Oleh Azizi Ahmad
7 April 2023, 09:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Universiti dan sekolah telah memasuki fasa baharu dalam usaha menangani integriti akademik ketika masyarakat mengharungi era kedua teknologi digital, termasuklah kecerdasan buatan (Artificial Intelligence – AI) generatif yang tersedia secara umum seperti Generative Pre-trained Transformer  atau lebih dikenali sebagai ChatGPT. Platform sedemikian membolehkan pelajar menjanakan teks novel untuk tugasan bertulis.

Walaupun banyak orang yang bimbang akan teknologi AI termaju ini membawa kepada zaman baharu plagiarisme dan penipuan, teknologi ini juga memperkenalkan peluang kepada pendidik untuk memikirkan semula amalan pentaksiran dan melibatkan pelajar dalam pembelajaran yang lebih mendalam dan bermakna yang boleh menggalakkan kemahiran berfikir kritis.

Kemunculan ChatGPT dipercayai dapat mewujudkan peluang kepada sekolah dan institusi pascamenengah untuk memperbaharui pendekatan tradisional bagi mentaksir pelajar yang banyak bergantung kepada ujian dan tugasan bertulis yang tertumpu pada ingatan pelajar, mengulang kembali dan sintesis asas kandungan.

Menipu dan ChatGPT

Anggaran penipuan berbeza-beza merentasi konteks dan sektor negara. Sarah Elaine Eaton, pakar yang mengkaji integriti akademik mengingatkan bahawa penipuan mungkin kurang dilaporkan. Beliau menganggarkan bahawa di Universiti Kanada, sebanyak 70 000 pelajar membeli perkhidmatan menipu pada setiap tahun.

Pelancaran ChatGPT oleh OpenAI baru-baru ini akan memberikan kesan kepada penipuan dalam tetapan pendidikan wajib dan tinggi adalah tidak diketahui tetapi bagaimana amalan penipuan ini berkembang mungkin bergantung  kepada institusi sama ada mahu mengekalkan atau memperbaharui amalan penilaian pentaksiran tradisional ataupun tidak.

Mengelak Perisian Pengesanan Plagiarisme?

Keupayaan alat pengesan plagiarisme yang popular untuk mengenal pasti penipuan dengan menggunakan ChatGPT untuk menjanakan tugasan masih menjadi cabaran. Kajian yang dijalankan baru-baru ini yang belum disemak rakan sebaya mendapati bahawa sebanyak 50 esei yang dihasilkan menggunakan ChatGPT menghasilkan teks canggih yang dapat mengelak perisian semakan plagiarisme tradisional.

Memandangkan ChatGPT mencapai anggaran 100 juta pengguna aktif bulanan pada bulan Januari, hanya dua bulan selepas pelancarannya barulah dapat difahami mengapa sesetengah pihak berpendapat bahawa aplikasi AI seperti ChatGPT akan mendorong perubahan besar dalam persekolahan kontemporari.

Respons Dasar terhadap AI dan ChatGPT

Tidak menghairankan apabila terdapat pandangan yang bertentangan tentang cara membalas ChatGPT dan model bahasa AI yang lain. Ada segelintir yang berpendapat bahawa pendidik harus menerima AI sebagai alat teknologi yang berharga dengan syarat aplikasi dipetik dengan betul.

Yang lain-lain pula percaya bahawa lebih banyak sumber dan latihan diperlukan supaya pendidik lebih mampu menangkap contoh penipuan. Jabatan Pendidikan New York City sebagai contoh, telah menyekat aplikasi AI seperti ChatGPT daripada peranti dan rangkaian.

Pentaksiran Pemikiran ke Hadapan

Rajah di bawah menggambarkan tiga elemen kritikal sistem pentaksiran pemikiran ke hadapan. Walaupun setiap elemen boleh dihuraikan, tumpuan adalah dalam menawarkan pendidik satu siri strategi yang akan membolehkan mereka mengekalkan standard akademik dan menggalakkan pembelajaran dan pentaksiran tulen dalam menghadapi aplikasi AI semasa dan akan datang.

 

Institusi dan pendidik mesti meneliti persimpangan AI, integriti akademik dan cara mentaksir pelajar – Louis Volante.

 

Guru dan profesor universiti juga telah bergantung banyak kepada tugasan esei “satu dan selesai” selama beberapa dekad. Pada asasnya, pelajar ditugaskan atau diminta untuk memilih topik esei generik daripada senarai dan menyerahkan tugasan akhir mereka pada tarikh tertentu.

Tugasan sedemikian sangat terdedah kepada aplikasi AI baharu, serta penipuan kontrak – iaitu pelajar membeli esei yang telah siap. Para pendidik kini perlu memikirkan semula tugasan tersebut. Yang berikut adalah beberapa strategi yang berkaitan perkara tersebut.

