Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangHari Raya Aidilfitri bakal tiba. Tidak sabar rasanya menanti kunjungan daripada sanak saudara untuk menyambut hari lebaran bersama-sama dan menjadikannya hari yang lebih bermakna dari tahun sebelumnya. Persaudaraan yang renggang kembali menjadi rapat dan yang jauh dapat didekatkan menerusi aktiviti ziarah-menziarahi.
Kemeriahan Syawal sudah dapat dirasai kini apabila pada hujung minggu, gedung membeli belah sarat dengan orang ramai yang ingin memilih dan membeli baju raya. Hal ini juga menyebabkan berlakunya kesesakan jalan raya akibat pertambahan pelbagai jenis kenderaan. Oleh itu, banyak orang yang menjadikan pengangkutan awam sebagai pilihan untuk melancarkan urusan masing-masing.
Pada 16 Mac 2023, Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah melancarkan Perkhidmatan MRT2 Laluan Putrajaya di Depoh MRT Serdang. Perkhidmatan ini dijangka dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas yang kritikal di jalan utama negara.
Tidak dinafikan bahawa MRT dapat menjimatkan masa khususnya kepada pekerja sektor awam dan swasta mahupun yang bekerja sendiri untuk sampai tepat pada masanya di tempat yang ingin dituju. Pendek kata, semua urusan menjadi mudah dan efisien tanpa perlu menempuh kesesakan jalan raya.
Namun begitu, perkara yang menarik perhatian penulis ialah nama pada MRT sebagai simbol kemajuan pengangkutan awam negara. Apakah nama penuh MRT? MRT ialah singkatan bagi Mass Rapid Transit, iaitu sistem rel yang digunakan untuk membawa penumpang di kawasan bandar dalam kapasiti yang besar.
MRT juga dikenali dengan nama lain seperti mass transit, subway, underground ataupun metro (https://www.mymrt.com.my/ms/awam/mrt-perlu-tahu/#:~:text=Mass%20Rapid%20Transit%20(MRT)%20adalah,%2C%20subway%2C%20underground%20ataupun%20metro).
Dalam bahasa Melayu, MRT dikenali sebagai perkhidmatan Transit Aliran Massa tetapi frasa ini tidak mesra di bibir rakyat Malaysia Madani berbanding dengan MRT. Timbul persoalan di sini, mengapakah tidak menjenamakan akronim bagi Transit Aliran Massa kepada suatu akronim bahasa Melayu yang mantap?
Tidak dinafikan, istilah massa juga adalah pinjaman daripada perkataan bahasa Inggeris, iaitu mass. Justeru itu, perlu dikemukakan suatu cadangan frasa yang mencerminkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di Malaysia. Misalnya, boleh sahaja menggunakan frasa Transit Aliran Awam dan mengakronimkannya kepada nama yang lebih wajar dan luar biasa.
Selain MRT, nama lebuh raya juga tidak ketinggalan mempopularkan bahasa asing; yang sebenarnya mempunyai nama dalam bahasa Melayu. Antaranya termasuklah Lebuhraya Kajang Silk atau Lebuhraya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang. Silk dalam bahasa Melayu ialah sutera. Oleh itu, mungkin sahaja dapat disebut sebagai Lebuh Raya Sutera Kajang.
Begitu juga dengan Sistem Penyuraian Trafik KL Barat yang popular dengan nama Lebuhraya Sprint yang meliputi tiga bahagian, iaitu Kerinchi Link, Damansara Link dan Penchala Link.
Adalah molek istilah sebegini menggunakan bahasa Melayu yang sesuai dengan jati diri bangsa Malaysia yang dominan. Misalnya, perkataan link boleh diubah kepada penghubung jalan.
Begitu juga dengan nama Lebuhraya Grand Saga, yang boleh dicadangkan namanya ditukarkan kepada Lebuh Raya Saga Hebat atau Lebuh Raya Saga Besar atau nama yang sesuai bagi menggantikan istilah grand. Tidak dinafikan, frasa ini janggal didengar pada mulanya tetapi jika selalu disebut akan menjadi alah bisa tegal biasa.
