1 Februari 2023, 08:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bahasa sangat penting dalam kehidupan seharian manusia. Dengan bahasa yang tersusun dan indah, keharmonian boleh dicapai dan disemarakkan dalam masyarakat. Dalam hal ini, kesantunan berbahasa ialah perkara utama yang perlu dititikberatkan. Antara ciri kesantunan ini termasuklah cara dan bentuk bahasa yang digunakan oleh seseorang dengan sopan, dan bertimbang rasa. Contohnya, bahasa yang digunakan untuk menolak permintaan seseorang tanpa mengecilkan hatinya. Penggunaan bahasa sapaan lisan atau bertulis yang mempunyai elemen sopan santun ini dapat mengelakkan seseorang itu dianggap sebagai biadap atau tidak berbudi bahasa.

Budi merupakan tingkah laku individu yang baik, sopan santun, berakhlak terpuji dan berwatak insan mulia, serta mempunyai akal fikiran yang baik dan bijaksana. Bagi masyarakat Melayu, kata “budi” itu membawa pelbagai maksud. Antaranya termasuklah jasa dan sumbangan yang diberikan kepada individu yang lain. Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, budi bahasa merangkumi pekerti, akhlak, watak dan kelakuan yang baik, sopan, pemurah dan sebagainya yang dikenali sebagai nilai murni. Budi bahasa penting bagi menjamin keharmonian bangsa yang pelbagai kaum. Oleh itu, kerajaan menganjurkan kempen “Budi Bahasa Amalan Kita”.

Komunikasi seharian dengan menggunakan bahasa secara sopan dan beradab dikenali sebagai kesantunan berbahasa. Kesantunan berbahasa bermaksud kesopanan dan kehalusan ketika menggunakan bahasa, baik dalam bentuk lisan atau tulisan. Kesantunan berbahasa dari segi verbal merujuk percakapan, lisan dan pertuturan. Kesantunan berbahasa verbal perlu sentiasa ditonjolkan, terutamanya ketika bercakap dengan orang lain, bergurau senda dengan rakan, menyampaikan maklumat, bertanyakan sesuatu, dan membuat pembentangan kepada khalayak umum.

Secara ringkasnya, konsep kesantunan berbahasa verbal merujuk semua aspek komunikasi secara lisan. Contohnya, melalui media massa, seperti radio, televisyen dan internet, pengucapan awam dan ceramah, seminar serta sesi ucapan. Semua contoh ini menuntut penuturnya agar menggunakan bahasa yang sopan santun ketika menyampaikan sesuatu. Dalam masyarakat Melayu, kesantunan berbahasa sangat penting kerana bahasa melambangkan kehalusan budi, kesopanan, dan tingkah laku penutur dan masyarakat bahasa tersebut. Contohnya, mengutamakan untuk bertanya khabar apabila bertemu sahabat lama atau memberikan salam apabila bertemu dengan sahabat handai atau orang yang lebih tua sebagai tanda menghormati orang lain.

Selain kesantunan verbal, kesantunan nonverbal juga perlu dititikberatkan. Kesantunan nonverbal ini ialah komunikasi bahasa tanpa kata atau dikenali sebagai bahasa tubuh dengan cara beradab dan sopan. Bahasa tubuh ialah proses pertukaran fikiran dan idea apabila mesej disampaikan melalui isyarat, ekspresi wajah, pandangan mata, sentuhan dan gerakan tubuh. Konsep kesantunan berbahasa ini, sama ada secara verbal atau nonverbal, perlu ada pada diri setiap insan. Konsep kesantunan berbahasa nonverbal ini merujuk semua perlakuan yang tidak menggunakan bahasa lisan untuk menyampaikan mesej yang dapat difahami.

Bahasa tubuh, ekspresi wajah yang merangkumi hubungan mata memainkan peranan yang sama penting untuk melestarikan konsep kesantunan nonverbal. Ekspresi muka dapat menjadi sumber informasi yang menggambarkan keadaan emosi seseorang, seperti perasaan takut, marah, jijik, muak, sedih, dan gembira. Melalui ekspresi muka, seseorang itu dapat mengetahui perasaan orang lain. Melalui mata pula, seseorang itu boleh mengetahui sikap orang lain. Contohnya, mata menggambarkan sama ada seseorang itu bersiap sedia untuk berinteraksi dan begitu juga sama ada seseorang itu memberikan perhatian terhadap penutur atau tidak.

Kesantunan bahasa ini boleh diaplikasikan dalam upacara khusus bagi menyemai dan menyemarakkan budaya berbahasa. Antaranya termasuklah melalui pertandingan pengucapan awam, seperti debat, forum, dan pidato. Debat ialah kaedah rasmi untuk berinteraksi bagi mewakili perbincangan. Debat ialah bentuk yang lebih luas bagi sesebuah perbincangan berbanding dengan perbincangan secara logik. Hal ini dikatakan demikian kerana debat merangkumi pujukan yang memberikan penekanan terhadap tindak balas emosi pendengar. Debat juga mempunyai peraturan yang membolehkan pesertanya berbincang dan memutuskan hal tentang perbezaan dalam rangka yang menentukan cara berinteraksi. Debat tidak rasmi ialah suatu yang normal. Kualiti debat meningkat seiring dengan pengetahuan dan kemahiran pendebat.

Di samping itu, forum juga menarik untuk dipersembahkan. Forum merujuk perjumpaan untuk perbincangan terbuka tentang perkara yang menjadi kepentingan awam. Tempat forum boleh sahaja secara fizikal atau maya. Di tempat inilah peserta akan bertemu dan seterusnya bertukar idea serta pengalaman menerusi pelbagai topik.

Pidato pula ialah syarahan tentang tajuk tertentu yang disampaikan oleh pemidato kepada masyarakat umum. Pidato mengandungi pendahuluan, isi, dan penutup. Tujuan pidato adalah untuk menyampaikan idea berkenaan dengan sesuatu isu kepada hadirin, dan pada masa yang sama meyakinkan hadirin melalui cara pembawaan pidato. Oleh itu, pemidato mestilah memahami tujuan pidato ini terlebih dahulu.

Kesimpulannya, bahasa berperanan penting dalam penyampaian sesuatu mesej penting, sama ada dalam bentuk lisan ataupun bukan lisan. Hal ini perlu dititikberatkan oleh semua lapisan masyarakat kerana perkara yang dianggap sebagai kecil, seperti bahasa badan yang endah tak endah boleh menghancurkan ukhuwah yang terbina bertahun-tahun lamanya. Tuntasnya, didikan bahasa ini perlu dihayati dan diamalkan oleh setiap masyarakat yang inginkan perdamaian dalam perhubungan agar suasana harmoni boleh terus disemai dan disemarakkan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.