22 Mac 2023, 09:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tanpa bahasa, manusia tidak mungkin boleh berkomunikasi antara satu sama lain atau mungkin tidak dapat  berinteraksi dengan efektif. Bahasa membolehkan manusia berkongsi informasi, idea, pendapat dan buah fikiran serta membentuk hubungan sosial dan budaya yang kompleks dan pelbagai.

Bahasa secara umumnya digunakan sebagai medium komunikasi dalam peradaban manusia. Menurut Kamus Pelajar (Edisi Kedua) terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), bahasa bermaksud kata-kata yang disusun menurut tatabahasa dan digunakan oleh seseorang dalam percakapan atau tulisan.

Sebagai contoh, rakyat di Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum menggunakan bahasa Melayu sebagai medium komunikasi sesama mereka. Jika dilihat dari segi penggunaan bahasa sejak belakangan ini terutamanya di media sosial menunjukkan sesuatu yang positif dalam kalangan rakyat Malaysia.

Hal ini kerana semua kaum dapat menyuarakan pendapat masing-masing menggunakan bahasa yang dominan dalam diri mereka. Selain itu, ciri tambahan yang ada dalam media sosial seperti Facebook turut memberikan kelebihan kepada pengguna.

Ciri tersebut dapat digunakan dengan menekan butang “see translation” di ruangan komen yang sedikit banyak membantu semua pihak memahami bahasa yang mereka tidak fahami.

Pendedahan terhadap bahasa selain bahasa ibunda juga diterima baik oleh masyarakat majmuk dan dilihat dapat mengurangkan jurang komunikasi secara dalam talian. Tidak dinafikan, pendedahan itu suatu keistimewaan untuk semua orang.

Namun begitu, adakah perkara itu dapat membantu jika masyarakat di Malaysia khususnya berkomunikasi secara bersemuka dengan menggunakan bahasa yang dominan mengikut bangsa atau kaum masing-masing tanpa sebarang alat bantuan terjemahan?

Kurangnya pendedahan tidaklah menjadikannya satu kekurangan dalam komunikasi. Komunikasi itu sendiri terjadi apabila dua pihak atau lebih saling memahami apa-apa yang disampaikan dan yang diterima.

Walau bagaimanapun, kecenderungan penggunaan bahasa yang pelbagai menunjukkan jurang pemisah yang kian tinggi jika tidak saling memahami. Sebagai contoh, ada individu yang fasih menggunakan satu bahasa sahaja, iaitu bahasa Melayu tetapi tidak memahami perbualan atau tulisan individu lain yang menggunakan bahasa Inggeris.

Tidakkah perkara itu merugikan individu tersebut kerana maklumat yang diberikan tidak dapat diterima dengan sebaik-baiknya?

Situasi sama juga boleh terjadi kepada individu lain yang fasih dalam satu bahasa sahaja seperti bahasa Tamil, namun tidak memahami mesej yang disampaikan dalam bahasa Melayu.

Menggunakan hanya satu bahasa  sahaja untuk berkomunikasi akan mengehadkan kebolehan seseorang untuk berinteraksi dengan individu lain serta mewujudkan rasa ketidakselesaan antara pihak berkepentingan.

Pentingnya Meraikan dan Memahami Pelbagai Bahasa

Memahami pelbagai bahasa di Malaysia sangat penting kerana membolehkan masyarakat berinteraksi dengan lebih banyak orang daripada pelbagai latar belakang budaya.

Dengan penguasaan pelbagai bahasa, masyarakat juga dapat melebarkan skop komunikasi yang lebih luas, khususnya dalam pemahaman budaya orang lain.

Sebagai rakyat Malaysia, kita dapat mengungkapkan pemikiran dan perasaan dalam berkomunikasi dengan orang lain daripada pelbagai budaya dengan bantuan bahasa yang bersifat fleksibel untuk mengenali, memahami, dan menerima budaya orang lain.

Dengan kemampuan untuk memahami dan menggunakan sesuatu bahasa, pada masa yang sama seseorang itu dapat berinteraksi dengan lebih baik dan belajar mengenai budaya, sejarah, suku kaum dan pelbagai hal lain selain memahami nilai dan prinsip budaya lain yang diserlahkan.

Selain itu, kepelbagaian bahasa juga membantu masyarakat berkongsi pengetahuan. Adalah penting untuk menyokong dan memelihara pelbagai bahasa dalam masyarakat untuk mengekalkan budaya negara yang kaya dan beraneka ragam.

Sesungguhnya menguasai pelbagai bahasa merupakan suatu aspek yang sangat penting untuk diperjuangkan oleh setiap rakyat Malaysia. Yang penting, bahasa kebangsaan tetap dimartabatkan.

Sebagai sebuah negara yang berbilang kaum, seseorang itu memiliki hak untuk belajar dan menguasai pelbagai bahasa yang digunakan dalam kehidupan seharian. Selain itu, sangat penting untuk kita menganjurkan berbagai tugas komunikasi antara budaya, termasuklah mempelajari cara mengucapkan perkataan atau frasa dalam bahasa yang berbeza.

Dengan mempromosikan pembelajaran pelbagai bahasa, seseorang itu boleh membina jaringan perhubungan di antara orang yang berbeza daripada latar belakang yang berbeza.

