Oleh Aminudin Mansor
17 Mei 2023, 10:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kekuatan sebuah bangsa dan negara banyak bergantung pada pembangunan bahasa, sastera dan budaya. Usaha memperkasakan bahasa, sastera dan budaya ini akan mengukuhkan perpaduan kaum dan rakyat dalam sebuah negara yang kukuh perpaduannya seperti hasrat kerajaan Malaysia MADANI.

Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan mampu menyatupadukan semua kaum di Malaysia. Begitu juga dengan sastera dan budaya kebangsaan yang wajar diperjuangkan bagi perpaduan kaum dan masyarakat. Pelbagai acara boleh dilaksanakan yang bertujuan untuk menyatupadukan penduduk di negara ini. Generasi muda juga wajar terlibat dalam memperkasakan usaha ini.

Apa-apa juga usaha bagi memperkasakan bahasa, sastera dan budaya bukan hanya terletak di bahu orang perseorangan atau menjadi tanggungjawab persatuan penulis dan persatuan budaya, malah menjadi tugas kerajaan negeri dan kerajaan pusat dengan menyumbang dana sebagai langkah mengeratkan perpaduan dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Jika dikaji, usaha ini sebenarnya telah lama dilaksanakan oleh kerajaan sejak selepas merdeka, namun tidak berfokus pada perpaduan. Tambahan pula, apabila dasar berubah dan apabila kerajaan bertukar menyebabkan bidang bahasa, sastera dan budaya sudah hilang arah tujuannya.

Di bawah kerajaan perpaduan dan Malaysia MADANI, yang patut difokuskan ialah bidang bahasa, sastera dan budaya yang sebenarnya mampu mewujudkan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum apabila bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dapat memacukan sastera dan budaya daripada pelbagai etnik dan budaya.

Sebagai asas penting, pendidikan di sekolah juga mampu memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa perpaduan serta sastera dan budaya dapat membentuk akal budi generasi muda ke arah membina tamadun bangsa yang perkasa dan bermaruah. Usaha ini mestilah diteruskan pada peringkat universiti dan masyarakat.

Dalam pembinaan tamadun bangsa, penggunaan bahasa dan tulisan penting bagi memacukan perkembangan ilmu untuk menghadapi perubahan dari semua aspek kehidupan. Pembinaan kota dan bandar  sebagai menampung pertumbuhan penduduk sedia ada mampu menjalankan aktiviti yang berkaitan dengan bahasa, sastera dan budaya.

Lantaran itu, usaha perlu digerakkan dan dilakukan bagi mewujudkan keseimbangan rohani dan jasmani bagi membentuk sebuah masyarakat yang cinta akan bahasa, sastera dan budaya, yang seterusnya melahirkan kegiatan bahasa, sastera dan budaya yang sihat di samping kejayaan ekonomi desa dan bandar.

Sumbangan bahasa, sastera dan budaya sangat penting dalam membangunkan tamadun bangsa,  iaitu dengan pegangan agama yang kuat, sistem kenegaraan yang tersusun rapi, kegiatan bahasa, sastera dan budaya yang segar, pemacuan kehidupan bandar, pencapaian kaedah penulisan moden dan tinggi dan kepakaran dalam bidang seni lukis, seni reka dan budaya maju.

Ironinya, budaya merangkumi suatu cara hidup yang berkembang maju dalam kehidupan dengan perpaduan dan memiliki bersama sebuah kelompok orang yang diwariskan daripada generasi kepada generasi dan  juga dibentuk daripada pelbagai unsur, iaitu kerjasama, penyatuan dan pemahaman termasuklah sistem agama, politik, adat istiadat, bahasa, sastera karya seni dan budaya yang merupakan bahagian tak terpisah daripada diri manusia.

Kejayaan ini akan merangkumi semua aspek kemajuan dalam masyarakat Malaysia MADANI. Seperti pandangan Ibn Khaldun, iaitu “hadarah” yang bermaksud kemajuan akal budi, seni budaya, wilayah, daerah, kota, bandar, kampung atau tanah yang diusahakan ke arah kemajuan. Lantaran itu, semuanya meliputi kemajuan bahasa, sastera dan budaya fizikal dan spiritual serta intelektual suatu bangsa dan masyarakat dalam sebuah kerajaan perpaduan.

Oleh itu, bagi memacu kemajuan bahasa, pendidikan di sekolah mestilah diperkasakan dengan terus menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, bahasa kebangsaan, bahasa ilmu dan bahasa perpaduan.

