1 Mei 2023, 08:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

“Sudah kahwin ke belum?” merupakan antara pertanyaan hangat daripada orang tua-tua di kampung yang kadang kalanya membingitkan telinga anak dara dan teruna yang masih belum lagi menemui pasangan masing-masing. Jangan berkecil hati dan menunjukkan muka mencuka dengan pertanyaan sebegitu kerana itu cara orang tua-tua ingin memulakan komunikasi dan mewujudkan suasana yang mesra.

Oleh itu, kita sebagai orang yang lebih muda perlu tahu menggunakan diplomasi bahasa untuk menjawab soalan seperti itu bagi mengelakkan kejadian bermasam muka dan menyebabkan sambutan hari raya bertukar menjadi medan permusuhan. Janganlah pula menggelarkan kelompok orang tua-tua ini sebagai “makcik bawang” sebagai tanda protes tetapi sambutlah soalan tersebut dengan kaedah berseloroh agar keharmonian hari raya terus tercipta.

Dalam konteks ini, diplomasi bahasa merupakan suatu kiat dan strategi dengan menggunakan kebijaksanaan mengembangkan bahasa sama ada secara lisan mahupun tulisan dengan tujuan untuk memahami pertuturan, mengeratkan dan menebarkan hubungan baik sesama manusia.

Frasa ini bukan hanya digunakan oleh pihak pentadbiran negara tetapi juga boleh menjurus kepada skop yang lebih kecil seperti dalam keluarga mahupun masyarakat persekitaran.  Diplomasi bahasa berperanan untuk mengawal keadaan yang buruk menjadi lebih baik, dapat membuat perundingan dan menegur kelompok tertentu secara berhemah.

Diplomasi bahasa dalam arena jual beli sangat penting terutamanya apabila menjelangnya sambutan hari raya. Banyak orang akan pergi ke gedung beli-belah atau ke gerai jualan bagi mencari pakaian terbaik untuk dipakai dan pelbagainya untuk digunakan pada pagi hari raya. Pembeli akan tertarik hati dengan tawaran yang dianggap lumayan bagi mereka. Dengan itu, diplomasi bahasa perlu digunakan oleh penjual semasa berunding harga dengan pembeli. Penggunaan ayat yang teratur dan ucapan yang sopan di samping kualiti barang yang bermutu akan dapat memenangi hati pembeli.

Jika diperhatikan, diplomasi bahasa bukan sahaja digunakan oleh penjual secara terus kepada pembeli tetapi juga para penjual menulis ayat-ayat perundingan pada kertas iklan yang digantung di gerai-gerai jualan dan pusat beli-belah bagi menarik dan meyakinkan pembeli. Walaupun ayat ini ayat iklan untuk melakukan jualan masing-masing tetapi ayat ini termasuk dalam kaedah diplomasi bahasa. Situasi menang-menang antara penjual dan pembeli akan dapat mencipta keharmonian kedua-dua pihak untuk menyambut hari lebaran.

Saban tahun, sebelum meraikan sambutan hari raya semua rakyat Malaysia ternanti-nanti akan pengumuman hari raya oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, selaku pihak berkuasa yang diamanahkan oleh Majlis Raja-Raja. Kesemua mata dan telinga tertumpu pada kaca televisyen dan menantinya dengan penuh sabar. Namun begitu, apabila pengumuman dibuat, timbul pelbagai reaksi seperti suka, terkejut, dan ada juga berasa marah serta pelbagai lagi reaksi yang terpancar daripada orang ramai. Maka banyaklah hamburan kata sama ada yang positif atau negatif akan kedengaran sehingga dizahirkan pada status masing-masing di Facebook dan TikTok. Boleh dikatakan pada malam itu pengumuman tarikh tersebut menjadi perbincangan yang paling hangat.

Kehangatan reaksi yang boleh mengganggu keharmonian sambutan hari raya sebenarnya boleh diredakan jika masing-masing menggunakan diplomasi bahasa. Perbualan atau balasan komen yang diberikan perlulah dalam reaksi yang menenangkan serta menerangkan situasi agar fikiran yang tidak waras kembali normal.

Keharmonian perlu diutamakan agar sambutan hari raya dapat diraikan dengan gembira. Dalam hal ini, diplomasi bahasa berfungsi sebagai perundingan bagi melahirkan situasi keharmonian masyarakat Malaysia Madani yang beragama Islam.

Selain itu, suasana di kampung halaman juga perlu diperkaya dengan diplomasi bahasa apabila menegur dan melatih “anak dara dan teruna digital” yang berat tulang membantu melakukan kerja-kerja di dapur. Panggilan daripada orang tua sepelaung dan berulang kali tidak disahut kerana leka dengan telefon pintar di samping mengambil gambar ala model yang menyebabkan ibu-ibu di dapur  mengamuk seperti singa betina.

