Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPada tahun 2013, dalam rancangan Bicara saluran Televisyen Suria di Singapura, Yang Berbahagia Profesor Emeritus Dr. Abdullah Hassan telah menyatakan bahawa apabila ilmu sampai ke dalam benak rakyat, tetapi rakyat tidak menerimanya melalui bahasa mereka sendiri, maka ilmu yang diterima tersebut diselubungi oleh konsep dan pemahaman Barat. Mereka yang menerima ilmu tersebut selalunya menjadi pengguna bagi produk yang dihasilkan oleh masyarakat Barat dan mereka juga gagal menggunakan minda sendiri untuk berfikir.
Oleh itu, proses memandaikan pelajar di seluruh sekolah kebangsaan di Malaysia haruslah menggunakan bahasa Melayu kerana kebanyakan pelajar menggunakan bahasa Melayu untuk memperoleh ilmu, terutamanya yang tinggal di luar bandar dan pedalaman. Melalui penggunaan bahasa Melayu, minda kreativiti peribumi yang dimiliki oleh pelajar dapat menjanakan idea yang mungkin tidak terdapat di tempat lain.
Pemikiran Abdullah Hassan tentang minda kreativiti peribumi sangat bagus untuk dikembangkan, khususnya dalam konteks dunia pendidikan di Malaysia. Hal ini dikatakan demikian kerana melalui penerapan konsep minda kreativiti peribumi dalam sesi pembelajaran di sekolah, minda pelajar dapat dirangsang sehingga mampu menjanakan idea luar biasa berasaskan kerangka akal budi dan budaya tempatan.
Konsep minda kreativiti peribumi dalam konteks dunia pendidikan dapat ditakrifkan sebagai daya fikir pelajar dalam usaha mencipta sesuatu yang baharu melalui proses berfikir aras tinggi. Proses ini berlaku dengan mengintegrasikan unsur kearifan tempatan, kepandaian tempatan dan keilmuan tempatan, serta menyesuaikan hasil ciptaan tersebut dengan budaya tempatan mengikut peredaran masa.
Dalam makalah “Pentakrifan Kearifan Tempatan: Suatu Sorotan”, Muhammad Yusri Yusof dan Mohd Anuar Ramli berpendapat bahawa terdapat perbezaan makna bagi kearifan tempatan, kepandaian tempatan dan keilmuan tempatan. Kearifan tempatan merupakan satu set pengetahuan dan amalan yang tersirat hasil akal budi golongan bijaksana tempatan bagi menyelesaikan masalah dan memenuhi keperluan masyarakat tempatan.
Kepandaian tempatan pula merujuk satu set amalan yang bersifat tersurat yang diamalkan oleh sekumpulan golongan bijaksana tempatan bagi memenuhi keperluan masyarakat. Perkara tersebut juga ditakrifkan sebagai kemahiran, tindakan dan perlakuan yang sistematik daripada set ilmu yang tersedia dalam bentuk yang dapat dilihat dengan pandangan mata kasar. Kemahiran ini digunakan bagi menyelesaikan masalah, isu dan kes yang bersifat setempat.
Menurut Muhammad Yusri Yusof dan Mohd Anuar Ramli lagi, keilmuan tempatan dimaksudkan sebagai satu set ilmu pengetahuan yang dibangunkan oleh golongan bijaksana tempatan bagi memenuhi keperluan masyarakat setempat. Ruang lingkup keilmuan tempatan merangkumi rangkaian ilmu yang pelbagai. Antaranya termasuklah ilmu perubatan, pertukangan, perbidanan, pertanian, alam sekitar, perlayaran, seni bela diri, nyanyian, masakan, dan perhutanan.