Di bawah pentadbiran kerajaan perpaduan dan Malaysia MADANI, pelbagai aktiviti yang berkaitan dengan bahasa dan sastera boleh dilakukan sebagai langkah pendidikan awal di sekolah dengan pembacaan karya yang bermutu, pembacaan sajak, pantun, gurindam dan syair melalui pertandingan pada peringkat sekolah, daerah, negeri dan negara.

Yang paling diutamakan, budaya berfikir dalam memacukan ilmu perlulah bermula di rumah melalui pendidikan oleh ibu bapa dan diteruskan di sekolah oleh guru melalui pendidikan bahasa, sastera dan budaya dengan fakta ilmu yang berkaitan dengan bidang ini. Budaya ini juga mesti disemai pada peringkat sekolah bagi mengeratkan perpaduan kaum dengan menggunakan maklumat dan pengetahuan untuk kejayaan hidup dalam masyarakat dan negara.

Anugerah Sasterawan Negara (ASN), Anugerah Tokoh Bahasa dan Tokoh Seni dan Budaya Negara wajar diteruskan bagi bagi mengangkat martabat dan menyanjung perjuangan mereka yang bergiat dalam ketiga-tiga bidang ini pada peringkat negara tanpa mengira bangsa dan etnik.

Bagi memperkasakan bahasa dan sastera dan budaya, janganlah hanya mengharapkan usaha badan penulis seperti Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) dan badan gabungan di negeri-negeri atau Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) serta badan dan pertubuhan budaya, teater dan seni di seluruh negara. Persatuan bahasa, sastera dan budaya ini memang akan terus memperjuangkan perjuangan ini.

Masyarakat wajar terlibat sama dalam menjayakan aktiviti yang dianjurkan oleh badan dan pertubuhan ini bagi memperkasakan perpaduan dalam kalangan masyarakat dan juga negara. Kota Buku dan kempen membaca wajar ditingkatkan dalam kalangan masyarakat bagi meningkatkan ilmu dan kemahiran dalam kehidupan.

Justeru itu, dasar sosial dan budaya telah lama dibentuk untuk membawa kemakmuran dan kesejahteraan dan seterusnya mampu membawa kemajuan dan pembangunan negara. Dasar ini diwujudkan bagi memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai budaya yang juga menjadi hasrat kerajaan Malaysia MADANI.

Para pemikir, pengkaji dan pembuat dasar ini telah memikirkan bahawa dasar ini dibentuk sebagai panduan untuk membentuk dan melaksanakan  dan mengekalkan identiti negara  yang rakyatnya terdiri daripada pelbagai kaum. Lantaran itu, usaha ini perlu diteruskan dan dimantapkan di bawah kerajaan perpaduan dan Malaysia MADANI. Setiap kementerian mestilah berusaha ke arah memajukan bahasa, sastera dan budaya kebangsaan.

Setiap ahli masyarakat juga mestilah memahami tiga prinsip penerimaan Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK), yang telah diterima melalui perhimpunan Kongres Kebudayaan Kebangsaan, yang diadakan pada tahun 1971. Pertama, prinsip itu berteraskan kebudayaan rakyat asal negara ini. Yang kedua, unsur-unsur kebudayaan lain yang sesuai dan wajar dan yang ketiga, Islam menjadi unsur yang penting dalam pembentukan kebudayaan kebangsaan.

Objektif dan peranannya sangat jelas, iaitu mewujudkan kebudayaan bersifat Malaysia bagi memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat dan negara, memupuk dan memelihara identiti kebangsaan. Selain itu, mempertingkatkan kualiti kehidupan kemanusiaan dan kerohanian yang seimbang dengan pembangunan sosioekonomi dan sosiobudaya.

Implikasi dan tujuan pelaksanaan dasar ini menjadi garis panduan dalam membentuk serta mewujudkan satu bangsa yang bersatu padu  serta mengekalkan identiti negara dalam kalangan dunia antarabangsa, selain mampu memupuk kesedaran  dan kefahaman tentang budaya kebangsaan. Kesedaran inilah yang perlu ditekankan dan diwujudkan dalam kalangan masyarakat.

Akhirnya, setiap usaha ini dapat menjalinkan kerjasama yang erat dan memberikan kesedaran dalam kalangan semua pihak termasuklah para pemimpin yang ikhlas untuk membentuk jati diri dan akal budi bangsa Malaysia yang cinta akan bahasa, sastera dan budayanya. Oleh itu, usaha memperkasakan bahasa, sastera dan budaya kebangsaan mestilah dilaksanakan dan diteruskan sepanjang masa oleh semua pihak.

 

Dr. Aminudin Mansor – Aktivis bahasa, sastera dan budaya.  

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.