diceroboh masuk oleh pencuri”, manakala dalam ayat 1b, kata kecurian ialah kata nama yang bererti “kehilangan harta benda kerana kena curi”. Dalam ayat 2a, kata ketakutan ialah kata kerja pasif yang membawa maksud “dilanda perasaan takut”, manakala dalam ayat 2b, kata ketakutan ialah kata nama yang mendukung maksud “rasa gentar untuk menghadapi sesuatu yang dianggap membahayakan diri”.
Ada juga kata terbitan dengan imbuhan ke-…-an yang mendukung maksud yang berbeza. Sila lihat contoh yang berikut:
3a. Kediaman muridnya merisaukan hatinya.
3b. Kediamannya terletak di pinggir bandar.
Dalam ayat 3a, kata kediaman bererti “keadaan diam atau tidak bercakap”, manakala dalam ayat 3b, kata kediaman bermaksud “tempat tinggal”.
Kata terbitan yang sedia berimbuhan ke-…-an dapat juga menjadi kata dasar bagi kata terbitan lain. Sila lihat contoh yang berikut:
Kata Dasar Ke-…-an Kata Terbitan
kedudukan berkedudukan
kepentingan berkepentingan
kerajaan berkerajaan
Selain itu, kata terbitan dengan imbuhan ke-…-an dapat juga bergandingan dengan kata peri untuk menghasilkan kata majmuk. Sila lihat contoh berikut:
Kata Terbitan Ke-…-an + Peri
kebinatangan perikebinatangan
kemanusiaan perikemanusiaan
kesopanan peri kesopanan
Kata terbitan ke-…-an dapat juga menghasilkan bentuk kata yang kompleks dengan mekanisme morfologi yang berlapis-lapis. Sila lihat contoh yang berikut:
Bentuk Asal Unsur Tambahan Bentuk Akhir
kemanusiaan peri perikemanusiaan
perikemanusiaan ber- berperikemanusiaan
berperikemanusiaan tidak tidak berperikemanusiaan
tidak berperikemanusiaan ke-…-an ketidakberperikemanusiaan
Kata ketidakberperikemanusiaan sepatutnya ditulis sebagai kata ketidakberperikemanusiaanan kerana kata dasarnya ialah tidak berperikemanusiaan dan imbuhannya ialah ke-…-an. Maksud kata tersebut ialah “hal atau keadaan tidak berperikemanusiaan”. Walau bagaimanapun, bentuk -an pada imbuhan ke-…-an telah digugurkan kerana kata kemanusiaan sudah sedia berakhir dengan bentuk -an. Hal ini selari dengan kata memberi yang menjadi kata memberi selepas bentuk -i pada imbuhan mem-…-i digugurkan (Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, 2015:207). Dengan itu, terhasillah kata ketidakberperikemanusiaan yang mengandungi 25 huruf dan 25 bunyi, iaitu antara kata bahasa Melayu yang terpanjang.