Oleh Kho Thong Eng
3 Mac 2023, 09:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Susunan kata dalam frasa diatur sedemikian untuk mendukung maksud tertentu. Biasanya susunan kata dalam sesuatu frasa bersifat tetap dan tidak dapat diubah. Namun demikian, ada kalanya usaha untuk menterbalikkan susunan kata dalam sesuatu frasa mendatangkan maksud yang sama atau berbeza. Sila lihat contoh yang berikut:

1a. Dia datang lambat.
1b. Dia lambat datang.

2a. Dia amat/sungguh/sangat pandai.
2b. Dia pandai amat/sungguh/sangat.

Dalam kelompok ayat 1, adverba lambat boleh berada di hadapan atau di belakang kata kerja seperti datang tanpa mengubah maksudnya. Dalam kelompok ayat 2, kata penguat bebas amat, sungguh dan sangat boleh berada di hadapan atau di belakang kata adjektif seperti pandai tanpa mengubah maksudnya.
Walau bagaimanapun, perubahan dari segi susunan kata dalam sesuatu frasa nama biasanya merobah maksudnya. Sila lihat contoh yang berikut:

3a. Dia suka makan kuning telur.
3b. Telur kuning dijadikan hiasan dalam majlis itu.

4a. Langit biru pada hari ini menandakan cuaca yang cerah.
4b. Dia membeli cat berwarna biru langit.

5a. Dia menternak ayam daging.
5b. Dia suka makan daging ayam.

6a. Air matanya berhamburan jatuh.
6b. Mata air itu ialah sumber air bersih bagi kampung itu.
6c. Mata airnya telah meninggalkannya.

7a. Pokok bunga itu tumbuh subur.
7b. Bunga pokok itu harum.

8a. Dia guru pembimbing muridnya.
8b. Dia pembimbing guru di institut pendidikan guru.

9a. Dia tidak mengetahui pokok pangkal kejadian itu.
9b. Pangkal pokok itu mereput.

10a. Berita itu telah disebarkan kepada orang ramai.
10b. Ramai orang berada di pasar.

11a. Kebanyakan orang suka bersukan.
11b. Orang kebanyakan duduk di belakang golongan bangsawan.

Dalam kelompok ayat 3, kuning telur ialah bahagian kuning pada telur, manakala telur kuning ialah telur yang berwarna kuning. Dalam kelompok ayat 4, langit biru ialah langit yang berwarna biru, manakala biru langit ialah sejenis warna. Dalam kelompok ayat 5, ayam daging ialah spesies ayam tertentu, manakala daging ayam bererti daging daripada ayam. Dalam kelompok ayat 6, air mata ialah air yang keluar dari mata, manakala mata air ialah tempat air terbit dari tanah atau kekasih (bahasa percakapan). Dalam kelompok ayat 7, pokok bunga ialah pokok yang berbunga, manakala bunga pokok bererti bunga pada pokok. Dalam kelompok ayat 8, guru pembimbing ialah guru yang membimbing murid, manakala pembimbing guru ialah pendidik atau jurulatih yang membimbing guru. Dalam kelompok ayat 9, pokok pangkal ialah sebab-sebab utama, manakala pangkal pokok ialah bahagian bawah pokok. Dalam kelompok ayat 10, orang ramai ialah masyarakat umum, manakala ramai orang ialah banyak orang. Dalam kelompok ayat 11, kebanyakan orang ialah sebilangan besar orang, manakala orang kebanyakan bererti orang biasa.
Ada kalanya perbezaan susunan kata dalam frasa membezakan rangkaian kata biasa daripada simpulan bahasa. Sila lihat contoh yang berikut:

12a. Dia bersifat panjang tangan.
12b. Tangan panjangnya membolehkannya mengambil barangan di rak teratas.

13a. Dia bersifat besar kepala.
13b. Kepala besarnya menandakan dia menghidap penyakit tertentu.

Dalam kelompok ayat 12, simpulan bahasa panjang tangan bererti tabiat suka mencuri, manakala rangkaian kata biasa tangan panjang ialah keadaan tangan yang sedia panjang. Dalam kelompok ayat 13, simpulan bahasa besar kepala bererti sifat sombong, manakala rangkaian kata biasa kepala besar ialah kepala yang sedia besar atau kepala yang besar sebagai akibat dihinggapi penyakit tertentu.
Perubahan susunan kata mungkin melibatkan frasa nama atau frasa lain. Sila lihat contoh yang berikut:

14a. Dia minum air.
14b. Air minum itu suam.

15a. Dia langsung tidak mahu balik ke kampung.
15b. Dia menolak pelawaan itu secara tidak langsung.

16a. Dia pernah tidak berehat sepanjang hari.
16b. Dia tidak pernah berehat sepanjang hari.

17a. Dia pasti tidak mahu menyertai program itu.
17b. Dia tidak pasti mahu menyertai program itu.

Dalam kelompok ayat 14, frasa minum air ialah perbuatan minum air manakala air minum ialah air yang diminum. Dalam kelompok ayat 15, frasa langsung tidak bererti sama sekali tidak, manakala frasa tidak langsung bererti tidak nyata atau tidak terus. Dalam kelompok ayat 16, frasa pernah tidak bererti ada kalanya tidak, manakala tidak pernah bererti langsung tidak berlaku. Dalam kelompok ayat 17, frasa pasti tidak bererti tentu sekali tidak, manakala frasa tidak pasti bererti tidak tentu lagi.
Ada kalanya perubahan susunan kata dalam frasa melibatkan perspektif yang berbeza. Sila lihat contoh yang berikut:

18a. Dia ketua polis balai.
18b. Dia ketua balai polis.

19a. Itu pejabat pos besar.
19b. Itu pejabat besar pos.

Bagi kelompok ayat 18, ketua polis balai bererti ketua pegawai polis di balai, manakala ketua balai polis bererti ketua di balai polis. Dalam kelompok ayat 19, frasa pejabat pos besar bererti pejabat pos yang besar, manakala frasa pejabat besar pos bererti pejabat besar bagi perkhidmatan pos.
Ada kalanya susunan kata dalam frasa tertentu terikat dengan budaya masyarakat Melayu dan tidak boleh diubah dengan sesuka hati. Sila lihat contoh yang berikut:

20a. Kerusi meja sudah tersusun.
20b. *Meja kerusi sudah tersusun.

21a. Sudu dan garpu tersusun rapi di atas meja.
21b. *Garpu dan susu tersusun rapi di atas meja.

22a. Dia membeli pinggan mangkuk.
22b. *Dia membeli mangkuk pinggan.

23a. Tuan-tuan dan puan-puan dipersilakan duduk.
23b. *Puan-puan dan tuan-puan dipersilakan duduk.

24a. Perkara yang sulit dan persendirian tidak harus didedahkan kepada
umum.
25b.*Perkara yang persendirian dan sulit tidak harus didedahkan kepada
umum.

Bagi kelompok ayat 20 hingga 25, susunan kata dalam frasa kerusi meja, sudu dan garpu, pinggan mangkuk, tuan-tuan dan puan-puan, dan sulit dan persendirian merupakan susunan kata yang sejadi (natural) mengikut budaya masyarakat Melayu dan tidak boleh diterbalikkan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.