Selanjutnya, hasil kajian menunjukkan bahawa terdapat enam strategi penerapan konsep minda kreativiti peribumi dalam konteks dunia pendidikan di Malaysia. Pertama, mengekalkan dan memperkukuh penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Melalui strategi ini, pelajar dapat memperoleh ilmu dengan cepatnya, terutamanya pelajar yang berada di luar bandar dan pedalaman. Pelajar ini akan menggunakan bahasa Melayu untuk memahami ilmu dengan lebih jelas dan mendalam. Secara tidak langsung, strategi ini dapat merapatkan jurang pendidikan antara pelajar di bandar dengan pelajar di luar bandar dan pedalaman.
Kedua, menerapkan komponen 3K dalam aktiviti kurikulum dan kokurikulum di sekolah. Melalui strategi ini, komponen kearifan tempatan, kepandaian tempatan dan keilmuan tempatan dapat didedahkan kepada pelajar dalam semua aktiviti pembelajaran yang dilakukan, sama ada aktiviti pembelajaran di dalam kelas atau di luar kelas, seperti aktiviti kokurikulum.
Ketiga, memupuk penghayatan terhadap sejarah, budaya dan sastera kebangsaan. Strategi ini bertujuaan untuk menyuburkan penghayatan pelajar terhadap sejarah, budaya dan sastera kebangsaan pada sepanjang masa. Pelbagai program dan aktiviti yang berkaitan perlu dijalankan pada sepanjang tahun, bukannya sekali setahun pada bulan tertentu.
Keempat, membanyakkan aktiviti berfikir secara kritis dan kreatif. Pelaksanaan strategi ini sangat penting supaya pelajar sentiasa bersedia dan mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi pada bila-bila masa, sama ada secara berkolaborasi atau secara kendiri. Strategi ini dapat dilaksanakan dalam sesi pembelajaran di dalam atau di luar kelas melalui aktiviti berbentuk penyelesaian masalah, penyiasatan, penerokaan, membuat ramalan, membuat inferens dan sebagainya.
Kelima, membudayakan amalan inovasi dan keusahawanan. Bagi memastikan pelajar mempunyai minda kreativiti peribumi, amalan inovasi dan keusahawan perlu diketengahkan kepada pelajar dari awal alam persekolahan. Amalan inovasi dan keusahawan boleh dijalankan dalam persekitaran sekolah bermula daripada penghasilan produk yang ringkas melalui projek kolaborasi dalam sesuatu mata pelajaran.
Contohnya, dalam pembelajaran Bahasa Melayu, pelajar menghasilkan e-buku sajak. Kemudian, buku ini didaftarkan hak ciptanya di Perbadanan Harta Intelek Malaysia sebelum dijual melalui platform e-dagang. Walaupun kelihatan ringkas, aktiviti seperti ini dapat memberikan pengetahuan dan pengalaman yang banyak kepada pelajar. Pengalaman ini meliputi proses berfikir untuk menjanakan idea, proses perbincangan, proses penghasilan e-buku dan proses penjualan.
Keenam, meningkatkan literasi TMK dan digital dalam kalangan pelajar. Tidak dapat dinafikan bahawa literasi TMK dan digital sangat diperlukan untuk merangsang pelajar supaya dapat mengoptimumkan daya minda kreativiti peribumi yang dimiliki. Selain itu, pelajar yang cekap memanipulasikan TMK dan digital mampu mengembangkan dan menyesuaikan hasil kreativiti peribumi masing-masing dengan budaya tempatan mengikut peredaran masa.
Sebagai rumusannya, konsep minda kreativiti peribumi sangat penting untuk diterapkan dalam dunia pendidikan di Malaysia. Tunjang utama untuk proses menjanakan minda kreativiti peribumi dalam dunia pendidikan di Malaysia ialah penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Sekiranya tunjang utama ini dikerat, terencatlah proses tersebut. Oleh itu, perjuangan untuk mengekalkan dan memperkukuh penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan kebangsaan di Malaysia perlu diteruskan oleh semua pihak.
Muhammad Zuhair Zainal ialah Pensyarah Kanan Pendidikan Bahasa Melayu, Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, Universiti Sains Malaysia, yang juga merangkap Presiden Persatuan Pendidik Bahasa Melayu Malaysia.