Oleh Firdaus Mul
16 Februari 2023, 09:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuching – Bahasa merupakan anugerah terindah yang dikurniakan Tuhan kepada suatu bangsa di dunia. Tanpa bahasa, manusia tidak akan mampu mengenal sesama manusia yang lainnya. Bahasa etnik yang ada di Malaysia merupakan antara tanda keunikan dan kepelbagaian bahasa di mata dunia. Menyentuh perihal bahasa etnik, baru-baru ini dalam Konvensyen Guru Bahasa Etnik Kebangsaan 2023 anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia, telah menampilkan Prof Emeritus Dato’ Dr Hajah Asmah Haji Omar, yang juga seorang tokoh bahasa tanah air dalam sesi “Perkongsian Pengalaman Tokoh Bahasa: Kelestarian Bahasa Etnik dalam Kelangsungan Budaya Bangsa”.

Menurut beliau, bahasa merupakan satu pemberian Tuhan, yakni rahmat yang diberi oleh Allah SWT kepada manusia. Tambah beliau lagi, “Tiap-tiap bahasa ada sejarahnya. Ada sejarah yang akan memberikan pencerahan kepada kita tentang di manakah orang dahulu berada?, bagaimanakah mereka datang ke tempat yang ada sekarang?, bagaimanakah keadaan alam kita sekarang, pada zaman dahulu kala dan sebagainya?”.

Beliau turut menyatakan perihal bahasa etnik yang terdapat di Malaysia, iaitu “Kita juga ada orang Asli. Kata orang, orang Asli itu datang dari daratan Asia Tenggara. Jadi, mereka termasuk dalam keluarga yang lain, iaitu keluarga Astroasia. Jika kita tidak memelihara bahasa-bahasa ini, maka bahasa ini akan lupus begitu sahaja. Kita ingin tahu bukan setakat sejarah mereka datang ke Tanah Melayu, tetapi sejarah tempat asal mereka dan itu juga merupakan sejarah kita. Untuk Sabah dan Sarawak pula, jika kita lihat dari segi sistem dan struktur, bahasa di Sabah dan Sarawak ada kaitan dengan bahasa di pulau sebelah timur mereka, iaitu Filipina, Sulawesi dan sebagainya”.

Beliau juga menegaskan akan kepentingan mempertahankan, memelihara dan memupuk bahasa etnik di Malaysia daripada lupus begitu sahaja. Pelestarian bahasa etnik berupaya memberikan banyak ilmu pengetahuan tentang bahasa etnik, sejarah, alam dan etnik yang ada di negara ini.

Jika kita biarkan bahasa pribumi dan bahasa bumiputera kita tidak dijaga, tidak dipelihara dengan baik dan lupus begitu sahaja, maka satu bahagian daripada sejarah kita itu akan hilang begitu sahaja.

Sementara itu, beliau turut menyokong usaha murni KPM yang memperkenalkan mata pelajaran berteraskan bahasa etnik sebagai satu daripada mata pelajaran yang dipelajari di peringkat sekolah di Malaysia. Sebagaimana ujar beliau, “Itu usaha yang baik sekali. Kita baru bermula dengan tiga bahasa, satu daripada Semenanjung, iaitu Bahasa Semai. Kemudian, Bahasa Iban dan Bahasa Kadazandusun. Saya sudah pergi ke beberapa negara di dunia yang banyak bercakap tentang bahasa anak negeri dan sebagainya tetapi saya tidak pernah melihat ada rancangan seperti yang kita lakukan di sini”.

Tambahnya lagi, untuk memasukkan satu daripada bahasa bumiputera ini ke dalam sistem pendidikan itu bukan suatu kerja yang mudah.

Dari segi pengalaman saya bersama dengan Bahasa Kadazandusun dan Bahasa Iban ini bukan satu usaha yang mudah dan ringan. Bukan sahaja dari KPM tetapi memerlukan kerjasama juga daripada seluruh komuniti yang bertutur dalam bahasa itu. Mereka harus sama-sama memberikan pandangan dan pertolongan dalam apa-apa jua usaha ke arah menjadikan pengajaran bahasa mereka itu suatu kejayaan.

Prof Emeritus Dato’ Dr. Hajah Asmah Haji Omar ketika bersiaran secara dalam talian.
Antara buku Prof Emeritus Dato’ Dr. Hajah Asmah Haji Omar.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.