Oleh Firdaus Mul
11 Februari 2023, 11:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Bahasa Melayu bukan sekadar terkenal dengan kesantunan dan keindahannya, malah turut terkenal dengan kekayaan khazanah ilmu yang terkandung di dalamnya. Peribahasa merupakan satu daripada khazanah ilmu yang ada dalam bahasa Melayu. Menyentuh perihal peribahasa Melayu, siri rancangan Cakna Bahasa anjuran BERNAMA Radio, telah menampilkan Dr. Noor Azizi Mohd Ali, yang juga seorang Pensyarah Kanan di Fakulti Rekabentuk dan Seni Bina, Universiti Putra Malaysia, bagi mengupas topik “Kata dan Rupa”.

Dr. Noor Azizi Mohd Ali dalam  rancangan Cakna Bahasa anjuran BERNAMA Radio.

Menurut beliau, “Kata dan Rupa” merupakan sebuah pameran hasil seni beliau yang perjalanannya bermula pada tahun 2014. Ketika itu, beliau mula menghasilkan lakaran yang bersumberkan peribahasa Melayu. Lukisan peribahasa pertama beliau ialah lukisan yang terinspirasi daripada peribahasa “Harapkan pagar, pagar makan padi”.

Sementara itu, beliau turut berkongsi pengalaman yang membuatnya cenderung untuk menghasilkan karya seni lukis yang bersumberkan peribahasa Melayu. Beliau berkata, tercetusnya idea untuk menghasilkan karya seni lukis yang bersumberkan peribahasa kerana beliau banyak membaca buku peribahasa dan Sejarah Melayu. Kekeliruan terhadap peribahasa juga mendorongnya untuk menghasilkan karya seni lukis menurut peribahasa yang sebenar.

Saya rasa dengan melahirkan karya daripada peribahasa ini, kita dapat mendalami bagaimana kehidupan masyarakat Melayu pada suatu ketika dahulu. Peribahasa adalah bahasa lisan dan dicipta berdasarkan apa-apa yang mereka lihat di sekitar kehidupan mereka.  Apa-apa yang mereka lihat itu cuba diolah menjadi peribahasa dan hal  itu yang sangat menarik. Saya berasa bahawa bahasa yang begitu indah ini jika kita tidak terjemahkannya ke dalam bentuk lukisan akan berlaku kesilapan pemahaman ataupun terpesong daripada makna asalnya.

Selain itu, beliau berkata, “Sebenarnya agak sukar juga kerana ada banyak lapisan proses yang perlu dilalui. Saya terpaksa memilih buku-buku lama untuk mengkaji peribahasa dan maksudnya. Buku-buku tahun 1940-an yang saya dapat dari kedai buku lama pula harganya sudah mencecah ratusan ringgit pada hari ini. Kemudian, saya cuba mengambil peribahasa yang mudah difahami dahulu dan memahami maksudnya. Dari situ, saya cuba melihat watak ataupun isi utama dalam peribahasa tersebut dan cuba terjemahkannya”.

Misalnya, watak utama dalam peribahasa “Melepaskan batuk di tangga”. Watak utama ialah batuk dan tangga. Saya melukisnya dahulu bentuk batuk tersebut yang semacam senduk. Kemudian, saya mengolah cara untuk menggambarkan batuk itu dilepaskan. Kemudian, tangga pula menjadi satu daripada latar belakang dalam lukisan tersebut.

Lukisan peribahasa “Bagai melepaskan batuk di tangga”.

Menurut beliau, lukisan yang berinspirasikan peribahasa yang dihasilkannya setakat ini sudah mencecah lebih kurang 120 keping. Beliau turut mengupas periha hasil lukisan peribahasanya dari perspektif seni. Beliau berkata, pengolahan lukisan yang dihasilkannya terbentuk dalam dua kategori, yakni abstrak dan literal.

Katanya, “Untuk melihat lukisan, yang pertama sekali ialah kita perlu melihat elemen yang perlu ada pada lukisan tersebut. Misalnya lukisan peribahasa “Melepaskan batuk di tangga”. Elemennya ialah batuk dan tangga. Kemudian, kita perlu mengolah bagaimana elemen itu bergabung, sama ada meletakkan batuk itu di bahagian tengah, tepi, atau atas. Itulah yang dipanggil sebagai pengolahan yangmengandungi bahagian depan, tengah dan belakang. Hasilnya, ada tiga lapisan supaya lukisan tersebut kelihatan tiga dimensi”.

Kemudian, seseorang itu perlu melihat pemaknaan, iaitu makna di sebalik lukisan tersebut yang berkaitan dengan peribahasa itu sendiri. Dari segi penggayaannya pula, lukisan ini dipanggil sebagai lukisan gaya elektik.

Satu daripada sebab saya menghasilkan karya ini adalah untuk membuka mata kita betapa bahasa adalah jiwa bangsa yang menggambarkan diri kita yang sebenarnya. Saya juga berasa kesal jika melihat bahasa yang digunakan netizen yang agak kasar dan kadang-kadang tidak beradab. Jika kita melihat peribahasa ini, bahasanya begitu santun, indah dan berlapik. Jadi, inilah satu daripada usaha saya untuk memartabatkan bahasa Melayu.

Lukisan peribahasa “Bunga bukan sekuntum, kumbang bukan seekor”.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.