Selain itu juga boleh menggalakkan pendidikan komunikasi yang sihat antara orang yang berlainan budaya atau agama. Tidak kira sama ada berminat untuk bekerja di sektor perkhidmatan awam, pendidikan atau kerajaan, memahami sejumlah bahasa akan memberikan kita satu kelebihan.

Kekurangan Ilmu Pelbagai Bahasa Mengehadkan Keistimewaan Diri

Jika dilihat dari segi kelebihan menguasai dan menggunakan pelbagai bahasa dalam kehidupan seharian dapat memberikan keistimewaan tanpa had, elok juga dilihat dari segi kekurangan yang bakal dihadapi oleh seseorang individu jika mengehadkan satu bahasa sahaja yang dominan dalam diri.

Kekurangan daripada individu yang mengehadkan satu bahasa yang difahami boleh menjadi masalah. Kebanyakan kelemahan ini tidak dapat dilihat pada permulaan, namun akan menjadi masalah penting dengan peredaran masa.

Kebanyakan bahasa mengandungi kata-kata yang tidak dapat diserap dan difahami oleh bahasa yang dominan dalam diri individu seperti istilah sains, seni dan budaya. Hal ini bermaksud bahawa seseorang yang terhad pada satu bahasa mungkin tidak akan dapat mengikuti perkembangan teknologi, sains dan seni.

Satu daripada kekangan yang sering dialami adalah melalui peluang pekerjaan. Kekangan dalam peluang pekerjaan akan dapat dirasai jika seseorang itu hanya berbekalkan satu bahasa sahaja. Bukanlah menafikan keagungan sesuatu bahasa contohnya bahasa Melayu, namun kepelbagaian bahasa yang dipelajari membawa banyak kebaikan.

Sebagai contoh, hal itu dapat dirasai apabila seseorang hanya fasih satu bahasa dan hal ini akan memberikan impak kepada ekonomi negara. Menurut Gritzer dalam The Benefits of Being Multilingual, hal ini dapat dilihat dalam ekonomi global yang amat mementingkan syarikat yang mencari dan menggaji pekerja yang fasih dalam pelbagai bahasa untuk kebolehlihatan syarikat dan individu tersebut juga.

Satu daripada kekurangan lain yang dialami apabila seseorang itu membatasi diri dengan satu bahasa sahaja ialah kekangan dalam berkomunikasi dengan seseorang daripada latar belakang budaya yang berbeza.

Setiap bahasa memiliki struktur, semantik, dan kosa kata yang unik. Dengan memahami lebih daripada satu bahasa,  seseorang individu itu dapat memahami cara berfikir dan perilaku orang lain daripada latar belakang budaya yang berlainan.

Dengan mengehadkan diri pada satu bahasa, individu tersebut mungkin kehilangan peluang untuk memperluas pengalaman serta pandangan mereka pada dunia luar.

Tambahan pula, peluang dan pengalaman yang terbatas akibat kecenderungan pada satu bahasa sahaja dapat dilihat menerusi hubungan perniagaan. Dalam lingkungan global yang semakin meluas lebih-lebih lagi dalam dunia tanpa sempadan, kemampuan untuk berkomunikasi dengan orang-orang daripada pelbagai bahasa dan budaya menjadi semakin penting.

Individu yang hanya mampu berkomunikasi dalam satu bahasa mungkin terbatas dalam kemampuan mereka untuk mengejar kerjaya di syarikat yang bertaraf antarabangsa atau yang mendahulukan kepelbagaian bahasa dalam komunikasinya.

Oleh sebab itu, sangatlah penting bagi seseorang individu itu memperluas kemampuan mereka dalam berbicara menggunakan bahasa asing atau bahasa selain bahasa dominan agar dapat mengembangkan pemahaman yang lebih luas tentang dunia kerjaya di sekitar mereka.

Tambah Gritzer, pengetahuan yang diperoleh daripada pelbagai sumber termasuklah dokumen bertulis, media dan komunikasi dalam pelbagai bahasa memberikan potensi yang lebih mendalam dalam memahami dunia sebenar.

Oleh sebab pentingnya mengagungkan dan memartabatkan bahasa kebangsaan dan keperluan mendalami pelbagai bahasa, maka tugas dan kesedaran ini perlulah dipikul oleh semua pihak.

Tanggungjawab dalam memberikan kesedaran tentang isu bahasa perlulah digalas bersama-sama oleh banyak pihak dan daripada pelbagai peringkat masyarakat.

Tanggungjawab memartabatkan bahasa juga tidak hanya disandarkan kepada DBP sahaja. Semangat mencintai bahasa kebangsaan perlu dipupuk pada setiap masa dan bukan setakat pada bulan tertentu dan perlulah diraikan penggunaannya bersama-sama.

Seiring dengan keperluan mencintai bahasa kebangsaan, tidaklah menjadi suatu kesalahan dalam mempelajari dan menambah ilmu pengetahuan tentang bahasa asing yang menjadi suatu kelebihan kepada masyarakat umum.

Hal ini menjadikan masyarakat kita mampu duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan masyarakat serata dunia untuk bersaing dalam semua aspek di peringkat global. Oleh itu, tingkatkan martabat bahasa kebangsaan, tambahkan ilmu di dada menerokai ilmu bahasa asing.

 

 

Nuruladilah Mohamed – Pensyarah Bahasa Inggeris di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Cawangan Terengganu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.