21 Februari 2023, 09:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Perkembangan produk hasil teknologi kecerdasan buatan semakin rancak pada masa ini. Antaranya termasuklah Generative Pre-trained Transformer  atau lebih dikenali sebagai ChatGPT. Produk ini diperkenalkan pada November 2022. Brown dan rakan-rakan dalam artikel “Language Models are Few-Shot Learner” menyatakan bahawa ChatGPT merupakan model bahasa yang dibina dengan menggunakan data besar daripada internet dan menggunakan teknologi pembelajaran mesin untuk mempelajari padanan bahasa.

Kelebihan ChatGPT ialah kemampuannya untuk menjawab pertanyaan, menyelesaikan tugas generatif dan melakukan tugas pemprosesan bahasa natural. Dalam artikel “GPT‑3: It’s Nature, Scope, Limits, and Consequences”, Floridi dan Chiriatti menjelaskan bahawa ChatGPT ialah model bahasa autoregresif yang menggunakan pembelajaran mendalam untuk menghasilkan teks yang mirip dengan teks yang dihasilkan oleh manusia. Produk ini berupaya menjanakan teks yang sesuai dalam pelbagai konteks dan bidang, termasuklah bidang pendidikan.

Dalam artikelnya, “Framework for A Foreign Language Teaching Software for Children Utilizing AR, Voicebots and ChatGPT (Large Language Models)”, Topsakal menerangkan bahawa dalam konteks dan bidang pendidikan bahasa, ChatGPT boleh menyediakan pelbagai kandungan untuk perisian pendidikan bahasa. Selain itu, ChatGPT boleh digunakan oleh guru untuk mereka bentuk isi kandungan pelajaran berdasarkan tahap kemampuan pelajar, menyenaraikan sumber rujukan dan meneroka strategi pengajaran yang sesuai digunakan untuk mengajar sesuatu kemahiran bahasa.

Di samping itu, ChatGPT dapat digunakan oleh guru untuk menghasilkan pelbagai latihan bahasa dan menilai hasil tulisan pelajar. Pelajar pula dapat menggunakan ChatGPT sebagai alat bantu untuk memudahkan pemahaman terhadap isi pelajaran bahasa yang dipelajari. Penggunaan ChatGPT juga dapat meningkatkan kecekapan pelajar dalam kemahiran menulis dan bertutur kerana kecepatan dan ketepatannya.

Bagi pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu, guru mungkin boleh menggunakan ChatGPT untuk menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Antaranya termasuklah penulisan karangan, latihan perbualan, latihan tatabahasa, pembelajaran kosa kata dan latihan pemahaman.

Dalam aktiviti penulisan karangan, guru boleh menggunakan ChatGPT untuk membantu pelajar menjana idea dan menulis karangan dengan baiknya. Pelajar dapat berinteraksi dengan ChatGPT dan menggunakan idea yang diperolah daripada ChatGPT untuk menulis karangan yang berkualiti.

Menerusi latihan perbualan, guru boleh menggunakan ChatGPT untuk menjanakan dialog bahasa Melayu yang menarik untuk membantu pelajar bertutur menggunakan bahasa Melayu dalam pelbagai konteks. Pelajar juga dapat berlatih berbual dengan ChatGPT mengikut topik yang diminati atau berdasarkan tema yang ditetapkan oleh guru.

Seterusnya, dalam latihan tatabahasa, ChatGPT boleh digunakan untuk menjanakan maklumat yang berkaitan dengan rumus bahasa berserta contoh ayat dan menyediakan pelbagai soalan yang berkaitan dengan tatabahasa Melayu untuk mengukuhkan pemahaman pelajar terhadap aspek tatabahasa bahasa Melayu dengan cara yang lebih interaktif. Pelajar juga boleh berinteraksi dengan ChatGPT untuk menganalisis kesalahan ayat dan wacana.

