17 Februari 2023, 16:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

“Bahasa melambangkan bangsa.” Peribahasa Melayu tersebut yang sering kita dengar itu membawa maksud bahawa setiap tingkah laku atau tutur kata yang dilafazkan oleh seseorang itu dapat menunjukkan asal usul keturunannya. Bahasa merupakan satu alat komunikasi yang digunakan dalam kehidupan seharian yang melibatkan dua individu atau lebih. Aktiviti berkomunikasi membolehkan seorang penutur dan seorang pendengar menyampaikan dan menerima sesuatu maklumat dengan jelas. Oleh sebab itu, bahasa yang digunakan oleh masyarakat amat penting bagi membolehkan sesuatu maklumat yang ingin disampaikan dapat difahami dengan jelas.

Jika diteliti pada zaman ini, penggunaan bahasa Melayu tidak lagi dititikberatkan dengan penggunaan cara yang betul kerana bahasa Melayu asal telah bercampur dengan pelbagai sistem ejaan dan pertuturan yang tidak betul. Sebagai contoh, penggunaan media sosial yang berkembang pada masa ini telah mempengaruhi banyak pihak terutamanya golongan muda. Mereka semakin giat menggunakan media sosial sebagai satu daripada medium untuk berinteraksi secara dalam talian seperti WhatsApp, Twitter, Instagram dan Facebook dan bahasa Melayu telah digunakan dengan cara yang tidak betul.

Masyarakat Malaysia kini juga tidak lagi mengetengahkan penggunaan bahasa Melayu yang betul dek kerana bahasa rojak yang telah bercampur dalam bahasa Melayu seperti bahasa Inggeris dan ada juga kemasukan kata slanga yang tidak pernah didengari yang seterusnya akan menyebabkan seseorang individu itu akan menggunakan bahasa rojak tersebut dalam kehidupan seharian.

Media sosial merupakan satu daripada medium yang memberikan pengaruh yang kuat kepada generasi pada hari ini kerana penggunaan setiap tatabahasa dan ejaan itu sendiri telah diubahsuaikan mengikut cara pertuturan mereka yang ringkas dan seterusnya terbawa-bawa dalam kehidupan seharian seperti singkatan perkataan “tidak” kepada “x” dan “awak” kepada “awuck” dan penggunaan kata slanga seperti “dowh yang tidak membawa apa-apa maksud. Perkataan itu sengaja ditambah sebagai penyedap kata.

Bahasa singkatan yang pelik dan bahasa rojak ini sedang dan masih lagi digunakan sama ada dalam urusan rasmi ataupun tidak rasmi. Oleh itu, bahasa Melayu yang betul perlu diserapkan secara meluas dalam pendidikan sekolah rendah hingga ke peringkat universiti. Universiti merupakan institusi pendidikan untuk pelajar mengkaji dan menggali ilmu. Jika ilmu ditulis dalam bahasa lain, berkemungkinan ilmu itu tidak akan dapat difahami oleh anak bangsa lain. Sifat bahasa itu merentas sempadan dan merupakan sebahagian daripada proses kenegaraan. Bahasa ini juga mampu untuk mencerdikkan anak bangsa.

Selain itu, menurut Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, penggunaan bahasa yang tidak terkawal dari aspek aturan bahasa dan tatasusila juga menyebabkan bahasa Melayu “terjebak” dalam kemerosotan mutunya pada masa ini. Semakin hari semakin dapat kita melihat bahasa Melayu yang kurang berkualiti kerana rakyat sendiri yang telah mencampuradukkannya ke dalam bahasa asli Melayu supaya sedap didengari dan perlu mengikut trend zaman sekarang.

Biarpun zaman telah berlalu dengan pantas tetapi jangan pula kita memodenkan tradisi dan budaya bahasa Melayu itu sendiri. Walaupun singkatan kata dan bahasa rojak dianggap membawa maksud yang sama tetapi penggunaan ejaan dalam sistem bahasa Melayu perlu tepat dan betul dalam apa-apa jua keadaan. Jika tidak dibendung awal, hal ini akan menyebabkan pelajar terbiasa menggunakan bahasa yang salah tidak kira semasa peperiksaan mahupun dalam kehidupan mereka.

