Oleh Kho Thong Eng
13 Mac 2023, 09:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Maklumat yang kita sampaikan dapat kita tonjolkan dengan pelbagai cara. Satu daripada caranya ialah penggunaan kata penegas. Sila lihat contoh yang berikut:

1a.  Memang dia bersalah.

1b.  Sememangnya dia bersalah.

1c.  Tentu/Pasti dia bersalah.

1d.  Tentu/Pasti sekali dia bersalah.

1e.  Bahawasanya dia bersalah.

1f.  Sesungguhnya dia bersalah.

1g.  Dia betul-betul menyesal.

1h.  Dia benar-benar insaf.

 

2a.  Dia juga mahu turut serta.

2b.  Dia pun mahu turut serta.

2c.  Dia datang jua.

 

3a.  Dia datang lagi.

3b.  Lagi-lagi dia datang.

 

4a.  Wang sahaja penting bagi dirnya.

4b.  Hanya wang dianggap penting olehnya.

4c.  Wang semata-mata diutamakannya.

4d.  Yang diambil kira olehnya sekadar keuntungan.

 

5a.  Yang bersalah dia.

5b.  Dialah yang bersalah.

 

6a.  Daya kita apa?

6b.  Apatah daya kita?

 

7a.  Orang itu siapa?

7b.  Siapakah orang itu?

 

Dalam kelompok ayat 1, terdapat kata penegas kepastian seperti memang, sememangnya, tentu, pasti, sekali, bahawasanya, sesungguhnya, betul-betul dan benar-benar. Dalam kelompok ayat 2, terdapat kata penegas penglibatan bersama seperti juga, pun dan jua. Dalam kelompok ayat 3, terdapat kata penegas perulangan, iaitu lagi dan lagi-lagi. Dalam kelompok ayat 4, terdapat kata penegas eksklusif seperti sahaja, hanya, semata-mata dan sekadar. Dalam kelompok ayat 5, 6 dan 7 pula, terdapat kata/partikel penegas seperti -lah, -tah dan -kah. Dalam hal ini, predikat yang ditonjolkan harus juga dikedepankan.

Penonjolan maklumat dapat juga kita lakukan dengan penggunaan kata penekan -nya yang bersifat opsyenal dalam struktur ayat. Intonasi ayat ialah intonasi ayat seruan, dan unsur yang ditonjolkan dikedepankan. Dalam hal ini, kata seru seperti wah dan amboi mungkin juga ditambah pada ayat. Sila lihat contoh yang berikut:

8a.  Lajunya kereta itu!

8b.  Wah, lajunya kereta itu!

 

Satu mekanisme penonjolan maklumat ialah pendepanan unsur yang diutamakan. Jadi, ayatnya ialah ayat susunan songsang. Sila lihat contoh yang berikut:

9a.  Perompaklah orang itu.

9b.  Besar rumahnya.

9c.  Sudah dia balik.

9d.  Belajar dia sampai jauh malam.

9e.  Ke luar negara Ali.

9f.   Lambat dia datang.

9g.  Bukan dia yang bersalah.

 

Dalam ayat 9a, yang ditonjolkan ialah kata nama perompak. Dalam ayat 9b, yang ditonjolkan ialah kata adjektif besar. Dalam ayat 9c, yang ditonjolkan ialah kata bantu sudah. Dalam ayat 9d, yang ditonjolkan ialah kata kerja belajar. Dalam ayat 9e, yang ditonjolkan ialah frasa sendi nama ke luar negara. Dalam ayat 9f, yang ditonjolkan ialah kata adverba lambat. Dalam ayat 9g, yang ditonjolkan ialah kata nafi dengan kata nama bukan dia.

Kata nafi seperti bukan, tidak dan tanpa, dan kata larangan jangan dapat juga digunakan untuk menonjolkan maklumat. Hal ini juga mungkin melibatkan awalan bi-. Ada kalanya kata-kata itu wujud dalam bentuk rangkaian kata yang tetap. Sila lihat contoh yang berikut:

10a.  Bukannya dia tidak tahu bahawa dia bersalah.

10b.  Tidak syak lagi bahawa dia bersalah.

10c.  Tidak dapat dinafikan lagi bahawa dia bersalah.

10d.  Jangan tidak percaya bahawa perkara itu terjadi!

10e.  Jangan hairan bahawa perkara itu benar!

10f.   Belilah barang itu tanpa waswas!

10g.  Kekuatannya tiada tolok bandingnya.

10h.  Dia merupakan pemimpin yang bitara.

 

Kata penguat seperti sangat, amat, sungguh, sekali, terlalu dan paling juga dapat menonjolkan sifat sesuatu perkara. Dalam hal ini, awalan teR- ada kalanya juga berfungsi sedemikian. Sila lihat contoh yang berikut:

11a.  Dia sangat pandai.

11b.  Dia rajin sekali.

11c.  Dia paling rajin.

11d.  Dia terhebat.

 

Penonjolan sifat kesangatan dapat juga dilakukan dengan penggunaan kata adjektif ganda atau frasa adjektif. Sila lihat contoh yang berikut:

12a.  Rumah tangganya porak-peranda.

12b.  Keadaan negara itu kacau-bilau.

12c.  Rambutnya kusut-masai.

12d.  Tanahnya lekak-lekuk.

12e.  Pakaian lelaki itu compang-camping.

 

13a.  Pesakit itu kurus kering.

13b.  Orang itu miskin papa/kedana.

13c.  Gadis itu cantik jelita.

13d.  Lelaki itu gemuk gedempol.

13e.  Pahlawan itu gagah berani.

 

Kata hubung gabungan pasangan seperti bukan sahaja … malahan atau bukan sahaja … tetapi juga dan kata hubung gabungan seperti lebih-lebih lagi dan tambahan pula juga dapat menonjolkan sifat tertentu. Sila lihat contoh yang berikut:

14a.  Dia bukan sahaja malas, malahan nakal.

14b.  Dia bukan sahaja malas, tetapi nakal juga.

 

15a.  Kita tidak harus mendera orang lain, lebih-lebih lagi kanak-kanak.

15b.  Kita tidak harus mendera orang lain, tambahan pula kanak-kanak.

 

Ada kata bantu ragam seperti wajib, mesti dan harus yang menonjolkan keperluan sesuatu tindakan diambil. Sila lihat contoh yang berikut:

16a.  Semua murid wajib hadir.

16b.  Semua murid mesti hadir.

16c.  Semua murid harus hadir.

 

Ada juga kata atau frasa nama tertentu yang menonjolkan kelebihan seseorang, seperti tokoh, jaguh/jago/jagoan, seniman terulung, sasterawan negara, ratu sukan skuasy, raja pecut, pakar, bintang filem, selebriti media sosial, bapa kemerdekaan, olahragawan, olahragawati, srikandi dan sebagainya.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.