Oleh Suria Eh Tet
26 Januari 2023, 23:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kelantan − Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) dengan kerjasama Jabatan Penyiaran Kelantan telah berjaya menganjurkan Taklimat Penulisan Skrip Drama Radio dan Rancangan Radio KELANTANfm di Auditorium Titian Murni, Jabatan Penyiaran Kelantan.

Sebanyak 24 orang penulis kelahiran Kelantan termasuklah penulis seperti Hashim Latiff, Mukhtar Mustafa, Ramli Abdul Halim, Abdul Hadi Yusoff, dan Dr. Abdullah Yusoff  telah menghadiri taklimat ini yang bertujuan untuk memberikan ruang dan peluang kepada penulis di Kelantan mencurahkan idea dalam bidang penulisan skrip drama radio yang semakin dilupakan, terutamanya di Stesen Radio KELANTANfm.

Rancangan drama radio ini tercetus selepas kunjungan hormat pertama DBPWT ke Jabatan Penyiaran Kelantan pada 5 Disember yang lepas. Pada pertemuan yang lalu, kedua-dua pihak bersepakat untuk mengangkat semula bidang bahasa dan sastera menerusi medium penyiaran supaya penerimaan oleh masyarakat lebih menyeluruh.

Pengarah DBPWT, Ariza Che Ismail dalam ucapannya berkata:

Semoga ruang ini mampu mendidik minat anak-anak muda kita untuk melahirkan idea mereka menerusi genre drama radio dan seterusnya melahirkan barisan penulis dan penggiat sastera yang lebih banyak di negara kita.

Terdapat empat rancangan yang telah dipersetujui dan akan dilaksanakan yang bermula pada tahun ini. Antaranya termasuklah Seloka Bersahut yang diterbitkan oleh Hazilah Hashim. Rancangan ini menggunakan dialek Kelantan sepenuhnya dan berlangsung selama 30 minit bagi setiap sesi. Tajuk ditentukan oleh pihak penerbit. Pengisian skrip rancangan pula ditambah baik oleh Sumardi Hamat@Muhammad atau lebih dikenali sebagai DJ Pakdo.

Rancangan kedua pula berbentuk drama daerah yang bertajuk Abang Pa Kereta Plat. Rancangan ini diterbitkan oleh Haslina Hamzah atau lebih dikenali sebagai DJ Kak Ngoh. Isu yang dikemukakan bagi setiap episod haruslah isu semasa dan mengandungi unsur jenaka. Abang Pa merupakan watak utama dalam rancangan ini dan watak sampingan, iaitu Mek Moh merupakan isteri Abang Pa dan watak Mek Ani turut ditambah untuk mewarnai jalan cerita drama ini. Drama mingguan ini disiarkan selama 15 minit pada setiap hari Jumaat, pukul 5.30 petang melalui siaran KELANTANfm.

Di samping itu, penerbit yang sama, iaitu Haslina Hamzah turut menerbitkan drama khas yang berdurasi selama 30 minit. Drama khas ini bakal disiarkan pada Hari Raya Aidilfitri Hari Raya Aidiladha, Hari Kebangsaan dan pada hari istimewa sahaja. Jalan cerita drama khas ini bergantung pada kesesuaian peristiwa yang berlaku.

Rancangan keempat yang dilaksanakan ialah dokumentari radio. Dokumentari radio melibatkan isu dan peristiwa semasa sahaja. Rancangan ini bersiaran selama 30 minit dan diterbitkan oleh Mohamad Sukri Ismail. Dokumentari merupakan filem realiti yang digambarkan oleh sesuatu perkara dan diterapkan menerusi visual atau teksnya.

Seterusnya, rancangan Cahaya Ramadan pula diterbitkan oleh Mohd Sidik Abdullah atau lebih dikenali sebagai DJ Abe Dik. Rancangan ini akan berlangsung selama 30 minit sepanjang bulan Ramadan, bermula pada pukul 5.30 petang. Rancangan ini berkonsepkan kerohanian yang menerapkan nilai murni kepada pendengar, bersesuaian dengan tema pada bulan tersebut. Rancangan ini juga akan menyiarkan tajuk yang berbeza pada setiap hari. Teknik penceritaan yang akan digunakan dalam rancangan ini ialah penceritaan suara latar.

Melalui program rangkaian seperti ini, jaringan kerjasama antara DBPWT dengan Jabatan Penyiaran Kelantan diharapkan terus utuh sehingga ke akar umbi. Program ini juga mampu membakar semangat dan menarik lebih banyak penulis kelahiran Kelantan untuk berkarya dalam usaha memartabatkan bahasa kebangsaan khususnya dialek Kelantan.

Pengarah Jabatan Penyiaran Kelantan, Encik Wan Azhan Wan Hamat (duduk lima dari kiri) bergambar bersama-sama para penulis.

 

Pengarah DBPWT, Puan Ariza Che Ismail berucap sebelum berlangsungnya sesi Taklimat Penulisan Skrip Drama Radio dan Rancangan Radio KELANTANfm.

 

Puan Hazilah Hashim memberikan taklimat berkaitan dengan rancangan Seloka Bersahut.

 

Para peserta khusyuk mendengar taklimat Penulisan Skrip Drama Radio dan Rancangan Radio KELANTANfm.

 

Sesi soal jawab bersama-sama peserta program.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.