15 Mac 2023, 14:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Benarlah seperti bak peribahasa lama, “Di mana adanya bulan dan bintang, di situ pasti ada bangsa dari negara China menghuninya”. Bandar Wenchang atau Wechangsean, tentunya asing dan kurang dikenali ramai. Namun begitu, apabila disebut mengenai gastronominya seperti Nasi Ayam Hainan, pastinya makanan itu amat menyelerakan dan terasa kecur air liur untuk merasai keenakan sajian yang kini menjadi sebahagian daripada identiti rakyat Malaysia yang berbilang kaum!

Ada apakah di Bandar Wenchang? Tanpa disangka, menjelma megah satu-satunya kolej yang menawarkan program Diploma Pengajian Bahasa Melayu, yang dikenali sebagai Kolej Pengajian Bahasa Asing Hainan atau Hainan College and Foreign and Studies (HCFS), yang menawarkan 18 kursus bahasa asing termasuklah kursus Bahasa Melayu.

Kolej Pengajian Bahasa Asing Hainan (HCFS).

Sebagai guru perintis pengembangan bahasa Melayu di kota yang telah mengasimilasikan gastronomi seperti Nasi Ayam Hainan ke Tanah Melayu dan Temasik, juga Indonesia, sebagai satu daripada pilihan makanan ruji ketiga negara di Asia Tenggara ini, terasa bagaikan peluang keemasan yang tidak pernah penulis terfikirkan dan peluang ini tidak harus dipersiakan.

Penulis merakam kenangan di hadapan bangunan yang bercirikan kolonial.

Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada yang tahu. Jika dahulu, sering tergiang perumpamaan orang-orang tua yang mengatakan bahawa “Tuntutlah ilmu hingga ke negara China”. Terfikir juga mengapakah negara China? Ada apakah di negara China? Barulah penulis sedar bahawa bermusafir itu juga sebahagian daripada cabang pencarian  ilmu.

Di Jabatan Bahasa Melayu, Kolej Pengajian Bahasa Asing Hainan, ada dua orang guru Bahasa Melayu yang kedua-duanya berasal dari provinsi Guangxi, China. Salwa dan Rupawan, inilah nama Melayu mereka berdua yang pernah melanjutkan pelajaran dalam Pengajian Bahasa Melayu di Universiti Malaya, selama setahun menerusi sistem pertukaran pelajar di antara Universiti Malaya dengan Universiti Bangsa Guangxi.

Salwa dan Rupawan merupakan warganegara China yang menjadi perintis guru Bahasa Melayu, dan juga nadi kekuatan pengembangan bahasa Melayu di bandar Wenchang secara khususnya. Walaupun sebagai permulaan hanya terdapat tiga orang pelajar sahaja yang mempelajari bahasa Melayu, tetapi itu bukan halangan untuk mengembangkan sayap kehadiran bahasa Melayu di bandar Wenchang, khususnya dan di Hainan umumnya.

Sebagai contoh, Suria, Sasha dan Ayu yang berumur 18 tahun, buat pertama kalinya mempelajari bahasa Melayu. Mereka pelajar daripada kumpulan pertama yang mempelajari bahasa Melayu di Kolej Pengajian Bahasa Melayu Hainan. Kesungguhan mereka tidak sia-sia kerana telah berjaya melanjutkan pelajaran di Universiti Sains Malaysia selama setahun pada September 2018, menerusi sistem pertukaran pelajar di antara kedua-dua institusi pengajian ini sebagai satu daripada program memantapkan pengetahuan dan memperkaya penggunaan bahasa Melayu mereka.

Kini pada tahun 2023, sebanyak 11 orang pelajar daripada tiga kumpulan telah berjaya menggenggam Diploma Bahasa Melayu, dan mereka sudah bekerja di pelbagai perusahaan malah sebagai penjawat awam di China. Ada juga dalam kalangan mereka yang sudah berkeluarga. Tahniah semuanya!

Mungkin ada yang bertanya, “Mengapakah mereka mempunyai nama yang beridentitikan Melayu? Inilah keunikan teknik pembelajaran dan pengajaran bahasa Melayu. Tanamkan identiti budaya itu ke dalam diri agar kecintaan itu utuh atau mungkin juga mudah dari segi sapaan untuk mereka.

Sebahagian pelajar yang mengikuti pengajian Diploma Bahasa Melayu.

Berada di bandar Wenchang seolah-olah berada di Malaysia. Musim panas yang diliputi oleh awan kimulus dan kadang kala sirus menghembuskan bayu nyaman sepanjang waktu. Titisan hujan hanya kedengaran rintik-rintik manja selang beberapa minit menjelmakan diri. Lantas hilang.

