Oleh Firdaus Mul
5 Januari 2023, 19:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Tabiat membaca merupakan amalan mulia yang seharusnya dipupuk sebermula seorang kanak-kanak mengenal huruf dan tahu mengeja. Amalan ini bukan sekadar melahirkan minda yang terbuka dan berwawasan, malah turut merangsang peningkatan pemerolehan bahasa seseorang. Oleh sebab itu, amalan membaca dalam kalangan kanak-kanak seharusnya menjadi keutamaan setiap ibu bapa di Malaysia. Sehubungan dengan itu, rancangan Cakna Bahasa anjuran BERNAMA Radio, telah menampilkan Puan Safa Safwan, yang juga merupakan Pengasas Komuniti Membaca dan Penulis, untuk berkongsi perihal “Bina Tabiat Membaca”.

Menurut Puan Safa Safwan, trend pembacaan di Malaysia dekad ini berkembang dengan begitu baik. Buktinya dapat dilihat di pesta-pesta buku yang dianjurkan sekitar tahun lepas yang bermula dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur pada bulan Jun, dan kemudiannya oleh pesta-pesta buku yang seterusnya dan yang terbaharu pada bulan Disember, iaitu Selangor International Book Fair.

Kita boleh melihat banyak pengunjung yang datang. Situasi ini bukan sekadar trend semata-mata tetapi kita boleh lihat dari sudut mereka hendak menjayakan apa-apa sahaja yang telah disarankan oleh mantan Menteri Pendidikan Malaysia, iaitu YBrs. Dr. Mazlee Malik untuk menjadikan Malaysia ini sebagai ‘Malaysia Membaca’.

Puan Safa Safwan (kanan) ketika bersiaran langsung dalam rancangan Cakna Bahasa, anjuran BERNAMA Radio.

Beliau turut menyatakan bahawa amalan membaca dalam kalangan anak-anak seharusnya bermula daripada didikan ibu bapa di rumah dan amalan ini seharusnya menjadi satu tabiat yang konsisten sehingga mereka meningkat dewasa. Sementara itu, bagi sesetengah pihak yang baru berjinak-jinak untuk mengamalkan tabiat membaca seawal usia dewasa, amalan membaca akan membantu mereka memperoleh maklumat dan informasi sesuatu perkara.

Untuk ibu bapa di rumah, sebaik-baik usia anak-anak yang sepatutnya kita boleh perkenalkan ataupun dedahkan ialah dari saat mereka mula mengenal dan tahu apakah itu objek yang bernama buku. Kita boleh memperkenalkan kepada mereka bahawa aktiviti pembacaan ialah aktiviti yang menyeronokkan dan  suatu perkara yang bermanfaat untuk dilakukan.

Beliau juga menegaskan bahawa amalan tabiat membaca yang dipraktikkan sejak usia kecil sangat membantu dirinya dalam proses pemerolehan bahasa, yakni kesan daripada tabiat pembacaan yang akhirnya membolehkan beliau mempunyai perbendaharaan kosa kata yang banyak sehingga perkara ini membantu dirinya dalam proses penulisan.

Tanpa tabiat pembacaan adalah sesuatu yang mustahil untuk meningkatkan input pemerolehan bahasa. Sebagaimana ujar beliau, “Saya bersyukur kerana kelebihan membaca sejak awal dahulu – sewaktu kecil menjadikan saya kaya dengan kosa kata. Oleh itu, apabila kaya dengan kosa kata dan saya salurkannya dalam minat saya, iaitu menulis. Saya suka menulis puisi khususnya dan sangat perlukan kekayaan kosa kata ini untuk membantu saya mencari ilham dan berkreativiti dengan penulisan. Amalan membaca juga mendidik saya menjadi seorang yang berfikiran terbuka dan lebih kreatif dalam menyampaikan maklumat”.

Sebelum berakhirnya sesi perkongsian ilmu itu, beliau turut berkongsi nasihat indah daripada seorang penulis buku Dunia adalah Senaskhah Dongeng kepada para pendengar.

Dengan membaca, engkau telah berjalan ke seluruh dunia tanpa melangkahkan kaki. Apabila engkau mula membaca, engkau mula hidup. Membaca bukan sekadar membaca, sebaik-baiknya membacalah untuk mendidik jiwa. Membaca seribu buku bermakna bahawa engkau hidup seribu kali. Membeli buku ini akan hilang maknanya jika engkau tidak membeli waktu untuk membaca.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.