Oleh Kho Thong Eng
10 April 2023, 08:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan merupakan rahmat yang tidak terhingga bagi seseorang manusia. Nilainya melampaui nilai kebendaan seperti wang ringgit dan harta benda. Oleh itu, wujudlah sejumlah kata dan istilah yang berkaitan dengan penjagaan keselamatan manusia.

Untuk menjaga keselamatan dalam hal penggunaan kenderaan, terdapat istilah seperti topi keledar (safety helmet), tali pinggang keledar/keselamatan (safety belt), beg keselamatan (air bag), kerusi keselamatan kanak-kanak (child safety seat/child restraint system), dan sebagainya.

Untuk menjaga keselamatan penghuni rumah atau premis perniagaan daripada pencerobohan oleh orang jahat, terdapat penggera kecurian (burglar alarm), sistem televisyen litar tertutup (close circuit televisyen, CCTV), jeriji atau kekisi (grille), mangga (padlock), kunci gabungan (combination lock), pengimbas retina (retina scanner), pengimbas cap jari (finger print scanner), pengimbas muka (facial recognition system), dan sebagainya.

Bagi melindungi bangunan daripada bahaya kebakaran, terdapat sistem seperti penggera kebakaran (fire alarm), pengesan asap (smoke detector), sistem penyembur air (water sprinkler system), pintu rintangan api (fire door), pintu perintang api (fire resisting door), dan sebagainya.

Selain itu, kita diingatkan agar menjauhi bahan mudah bakar (flammable substance) dan bahan mudah terbakar (inflammable substance) memastikan injap keselamatan (safety valve) pada tangki gas berfungsi dan kita harus tahu menggunakan alat pemadam api (fire extinguisher) yang pelbagai.

Di tepi jalan pula, sudah sedia terpasang pili bomba (fire hydrants) untuk kegunaan para ahli pasukan bomba dan penyelamat (fire and rescue squad). Demi keselamatan semua, latihan kebakaran (fire drills) dijalankan agar staf dan murid sekolah serta penghuni bangunan tahu tentang prosedur untuk mengosongkan bangunan mengikut laluan yang selamat.

Bagi golongan kelainan upaya (physically challenged people), terdapat kemudahan khas untuk kegunaan mereka. Sebagai contoh, terdapat tandas OKU (toilets for the disabled) yang dilengkapi susur tangan (hand rail) dan ruang yang lebih besar. Ada kereta roda (wheelchair) atau kereta roda elektrik (electric wheelchair) untuk memudahkan mereka bergerak. Tanjakan condong (inclined ramp) atau lif khas juga disediakan untuk membolehkan mereka memasuki bangunan atau naik ke tingkat yang lebih tinggi.

Bagi mereka yang menggemari sukan lasak atau aktiviti yang mencabar, seperti luncur keluang (flying fox/zipline), terjun lelabah (bungee jumping), melalui laluan kanopi (canopy walk), dan sebagainya, abah-abah keselamatan (safety harness) mungkin perlu dipasang untuk menjaga keselamatan mereka. Begitu jugalah halnya bagi mereka yang bekerja di puncak bangunan tinggi, menara, dan sebagainya.

Bagi mereka yang menceburi sukan air, alat penjagaan keselamatan mereka termasuk jaket keselamatan (life jackets), pelampung (floats), bot penyelamat (life boats), dan sebagainya. Selain itu, terdapat anggota penyelamat (lifeguard) yang bertugas di kolam renang dan pantai tertentu untuk menjaga keselamatan semua yang terlibat.

Bagaimanakah pula dengan personel yang menjaga keselamatan kita? Bagi keselamatan awam, polis, polis marin (marine police), polis bantuan (auxillary police)  dan mata-mata gelap (detectives) sedia menjalankan siasatan, penangkapan dan kawalan.

Bagi pertahanan negara, kita ada tentera udara (airforce), tentera darat (army) dan tentera laut (navy). Selain itu, kita ada pengawal pantai (coast guard) dan pengawal sempadan (border patrols) untuk menjaga perairan dan sempadan negara. Bagi pertubuhan dan orang persendirian, ada pula personel kawalan keselamatan seperti pengawal keselamatan (security guard), pengawal peribadi (bodyguard), dan sebagainya.

Di lapangan terbang, bagi memastikan tiada sesiapa membawa masuk atau menyeludup peralatan dan barangan yang berbahaya, pemeriksaan dijalankan secara fizikal atau dengan menggunakan mesin pengimbas. Pemeriksaan fizikal termasuk pemeriksaan tepuk (pat down search), pemeriksaan tanggal (strip search), pemeriksaan intrusif (intrusive search) dan pemeriksaan dalaman (intimate search). Mesin pengimbas pula termasuk pengimbas seluruh badan (full body scanner), pengesan logam (metal detector), pengimbas bagasi (baggage scanner) dan sebagainya.

Untuk memastikan juruwang tidak tersilap menerima wang palsu, pihak bank dan premis perniagaan menggunakan pelbagai pengimbas seperti pengimbas cahaya/lampu belakang (backlight scanner), pengimbas cahaya ultraungu (UV scanner), dan sebagainya.

Bagi mengelakkan komputer atau telefon bimbit digodam oleh penjahat, kita digalakkan untuk menggunakan kata laluan (password), dan nombor pengenalan peribadi (personal identification number, PIN) yang selamat. Selain itu, terdapat pelbagai aplikasi (software) antivirus yang dapat melindungi komputer kita daripada dirosakkan atau diceroboh oleh pihak yang berniat jahat.

Apakah gunanya kita mengetahui pelbagai kata atau istilah tentang penjagaan keselamatan kita? Pertamanya, dengan mengenali hal sedemikian, pengetahuan kita tentang isu semasa dan kosa kata yang terkini bertambah. Hal ini membolehkan kita untuk menghasilkan karangan atau bahan penulisan dengan kata dan istilah yang lebih tepat. Secara tidak langsung, hal ini menampilkan profesionalisme serta kewibawaan penulis dan menarik minat pihak yang berkenaan.

Selain itu, kita dapat mendalami tatacara peminjaman dan penterjemahan kata atau konsep asing, dan tatacara pembentukan istilah yang terkini. Seterusnya, kita dapat mempelajari cara penggunaan kata dan istilah tersebut secara tepat dalam ayat yang kita ujarkan atau tulis. Hal ini dikatakan demikian kerana penggunaan kata atau istilah yang salah pasti akan menjejaskan kelancaran komunikasi dan menimbulkan salah faham antara mereka yang berlawan cakap.

Disebabkan saban hari berlaku pertembungan antara bahasa Melayu dengan pelbagai bahasa di dunia, dan adanya limpahan ilmu yang mencurah-curah masuk ke negara kita, kita tidak ada pilihan melainkan sentiasa membuka mata dan memasang telinga untuk menangkap angin perubahan yang tidak habis-habis berpuput. Dengan itu, barulah bahasa dan kosa kata yang kita gunakan sentiasa segar, tepat dan menarik.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.