Bagi pembelajaran kosa kata, guru boleh meminta pelajar menyenaraikan kosa kata bahasa Melayu yang ingin dipelajari dengan menggunakan ChatGPT. Contohnya, kosa kata yang mempunyai bentuk sinonim, antonim, hiponim, dan polisemi. Pelajar turut boleh menggunakan ChatGPT untuk menjelaskan makna kosa kata tersebut dan menggunakannya untuk menghasilkan pelbagai ayat mudah.

Akhir sekali, bagi latihan pemahaman, ChatGPT dapat digunakan oleh guru untuk membantu pelajar memahami teks bahasa Melayu yang kompleks. Program ini juga dapat membantu pelajar meneroka makna konteks berdasarkan teks yang dibaca dan menganalisis makna tersirat yang terkandung dalam teks tersebut.

Namun begitu, semua contoh aktiviti ini memerlukan pengawasan dan pembetulan daripada guru untuk memastikan kandungan yang dihasilkan oleh ChatGPT bertepatan dengan sistem bahasa Melayu dan bersesuaian dengan tahap kemampuan pelajar, serta dapat memenuhi objektif pembelajaran. Hal ini dikatakan demikian kerana bukanlah semua maklumat yang diberikan oleh ChatGPT tepat. Hal ini ditegaskan oleh de Winter dalam artikel “Can ChatGPT Pass High School Exams on English Language Comprehension?”. Menurut de Winter, ada kalanya, ChatGPT kurang efektif untuk membuat inferens berdasarkan pernyataan bersyarat, seperti menjawab teka-teki logik. ChatGPT juga kadangkala didapati cuba menyalurkan maklumat yang tidak relevan dan tidak diperlukan oleh pengguna.

Penggunaan ChatGPT tanpa peraturan dan pengawasan akan menyuburkan budaya plagiarisme dalam kalangan pelajar Bahasa Melayu, khususnya di institusi pengajian tinggi. Jeblick dalam artikelnya “Chatting and Cheating: Ensuring Academic Integrity in the Era of ChatGPT” menyatakan bahawa pelajar di institusi pengajian tinggi berpotensi untuk menggunakan ChatGPT bagi menipu dalam ujian dengan cara menghantar jawapan atau penulisan yang bukan dihasilkan oleh pelajar sendiri, sebaliknya dihasilkan sepenuhnya oleh ChatGPT.

Selain itu, penggunaan ChatGPT boleh menyebabkan ketidakadilan dalam proses penilaian kerana penggunaannya hanya dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh pelajar yang mampu mengakses ChatGPT berbanding dengan pelajar lain yang tidak mampu mengaksesnya. Gejala seperti ini akan menyebabkan wujudnya sikap kebergantungan yang tinggi terhadap kecerdasan buatan dalam kalangan pelajar. Hal ini mungkin akan melemahkan daya pemikiran, kreativiti dan motivasi dalam kalangan pelajar, serta menghakis sifat jujur dalam diri pelajar.

Sesungguhnya, pengaplikasian ChatGPT dalam dunia pendidikan Bahasa Melayu akan memberikan pelbagai kesan yang baik dan buruk. Oleh itu, pihak Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Pengajian Tinggi dan kementerian yang berkaitan perlu bertindak segera bagi mendepani isu dan cabaran penggunaan ChatGPT dalam dunia pendidikan dengan merangka garis panduan dan peraturan, serta menyediakan model penggunaan ChatGPT dalam dunia pendidikan untuk semua peringkat pengajian.

Di samping itu, warga pendidik Bahasa Melayu juga perlu memanfaatkan kelebihan yang pada ChatGPT secara total demi memperkukuh pendidikan Bahasa Melayu dan pada masa yang sama perlu berwaspada dengan keupayaan dan kepintaran luar biasa yang ada padanya.

 

 

Dr. Muhammad Zuhair Zainal ialah Pensyarah Kanan Pendidikan Bahasa Melayu, Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, Universiti Sains Malaysia, yang juga merangkap Presiden Persatuan Pendidik Bahasa Melayu Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.