Hasilnya, habuan cubitan dan pelbagai kata-kata kesat yang dilemparkan kepada kelompok ini. Perkara ini sudah pasti menerbitkan rasa malu kepada anak dara dan teruna terutamanya apabila saudara-mara berkumpul di rumah. Pekikan sebegini bukanlah prakarsa terbaik untuk mendidik anak muda terutamanya generasi Y dan Z agar ringan tulang.

Pada kesinambungan itu, ibu bapa sekalian perlu menggunakan pendekatan bijak, iaitu dengan berdiplomasi dalam berbahasa. Misalnya, mendatangi secara dekat anak-anak tersebut dan seterusnya mengajak mereka duduk bersama-sama sambil mengajar membuat kerja-kerja tersebut. Kayakan mereka dengan bahasa yang indah seperti kata puji-pujian agar “anak-anak digital”  ini berasa lebih dihargai walaupun hasil kerja mereka tidak sempurna yang diharapkan.

Dalam hal ini, sebagai ingatan bersama-sama, bahasa yang digunakan oleh ibu bapa akan diwarisi. Keperibadian anak-anak adalah cerminan ibu bapanya. Justeru itu, ibu bapa perlu nekad menggunakan bahasa yang elok dalam mendidik agar anak-anak terdidik dengan pertuturan lisan dan tulisan yang baik serta beradab.

Tidak ketinggalan juga kepada anak-anak kecil yang terlalu aktif dan gembira bermain mercun bagi meraikan sambutan hari raya. Dentuman mercun sangat menggembirakan anak-anak kecil ini. Ibu atau bapa perlu mengawal situasi tersebut kerana jika dibiarkan bermain dalam kelompok antara mereka sudah pasti gelak tawa yang kedengaran pada mulanya diakhiri dengan pergaduhan dan tangisan.

Peranan ibu bapa dalam hal ini sangat penting untuk mengawal keadaan bagi mengelakkan hubungan anak-anak kecil ini menjadi semakin keruh. Diplomasi bahasa dengan kaedah memujuk dan menjelaskan keadaan bahawa dengan bermain mercun secara berdekatan akan membahayakan rakan-rakan sekeliling. Anak-anak kecil akan mudah faham dengan kaedah tersebut berbanding dengan ugutan yang boleh menimbulkan rasa takut dan trauma dalam kalangan mereka.

Amalan kunjung-mengunjungi semasa hari raya adalah medium terbaik untuk  mempereratkan hubungan antara satu sama lain. Tuan rumah juga sudah pastinya sibuk menyediakan juadah terbaik untuk dihidangkan kepada tetamu yang datang. Apabila berkunjung ke rumah orang, bukan sahaja adab yang perlu dipelihara tetapi cara bertutur juga perlu dijaga. Bagi tetamu, mereka perlu beringat bahawa terdapat sempadan kawasan yang tidak perlu dimasuki. Namun begitu, apabila terdesak mungkin terdapat kawasan yang akan disinggahi.

Adakalanya lantai di dapur sedikit licin kerana terkena minyak hasil masakan. Janganlah pula terus menegur tuan rumah sehingga mengaibkannya. Hargailah daya usaha dan penat lelah tuan rumah menyediakan hidangan tersebut. Berilah kata-kata penghargaan terhadap masakan yang disediakan agar tuan rumah berasa dihargai. Penggunaan diplomasi bahasa dalam hal ini akan membantu mewujudkan lagi kemesraan antara satu sama lain.

Diplomasi bahasa sememangnya penting apabila bertemu dengan kenalan ataupun orang yang baharu dikenali. Penggunaan diplomasi bahasa bukan sahaja menampilkan kredibiliti seseorang tetapi juga menunjukkan takat keintelektualan dalam berbahasa. Diplomasi bahasa merangkumi pelbagai aspek kerana melibatkan pertuturan dan juga bahasa badan.

Diplomasi bahasa tidak sama sekali menganjurkan kekerasan yang melibatkan pertelingkahan tetapi lebih mengutamakan keharmonian sesama makhluk. Oleh itu, gunakanlah diplomasi bahasa agar dapat mencipta keharmonian semasa menyambut hari raya yang mulia. Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf zahir dan batin kepada semua.

 

 

Profesor Madya Dr. Salmah Jan Noor Muhammad − Pensyarah Kanan, Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, yang juga Ahli Lembaga Amanah Yayasan Karyawan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.