Oleh Kho Thong Eng
17 April 2023, 10:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kata yang merupakan kata hubung pancangan relatif yang digunakan untuk memancangkan klausa subordinat relatif dalam klausa utama atau klausa bebas. Sila lihat contoh yang berikut:

1a.  Kereta itu baharu.

1b.  Kereta itu cantik.

1c.  Kereta yang baharu itu sangat cantik.

1d.  Kereta baharu itu sangat cantik.

 

2a.  Orang itu sedang berlari.

2b.  Orang itu kawan saya.

2c.  Orang yang sedang berlari itu kawan saya.

2d.  *Orang sedang berlari itu kawan saya.

Dalam kelompok ayat 1, ayat 1a dipancangkan dalam ayat 1b untuk menghasilkan ayat majmuk pancangan relatif 1c. Dalam hal ini, klausa relatif yang baharu itu mengganti tempat kereta itu baharu. Oleh sebab kata baharu merupakan kata adjektif, ada kalanya kata yang boleh digugurkan dalam struktur permukaan ayat (lihat ayat 1d).

Dalam kelompok ayat 2, ayat 2a dipancangkan dalam ayat 2b untuk menghasilkan ayat majmuk pancangan relatif 2c. Dalam hal ini, klausa relatif yang sedang berlari itu mengganti tempat orang itu sedang berlari. Oleh sebab frasa sedang berlari merupakan frasa kerja, kata yang tidak boleh digugurkan dalam struktur permukaan ayat (lihat ayat 2d).

Ada kalanya kemungkinan diselitkan dengan kata relatif yang membezakan frasa daripada kata majmuk. Sila lihat contoh yang berikut:

3a.  Kereta mahal itu menarik minat.

3b.  Kereta yang mahal itu menarik minat.

 

4a.  Kereta kebal itu menakjubkan.

4b.  Kereta yang kebal itu menakjubkan.

Dalam kelompok ayat 3, kereta mahal itu merupakan frasa nama umum kerana dapat diselitkan dengan kata hubung relatif yang tanpa mengubah maksudnya. Oleh itu, frasa nama kereta mahal itu sama ertinya dengan frasa nama kereta yang mahal itu.

Dalam kelompok ayat 4 pula, kata majmuk kereta kebal mempunyai maksud khusus seperti kata tank dalam bahasa Inggeris.  Jika kata yang diselitkan, kereta yang kebal menjadi frasa nama umum yang bererti “apa-apa kereta yang buatannya amat teguh dan kebal daripada serangan”. Oleh itu, kata majmuk kereta kebal berbeza daripada frasa nama kereta yang kebal.

Kata yang dapat membentuk frasa nama terbitan daripada kata kerja dan kata adjektif. Sila lihat contoh yang berikut:

5a.  Pakaian itu mahal.

5b.  Dia membeli yang mahal.

5c.  Dia membeli pakaian yang mahal itu.

 

6a.  Pekerja itu mencuri tulang.

6b.  Dia menegur yang mencuri tulang itu.

6c.  Dia menegur pekerja yang mencuri tulang itu.

Dalam ayat 5a, kata mahal ialah kata adjektif. Dalam ayat 5b, yang mahal merupakan frasa nama objek kepada kata kerja transitif membeli. Hal ini dikatakan demikian kerana inti frasa nama seperti pakaian dalam ayat 5c boleh digugurkan.

Dalam ayat 6a, frasa mencuri tulang ialah frasa kerja.  Dalam ayat 6b, yang mencuri tulang merupakan frasa nama objek kepada kata kerja transitif menegur. Hal ini dikatakan demikian kerana inti frasa nama seperti pekerja dalam ayat 6c boleh digugurkan.

Kehadiran yang sebagai frasa nama terbitan dapat dilihat dengan jelas pada pantun yang berikut:

Yang kurik itu kundi,

yang merah itu saga;

yang baik itu budi,

yang indah itu bahasa.

 

Ada kalanya, kehadiran yang dapat menghasilkan struktur ayat yang berbeza. Sila lihat contoh yang berikut:

  1.  Banyak orang datang.

 

8a.  Banyak orang yang datang.

8b.  Orang yang datang banyak.

 

9a.  Rumah itu besar.

9b.  Besar rumah itu.

 

10a.  Rumah itulah yang besar

10b.  Yang besar rumah itu.

 

Dalam ayat 7a, kata banyak ialah kata bilangan tak tentu yang menjadi penentu hadapan bagi frasa nama banyak orang. Susunan ayat 7 ialah susunan biasa dengan pola Frasa Nama (banyak orang) + Frasa Kerja (datang).

Dalam ayat 8a, kata banyak merupakan predikat ayat dalam ayat susunan songsang. Susunan biasa ayat tersebut ialah ayat 7b, iaitu Frasa Nama (orang yang datang) + Frasa adjektif (banyak).

Dalam ayat 9a, Rumah itu besar merupakan ayat susunan biasa dengan pola Frasa Nama (rumah itu) + Frasa Adjektif (besar). Ayat susunan songsangnya ialah ayat 9b.

Dalam ayat 10a, Rumah itulah yang besar merupakan ayat susunan songsang dengan pola Frasa Nama (yang besar) + Frasa Nama (rumah itu). Hal ini dikatakan demikian kerana partikel penegas -lah ditambah pada frasa nama predikat rumah itu yang dikedepankan. Ayat susunan biasanya ialah ayat 10b.

Kata yang mungkin wujud lebih daripada satu kali dalam ayat majmuk, asalkan maksud ayat jelas. Sila lihat contoh yang berikut:

11a.  Pekerja itu baru bertugas.

11b.  Pekerja itu sedia menolong rakannya yang sibuk.

11c.  Pekerja itu mendapat pujian ramai.

11d.  Pekerja yang baru bertugas dan sedia menolong rakannya yang sibuk itu

mendapat pujian ramai.

 

Frasa relatif dengan kata hubung yang dapat hadir dalam pelbagai kedudukan dalam ayat. Sihat contoh yang berikut:

12a.  Baju yang cantik itu menjadi pilihannya.

12b.  Yang cantik itu menjadi pilihannya.

12c.  Dia mengambil yang segar itu.

12d.  Dia menjadi yang terkenal dalam bidangnya.

Dalam ayat 12a, klausa relatif yang cantik itu merupakan penerang kepada inti frasa nama baju. Dalam ayat 12b, frasa relatif yang cantik itu menjadi subjek ayat apabila inti frasa nama digugurkan. Dalam ayat 12c, klausa relatif yang segar itu menjadi objek kepada kata kerja transitif mengambil. Dalam ayat 12d pula, klausa relatif yang terkenal dalam bidangnya menjadi pelengkap kepada kata kerja tak transitif menjadi.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.