  1. Pertimbangkan cara untuk menggabungkan AI dalam pentaksiran yang sah.

* Tidak berguna atau praktikal untuk institusi melarang langsung AI dan aplikasi seperti ChatGPT. AI telah pun dimasukkan ke dalam beberapa bilik kuliah di universiti. Teknologi AI dipercayai mestilah disepadukan secara terpilih supaya pelajar dapat merenung penggunaan yang sesuai dan menghubungkan refleksi mereka kepada kecekapan pembelajaran.

* Sebagai contoh, Paul Fyfe, seorang professor Bahasa Inggeris yang mengajar tentang cara manusia berinteraksi dengan data menerangkan “percubaan pedagogi”, iaitu beliau memerlukan pelajar mengambil kandungan daripada perisian AI untuk penjanaan teks dan menganyam kandungan ini dalam esei akhir mereka.

* Pelajar kemudiannya diminta untuk menghadapi ketersediaan AI sebagai alat penulisan dan merenung tentang penggunaan etika dan penilaian mod bahasa.

  1. Libatkan pelajar dalam menetapkan matlamat pembelajaran.

* Memastikan pelajar memahami cara mereka akan digredkan adalah kunci kepada mana-mana sistem penilaian dan pentaksiran yang baik.

* Menjemput pelajar untuk bekerjasama mewujudkan matlamat dan kriteria pembelajaran untuk tugasan dengan mengambil kira peranan perisian AI akan membantu pelajar menilai dan mentaksir konteks yang sesuai, iaitu AI boleh berfungsi sebagai alat pembelajaran.

  1. Memerlukan pelajar menghantar draf untuk maklum balas.

* Walaupun pelajar masih perlu menyelesaikan tugasan esei, penyelidikan tentang dasar integriti akademik sebagai tindak balas kepada AI generatif mencadangkan agar pelajar perlu menyerahkan draf kerja mereka untuk semakan dan maklum balas. Selain membantu mengesan plagiarisme, amalan “penilaian formatif” seperti ini positif untuk membimbing pembelajaran pelajar.

* Maklum balas boleh diberi oleh guru atau pelajar sendiri. Maklum balas rakan sebaya dan kendiri juga boleh berfungsi untuk menilai secara kritis kerja yang sedang dijalankan (atau kerja yang dihasilkan oleh perisian AI).

  1. Gred subkomponen tugasan.

* Pelajar boleh menerima gred untuk setiap subkomponen, termasuklah penglibatan mereka dalam proses maklum balas. Mereka juga akan dinilai berhubung dengan sejauh mana mereka menggabungkan dan menerima maklum balas khusus yang diberikan.

* Tugasan menjadi lebih besar daripada esei akhir – menjadi produk pembelajaran, iaitu idea pelajar dinilai daripada pembangunan hingga penyerahan akhir.

  1. Beralih kepada pentaksiran yang lebih tulen atau memasukkan elemen prestasi.

* Amalan pentaksiran yang baik melibatkan pendidik yang memerhati pembelajaran pelajar merentasi pelbagai konteks. Sebagai contoh, pendidik boleh menjemput pelajar untuk membentangkan hasil kerja mereka, membincangkan esei dalam format persidangan atau berkongsi artikulasi video atau perwakilan artistik. Matlamat di sini adalah untuk menggalakkan pelajar berkongsi pembelajaran mereka melalui format alternatif. Soalan penting untuk ditanya – adakah anda memerlukan komponen esei sama sekali? Adakah terdapat cara yang lebih sahih untuk menilai pembelajaran pelajar dengan berkesan?

Pentaksiran autentik ialah penilaian yang mengaitkan kandungan dengan konteks. Apabila pelajar diminta melakukan cara ini, mereka mesti menggunakan pengetahuan dalam tetapan yang lebih praktikal dan selalunya menjadikan alatan AI kurang membantu.

Untuk bantuan dalam memikirkan semula amalan pentaksiran ke arah pendekatan yang lebih tulen dan alternatif, pendidik boleh mempertimbangkan untuk mengambil kursus percuma seperti Transforming Assessment: Strategies for Higher Education.

Meningkatkan Faedah untuk Pelajar

Secara kolektif, cadangan ini mungkin lebih memakan masa, terutamanya dalam kelas pengajian sarjana yang lebih besar. Namun begitu, mereka memberikan pembelajaran dan sinergi yang lebih besar antara bentuk pentaksiran yang memberikan manfaat kepada pelajar: penilaian formatif untuk membimbing pengajaran dan pembelajaran, dan “pentaksiran sumatif,” yang digunakan terutamanya untuk tujuan penggredan dan penilaian.

AI berada di sini dan di sini untuk kekal dan kita mesti menerimanya sebagai sebahagian daripada persekitaran pembelajaran. Menggabungkan AI ke dalam cara guru mentaksir pembelajaran pelajar akan menghasilkan proses pentaksiran yang lebih dipercayai dan hasil pentaksiran yang sah dan bernilai.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.