Dari sudut pandangan yang lain, penggunaan bahasa Melayu yang tidak betul bukan sahaja berlaku dalam kalangan pelajar bahkan dalam kalangan penjawat awam. Menurut Encik Abd. Karim A. Bakar yang berpengalaman dalam mengendalikan memo, penulisan surat, minit mesyuarat dan dokumen rasmi, penggunaan bahasa Melayu yang betul amat perlu dan sebagai keperluan menggunakan bahasa Melayu dalam semua urusan rasmi selaras dengan Perkara 152 Akta Bahasa Kebangsaan 1967.

Namun begitu, apabila bahasa rojak digunakan dalam mesyuarat, perhimpunan, kuliah atau bentuk perhubungan rasmi yang lain akan memberikan kesan yang buruk. Penggunaan bahasa rojak atau bahasa tidak baku dalam urusan rasmi menggambarkan disiplin yang rendah dan sikap tidak menghormati bahasa kebangsaan. Oleh sebab itu, penggunaan bahasa Melayu yang betul amat penting kerana akan memberikan pengaruh yang besar dalam setiap urusan. Pentingnya penggunaan bahasa Melayu yang betul kerana hal itu akan terus menjadi ikutan dan amalan bagi generasi akan datang.

Bahasa Melayu berkait rapat dengan identiti nasional negara bangsa dan melalui sistem pendidikan kebangsaan, para pelajar mestilah belajar dalam satu sistem bahasa pengantar yang sama. Dengan cara itu, seseorang warganegara akan memiliki satu karakter nasional. Bahasa Melayu berperanan dalam proses pembentukan suatu watak, sahsiah dan karakter rakyat Malaysia. Bahasa Melayu mempunyai keunikannya yang tersendiri. Oleh sebab itu, bahasa Melayu perlu dijaga kualitinya dan penggunaannya kerana akan diikuti oleh pelbagai tingkat umur terutamanya para pelajar.

Para pelajar ini masih lagi belajar untuk memahami konsep dan penggunaan bahasa Melayu yang betul kerana pada hari ini penggunaan media sosial yang meluas akan mengaburi mata mereka untuk menilai sesuatu perkara sama ada betul ataupun tidak. Justeru, usaha daripada pelbagai pihak perlu ditingkatkan supaya penggunaan bahasa yang tidak menepati ciri sistem bahasa Melayu yang betul dikenakan tindakan sewajarnya. Sebagai contoh, usaha daripada pihak sekolah yang perlu menjadikannya tanggungjawab utama kerana institusi pendidikan memainkan peranan yang utama mendidik pelajar ilmu yang betul.

Walau bagaimanapun, bahasa Melayu tetap menjadi bahasa penataran ilmu. Apabila bahasa Melayu digunakan, proses dapatan ilmu itu akan lebih merata dan meluas. Semua rakyat akan dapat menikmati hasil ilmu tersebut. Apabila bahasa Melayu digunakan secara meluas, tidak akan ada satu puak atau kelompok yang akan tercicir daripada bidang ilmu bahasa yang betul.

Jika bahasa Melayu terus dijulang dan dimartabatkan sebagai identiti Malaysia yang khas, maka tidak mustahil negara maju akan turut memandang Malaysia sebagai negara yang unik lantaran masyarakatnya yang pelbagai kaum tetapi tetap menjadikan bahasa Melayu sebagai sebagai bahasa utama yang digunakan dalam kehidupan seharian. Oleh yang demikian, kelemahan penggunaan bahasa Melayu yang kurang memuaskan itu harus diambil berat dan ditambah baik semula supaya keaslian bahasa Melayu pada masa akan datang terjaga dan akan terus diamalkan tidak kira dalam urusan rasmi ataupun tidak rasmi.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.