Oleh Kho Thong Eng
28 Disember 2022, 09:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Apabila kita ke pasar untuk membeli barang keperluan dapur, biasanya kita akan membeli pelbagai jenis barang. Hal ini berlaku demikian kerana setiap ahli keluarga kita sudah tentu mempunyai keperluan dan kehendak yang berbeza. Selain itu, kita harus memastikan keseimbangan khasiat makanan sentiasa menjadi keutamaan.

Selepas penat membuat pilihan dan pembelian, sudah pasti bakul atau beg kita penuh berisi dengan pelbagai jenis belian. Dari segi sayur-sayuran, kita mungkin sudah membeli sawi, kailan, kacang buncis, kacang bendi, dan yang sebagainya.

Kalau kita renungi sejenak, adakah bentuk kata atau frasa yang betul ialah  sebagainya atau yang sebagainya? Cuba kita analisis ayat ini:

 

Ayat Majmuk Gabungan

  1.  *Saya membeli sawi, kailan, kacang buncis, kacang bendi, dan sebagainya.

 

Ayat Tunggal

2a.  Saya membeli sawi.

2b.  Saya membeli kailan.

2c.  Saya membeli kacang buncis.

2d.  Saya membeli kacang bendi.

2e.  *Saya membeli sebagainya.

Apabila ayat majmuk gabungan tersebut (ayat 1) dipisahkan kepada lima buah ayat tunggal (kelompok ayat 2), kita akan nampak bahawa bentuk ayat 2e adalah kurang sempurna. Hal ini dikatakan demikian kerana kata membeli merupakan kata kerja transitif, dan harus diikuti oleh objek kata nama atau frasa nama. Namun demikian, dalam ayat 2e, kata sebagainya ialah binaan kata sendi nama sebagai dengan kata ganti diri pihak ketiga -nya. Maksudnya sama seperti seumpamanya, sepertinya dan seperti itu. Bentuk sedemikian hanya dapat menjadi unsur penerang dalam frasa nama (kelompok ayat 3), bukannya frasa nama (kelompok ayat 4). Sila lihat contoh yang berikut:

 

3a.  Baju sebagainya tidak sesuai untuk cuaca kita.

3b.  Baju seumpamanya tidak sesuai untuk cuaca kita.

3c.  Baju sepertinya tidak sesuai untuk cuaca kita.

3d.  Baju seperti itu tidak sesuai untuk cuaca kita.

 

4a.  *Sebagainya tidak sesuai untuk cuaca kita.

4b.  *Seumpamanya tidak sesuai untuk cuaca kita.

4c.  *Sepertinya tidak sesuai untuk cuaca kita.

4d.  *Seperti itu tidak sesuai untuk cuaca kita.

 

5a.  Yang sebagainya tidak sesuai untuk cuaca kita.

5b.  Yang seumpamanya tidak sesuai untuk cuaca kita.

5c.  Yang sepertinya tidak sesuai untuk cuaca kita.

5d.  Yang seperti itu tidak sesuai untuk cuaca kita.

 

Dalam kelompok ayat 4, rangkaian kata sebagainya bukan frasa nama dan tidak dapat menjadi subjek ayat. Dalam kelompok ayat 5 pula, rangkaian kata yang sebagainya merupakan frasa nama yang telah digugurkan inti seperti kata baju. Oleh itu, rangkaian kata yang sebagainya dapat menjadi subjek ayat. Hal ini bererti bahawa ayat 1 harus ditulis dengan rangkaian kata yang sebagainya supaya binaan ayatnya sempurna. Sila lihat contoh yang berikut:

 

  1.  Saya membeli sawi, kailan, kacang buncis, kacang bendi, danyang sebagainya.

 

Bagaimanakah pula dengan kata lain-lain?  Sila lihat contoh ayat yang berikut:

 

  1.  *Saya membeli daging, ikan, sayur dan lain-lain.

 

Kata lain merupakan kata adjektif. Apabila kata adjektif digandakan, golongan katanya masih adjektif, dan bukan kata nama. Sila kita bandingkan ayat yang berikut:

 

8a.  Saya membeli barang yang murah.

8b.  Saya membeli barang yang lain.

 

9a.  Saya membeli barang yang murah-murah.

9b.  Saya membeli barang yang lain-lain.

 

Dalam kelompok ayat 8, kata murah dan lain merupakan kata adjektif yang menghuraikan kata nama barang. Dalam kelompok ayat 9, kata ganda murah-murah dan lain-lain tetap merupakan kata adjektif, tetapi mendukung maksud jamak. Oleh itu, kata murah-murah dan lain-lain bukan kata nama.

Dengan hal demikian, kita dapat memisahkan ayat 6 kepada lima buah ayat tunggal, seperti yang berikut:

 

10a.  Saya membeli daging.

10b.  Saya membeli ikan.

10c.  Saya membeli sayur.

10d.  *Saya membeli lain-lain.

 

Sama seperti contoh kata sebagainya, kata lain-lain tidak dapat menjadi subjek ayat seperti frasa yang lain-lain. Sila lihat contoh yang berikut:

 

11a.  *Lain-lain dibelinya.

11b.  Yang lain-lain dibelinya.

11c.  Barang yang lain-lain dibelinya.

 

Oleh sebab kata lain-lain bukan kata nama, kata itu tidak dapat menjadi objek yang mengikuti kata kerja transitif. Bentuk yang betul ialah frasa nama yang lain-lain. Oleh itu, ayat 7 harus ditulis semula seperti yang berikut:

 

  1.  Saya membeli daging, ikan, sayur dan yanglain-lain.

 

Sebagai kesimpulannya, walaupun bentuk dan sebagainya, dan bentuk dan lain-lain sudah biasa kita gunakan, kita tetap harus beralih kepada bentuk dan yang sebagainya dan bentuk yang lain-lain agar binaan ayat kita utuh lagi sempurna.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.