Oleh Firdaus Mul
3 Februari 2023, 08:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bahasa bukan sekadar menjadi alat yang menyatukan masyarakat majmuk dalam sesebuah negara. Kegemilangan bahasa Melayu pada suatu ketika dahulu sehingga diangkat menjadi lingua franca membuktikan bahawa bahasa Melayu merupakan satu daripada bahasa di dunia yang mudah untuk dipelajari baik dari sisi penutur jati mahupun penutur asing.

Menyentuh perihal penguasaan bahasa Melayu sebagai alat penghubungan, siri rancangan Cakna Bahasa anjuran BERNAMA Radio telah menampilkan Dr. Mardian Shah Omar, untuk mengupas topik “Bahasa Melayu untuk Pelancong”. Beliau merupakan Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya dan juga penulis buku Bahasa Melayu untuk Pelancong terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Dr. Mardian memulakan bicara dengan berkongsi pengalamannya berkenaan dengan proses menghasilkan buku Bahasa Melayu untuk Pelancong. Pengalamannya mengendalikan pelajar dan penutur asing dari pelbagai negara melalui pengajaran menguasai bahasa Melayu pada suatu ketika dahulu menjadi titik permulaan dirinya terinspirasi untuk menghasilkan sebuah buku panduan berbahasa Melayu.

Sebagaimana ujar beliau, “Berdasarkan pengalaman, saya mendapati bahawa penutur asing jika datang ke negara asing seperti Malaysia, mereka gemar untuk melancong sekali gus memahami budaya dan bahasa. Hal ini menggerakkan hati saya dan sangat menarik jika kita mampu menghasilkan sebuah buku untuk pelancong asing sebagai panduan kepada mereka ketika melancong di Malaysia. Mereka boleh membaca dan menggunakannya untuk berkomunikasi dengan orang tempatan”.

Sementara itu, beliau turut menegaskan bahawa kandungan buku Bahasa Melayu untuk Pelancong terbina dengan bahasa yang santai dan tidak mengandungi dialek. Hal ini demikian kerana tujuan utama penghasilan buku tersebut adalah untuk melahirkan penutur baharu bahasa Melayu, dan pada masa yang sama dapat memudahkan penutur asing untuk berkomunikasi dalam bahasa Melayu dengan cara yang tepat.

Beliau juga menjelaskan bahawa kebolehan menguasai pelbagai bahasa bukanlah sesuatu hal yang mustahil asalkan seseorang itu mempunyai minat untuk mempelajarinya.

Semasa di ATMA, Universiti Kebangsaan Malaysia, saya mengajar pelajar yang memang meminati bahasa Melayu. Mereka datang untuk belajar bahasa Melayu. Tidak ada masalah dan mereka memang gemar belajar bahasa Melayu. Kita boleh memberikan apa-apa sahaja kepada mereka dan mereka akan berasa seronok untuk menerimanya.

Beliau turut berkongsi kandungan buku Bahasa Melayu untuk Pelancong. Antara yang menarik termasuklah sewaktu mereka (pelancong) tiba di lapangan terbang dan kemudian ketika mahu mendapatkan teksi untuk pergi ke hotel. Contohnya, untuk bertanya tentang tempahan bilik yang telah dibuat, bagaimana untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain, bagaimana untuk bertanyakan arah dan sebagainya. Panduan dalam buku ini memudahkan mereka untuk bertanya.

Tambah beliau, dalam buku ini juga terkandung kata sapaan dan kata tanya yang pelbagai, yakni dilihat dapat memenuhi keperluan seorang penutur asing yang ingin menggunakan bahasa Melayu untuk berkomunikasi dengan orang tempatan sewaktu datang ke Malaysia.

Dari segi fizikal, buku Bahasa Melayu untuk Pelancong juga mudah dibawa ke mana-mana sahaja, yakni nipis dan dapat memberikan panduan kepada pelancong asing untuk pergi ke tempat-tempat tertentu. Selain itu, DBP turut membantu menerbitkan DVD interaktif berdasarkan buku tersebut, iaitu sebuah DVD interaktif yang lebih menarik.

Dr. Mardian Shah Omar ketika mengupas topik “Bahasa Melayu untuk Pelancong” dalam siri rancangan Cakna Bahasa anjuran BERNAMA Radio.

Sementara itu, beliau turut menyarankan kepada tenaga pengajar dan guru bahasa Melayu yang mendidik penutur asing berbahasa Melayu agar mengetahui latar belakang bahasa ibunda pelajar asing yang menuntut ilmu dengan mereka. Hal ini demikian kerana kecelaruan pemahaman nahu di antara bahasa ibunda penutur asing dengan bahasa Melayu boleh menyebabkan proses penafsiran makna yang tidak tepat.

Untuk tenaga pengajar, penting untuk mereka mengetahui tentang latar penutur asing. Sebagai contoh, jika mereka menggunakan bahasa Inggeris, maka seorang guru bahasa Melayu perlu tahu struktur dan tatabahasa bahasa Inggeris. Melalui cara ini, guru tersebut boleh menitikberatkan bentuk pengajaran yang lebih berkesan agar pelajarnya tidak melakukan kesilapan ketika berbahasa Melayu. Kalau tidak, mereka akan cenderung melakukan direct translation.

Beliau juga menegaskan bahawa bahasa Melayu merupakan satu daripada bahasa di dunia yang paling mudah untuk dipelajari berbanding dengan bahasa lain seperti bahasa Mandarin yang mempunyai irama yang membezakan makna atau bahasa Siam dan bahasa Arab yang mempunyai gender.

Tambah beliau lagi, apabila penutur asing itu sudah ada kosa kata bahasa Melayu, dan tahu cara penggunaan bahasa itu, maka mereka akan menyatakan bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa yang mudah untuk dipelajari. Disebabkan hal itu, kita juga boleh melihat banyak orang asing mula menguasai bahasa Melayu. Contohnya, orang Bangladesh, Myanmar dan Nepal yang datang ke Malaysia mudah menguasai bahasa Melayu. Walau bagaimanapun, mereka tidak menguasai kemahiran bahasa Melayu dari segi penulisan tetapi lebih kepada apa-apa yang mereka dengar dan cuba untuk digunakan semula.

Perkara penting yang perlu diketahui umum, bahasa Melayu mempunyai nilai komersialnya yang tersendiri. Contohnya, pada hari ini banyak pempengaruh yang terdiri daripada penutur asing mula mempelajari bahasa Melayu semata-mata untuk menjadi terkenal dan menjadikan penguasaan bahasa Melayu sebagai mata pencarian mereka di Malaysia. Bahkan di negara China pada waktu ini, terdapat 15 buah universiti yang menawarkan Program Pengajian Bahasa Melayu dan bahasa Melayu menjadi keutamaan mereka. Yang lebih menariknya, mereka bukan mempelajari bahasa Melayu di Indonesia tetapi bahasa Melayu di Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.