Melewati Jalan Lama Wennan, di bandar Wenchang, persis berada di Melaka. Kawasan tersebut dipenuhi dengan bangunan lama yang mempunyai reka bentuk yang bercirikan kolonial yang merentasi sebuah sungai di hadapannya, malah ada jambatan yang menghubungkan jalan utama ke jajaran Jalan Lama Wennan. Diri terasa seolah-olah berada di bandar Melaka, sama persekitarannya seperti menyusuri sebuah jambatan untuk ke Jalan Jonker. Kelihatan penuh deretan kedai yang dihuni di bangunan ini yang kini dibaik pulih dan dipulihara.

Salwa memberitahu saya, pada zaman dahulu, barangkali pada zaman penjajahan British di Tanah Melayu, seorang arkitek yang berasal dari bandar Wenchang telah merantau ke Tanah Melayu. Tercetus inspirasi buat dirinya. Beliau teruja melihat banyak reka bentuk bangunan yang bercirikan dan beridentitikan zaman kolonial di Kuala Lumpur.

Maka itu, arkitek yang berasal dari Wenchang ini telah mengabadikan keunikan seni bina kolonial ini dengan membina deretan bangunan rumah kedai di Jalan Lama Wennan, yang seakan-akan sama seperti yang terdapat di Kuala Lumpur, Melaka dan Pulau Pinang. Sangat indah. Ada juga yang mengatakan bahawa reka bentuk bangunan ini mempunyai persamaan dengan sebuah bandar yang ada di Singapura.

Tiada yang ganjil kerana kaum Hainan ini pada zaman dahulu banyak yang berhijrah ke Tanah Melayu, Singapura dan Indonesia. Justeru kesamaan jati diri dari segi budaya dalam masakan khususnya ada di mana-mana pada hari ini di setiap negara khususnya di Malaysia.

Mungkin juga Nasi Ayam Hainan boleh dikategorikan sebagai makanan tradisi yang dibawa oleh generasi dahulu tetapi kekal diwarisi dari turun-temurun ke setiap generasi malah kini telah menjadi satu perniagaan yang dikomersialkan.

Walau bagaimanapun, untuk menikmati Nasi Ayam Hainan yang benar-benar tradisional dari bandar Wenchang yang leluhurnya dan benar-benar halal begitu sukar! Tambahan pula, ketidakfahaman masyarakat tempatan mengenai konsep halal itu juga tiada di bandar Wenchang. Mungkin ini satu peluang perniagaan baharu yang harus diterokai oleh usahawan halal di Malaysia dalam sektor perniagaan halal di sini. Menarik bukan?

Berangin dan mendung, inilah suasana indah pada waktu siang. Tiada perbezaan waktu antara Wenchang dengan Malaysia tetapi mentari mula menyinar seawal pukul 6.20 pagi dan terbenam pada pukul 6.50 petang.

Selain itu, ingin berkomunikasi dalam bahasa Inggeris di bandar Wenchang? Lupakan sahaja! Ya. Untuk berkomunikasi dengan masyarakat tempatan, seseorang itu hanya boleh menggunakan bahasa Mandarin tetapi bukannya bahasa Mandarin standard. Bahasa Mandarin tersebut mempunyai dialek Hainan.

Lucu juga apabila melihat Salwa dan Rupawan kala berkomunikasi sesama warga tempatan. Mereka mengadu bahawa ada juga beberapa perkataan yang kurang difahami oleh mereka kerana terselit dialek atau loghat Hainan. Secara mudahnya, situasinya bolehlah disamakan jika saya berkomunikasi menggunakan bahasa Melayu standard dengan rakyat di pantai timur, Malaysia yang mempunyai dialeknya yang tersendiri.

Hati saya berbunga-bunga ketika acap kali berkomunikasi menggunakan bahasa Melayu bersama-sama Rupawan dan Salwa, juga dengan para pelajar. Sungguh indah suasana itu untuk dipotretkan.

Bahasa Melayu kini bergema di bandar Wenchang. Terpaku penulis kala membaca artikel yang mengatakan bahawa bangsa Cina dari negara China mempunyai kecenderungan untuk mempelajari dan menguasai bahasa asing khususnya bahasa Melayu dengan penuh kesungguhan. Bangga bukan?

 

 

(Penulis berpengalaman mengajar Bahasa Melayu untuk kurikulum International Baccauleurate dan Cambridge IGCSE, di beberapa buah Sekolah Antarabangsa di Malaysia. Penulis juga pernah memenangi Hadiah Sastera Utusan dan Hadiah Sastera DBP. Kini penulis sebagai guru Bahasa Melayu di Kolej Pengajian Bahasa Asing Hainan, China.)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.