Oleh Kho Thong Eng
21 Mac 2023, 10:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pengguguran atau elipsis ialah proses yang menggugurkan atau meniadakan sesuatu unsur atau kata yang opsyenal dalam struktur permukaan (surface structure) ayat walaupun dalam struktur dalaman (deep structure) ayat yang berkenaan, semua unsur atau katanya adalah lengkap. Syaratnya ialah pengguguran kata tersebut tidak mengubah maksud ayat atau tidak menimbulkan unsur ambiguiti.

Satu kata yang mungkin digugurkan dalam struktur permukaan ayat ialah kata sebagai. Sila lihat contoh yang berikut:

1a.  Dia menamai anaknya sebagai Ali.

1b.  Dia menamai anaknya Ali.

 

2a.  Dia menjadikan budak itu sebagai anak angkatnya.

2b.  Dia menjadikan budak itu anak angkatnya.

 

Dalam ayat majmuk pancangan komplemen, ada kalanya kata hubung bahawa boleh kita gugurkan. Sila lihat contoh yang berikut:

3a.  Dia mengetahui bahawa adiknya bersalah.

3b.  Dia mengetahui adiknya bersalah.

 

Dalam ayat majmuk gabungan, ada kalanya kata hubung gabungan yang tidak ditekankan boleh kita gugurkan, dan diganti dengan tanda koma. Sila lihat contoh yang berikut:

4a.  Dia belajar dan adiknya bermain.

4b.  Dia belajar, adiknya bermain.

 

Dalam ayat pasif jati, kata sendi nama oleh boleh kita gugurkan. Malahan, ada kalanya frasa nama yang menyusuli kata oleh turut digugurkan. Sila lihat contoh yang berikut:

5a.  Dia dimarahi oleh ayahnya.

5b.  Dia dimarahi ayahnya.

5c.  Dia dimarahi

 

Dalam ayat dasar pola Frasa Nama + Frasa Sendi Nama, kata kerja yang berkenaan digugurkan dalam struktur permukaannya. Sila lihat contoh yang berikut:

6a.  Dia ke Pulau Pinang.

6b.  Dia pergi ke Pulau Pinang.

 

7a.  Dia di Kampung.

7b.  Dia berada di kampung.

 

Dalam ayat yang ada kata pemeri atau kata merupakan yang berfungsi seperti kata pemeri, kata-kata itu boleh kita gugurkan. Sila lihat contoh yang berikut:

8a.  Encik Ali ialah guru Sejarah.

8b.  Encik Ali guru Sejarah.

 

9a.  Aminah adalah pandai

9b.  Aminah pandai.

 

10a.  Hadiah ini adalah untuk adiknya.

10b.  Hadiah ini untuk adiknya.

 

11a.  Ahmad adalah antara yang hadir.

11b.  Ahmad antara tetamu yang hadir.

 

12a.  Rosnah merupakan murid yang rajin.

12b.  Rosnah murid yang rajin.

 

Bagi kata hubung oleh sebab, kata oleh boleh kita gugurkan. Sila lihat contoh yang berikut:

13a.  Dia tidak hadir oleh sebab sakit.

13b.  Dia tidak hadir sebab sakit.

 

Bagi sendi nama oleh yang bermaksud oleh sebab, kata sebab boleh kita gugurkan. Sila lihat contoh yang berikut:

14a.  Dia diberi kenaikan pangkat oleh sebab ketekunannya.

14b.  Dia diberi kenaikan pangkat oleh ketekunannya.

 

Bagi frasa nama dengan struktur Kata nama + Kata kerja atau Kata Nama + Kata adjektif, ada kalanya inti frasa nama boleh kita gugurkan. Sila lihat contoh yang berikut:

15a.  Aktiviti berenang ialah hobinya.

15b.  Berenang ialah hobinya.

 

16a.  Warna putih melambangkan kesucian.

16b.  Putih melambangkan kesucian.

 

Bagai frasa nama dengan struktur kata nama + klausa relatif, ada kalanya inti frasa nama boleh kita gugurkan. Dalam hal ini, maksud frasa menjadi lebih umum tetapi struktur ayat masih utuh. Sila lihat contoh yang berikut:

17a.  Buku yang tebal dibelinya.

17b.  Yang tebal dibelinya.

 

19a.  Dia mengahwini gadis yang cantik.

19b.  Dia mengahwini yang cantik.

 

Dalam ayat majmuk, unsur yang sama dalam klausa yang digabungkan atau dipancangkan boleh kita gugurkan. Sila lihat contoh yang berikut:

20a.  Aminah rajin. Aminah sopan.

20b.  Aminah rajin dan sopan.

 

21a.  Kassim suka menyanyi. Hafiz suka menyanyi.

21b.  Kassim dan Hafiz suka menyanyi.

 

22a.  Rosli akan hadir. Rosli akan membantu kita.

22b.  Rosli akan hadir dan membantu kita.

 

23a.  Hasan tidak hadir. Hasan sakit.

23b.  Hasan tidak hadir kerana sakit.

 

Dalam ayat perintah, kata ganti nama diri orang kedua boleh kita gugurkan. Sila lihat contoh yang berikut:

23a.  Kamu sila masuk.

23b.  Sila masuk.

 

Bagi kata kerja transitif sifatan yang ada objek kata ganti nama diri orang pertama, ada kalanya objek itu boleh kita gugurkan. Sila lihat contoh yang berikut:

14a.  Kejayaannya sangat membanggakan kami.

14b.  Kejayaannya sangat membanggakan.

 

Bagi frasa nama dengan kata kerja transitif tertentu, objeknya ada kalanya digugurkan untuk tujuan pragmatik dan demi keringkasan frasa. Contohnya ialah bilik menunggu, kegemaran membaca, pertandingan memancing, dan sebagainya.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.