Selain itu, Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir merupakan sepuluh terowong terbaik dunia. Terowong ini berfungsi sebagai penyelesaian masalah banjir kilat yang sering berlaku di bandar Kuala Lumpur pada suatu masa dahulu. Terowong ini juga merupakan laluan alternatif kepada pengguna dari arah Selatan ke Bandaraya Kuala Lumpur bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas. Pendek kata, terowong ini mempunyai dwifungsi yang sangat bermanfaat dan memberikan kesejahteraan kepada rakyat Malaysia.
Nama Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir jarang-jarang sekali diketengahkan dan berkemungkinan juga ada yang tidak peduli tentang hal tersebut. Di media elektronik dan cetak juga lebih menekankan nama SMART, iaitu Stormwater Management and Road Tunnel.
Hal ini juga berlaku pada papan tanda jalan dan akronim ini juga ditakzimkan sehingga mempunyai nama plaza tol sendiri. Perkara ini jelas menunjukkan bahawa SMART lebih sinonim dengan minda pengguna berbanding dengan nama Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir.
Adakah kita sudah mula mengorak langkah ke belakang dan tidak peduli untuk menegakkan bahasa ibunda? Adakah kerana kepanjangan frasa tersebut sehingga boleh membelit lidah yang menyebabkan kita lelah dan akur memperjuangkan bahasa ibunda di tanah air sendiri? Tepuk dada tanya selera.
Namun begitu, terdapat kemudahan awam yang menjadi kebanggaan Malaysia yang menggunakan bahasa Melayu. Apabila membacanya dengan sekali imbas, bunyinya seperti bahasa Inggeris kerana akronimnya bergaya ala antarabangsa. Kemudahan awam yang dimaksudkan ialah RapidKL.
RapidKL ialah singkatan bagi Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Kuala Lumpur, dan menjadi jenama perkhidmatan pengangkutan awam yang tidak asing lagi di Malaysia. Akronim ini tidak janggal dan tidak pelik malahan menarik.
Akronim ialah kependekan yang terbentuk daripada gabungan huruf-huruf pertama atau suku kata beberapa perkataan yang boleh diujarkan sebagai satu pendekatan (https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=akronim&d=175768&).
Justeru itu, adalah tidak mustahil untuk mempopularkan frasa atau akronim bahasa Melayu pada aset pengangkutan awam di Malaysia. Dalam hal ini, sikap keterbukaan dan kerjasama semua pihak sangat penting untuk merealisasikannya.
Bagi menyelesaikan masalah penggunaan bahasa asing yang berleluasa dan mampu menenggelamkan bahasa Melayu, pihak bertanggungjawab dalam bidang ini perlu mendapatkan konsultasi daripada ahli bahasa Melayu dan institusi pemegang taruh seperti Dewan Bahasa dan Pustaka, untuk membantu memberikan cadangan akronim yang sesuai demi menjaga kepentingan bahasa Melayu.
Keindahan sesebuah negara itu bukan sahaja bergantung pada pelancongan atau yang berbentuk hiburan semata-mata bahkan kerana faktor bahasanya. Bahasa Melayu merupakan bahasa yang indah kerana kandungannya turut mencerminkan adab dan identiti bangsa negara.
Sikap ghairah dan mengambil pendekatan popular untuk meletakkan aset negara dengan frasa bahasa asing yang bukan bahasa ibunda perlu dinyahkan dengan segera. Jangan segan menggunakan frasa dalam bahasa Melayu kerana kita tidak akan kalah kepada sesiapa pun dalam memperjuangkan bahasa Melayu. Kita menang kerana orang luar akan dapat belajar bahasa Melayu walaupun dalam versi bunyi yang berbeza namun dapat difahami oleh masyarakat tempatan.
Kita perlu berasa malu apabila terdapat pengangkutan awam yang gah tetapi bercirikan bahasa asing di negara Malaysia yang bahasa kebangsaannya ialah bahasa Melayu.
Salam Ramadan. Kebahagiaan kerana rasa syukur dan kemenangan kerana sentiasa rasa sabar.
Profesor Madya Dr. Salmah Jan Noor Muhammad − Pensyarah Kanan, Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, yang juga Ahli Lembaga Amanah Yayasan Karyawan.