24 Mei 2023, 18:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bahasa merupakan alat komunikasi yang digunakan oleh masyarakat untuk berhubung sejak dahulu lagi. Oleh itu, penguasaan bahasa sangat penting bagi membolehkan sesuatu maklumat dapat difahami dengan jelas dan berkesannya. Namun begitu, setiap orang pasti mempunyai halangan dan limitasi untuk menguasai dan memahami maklumat yang menggunakan bahasa tertentu disebabkan oleh perbezaan budaya masing-masing.

Tambahan pula, Malaysia merupakan sebuah negara majmuk yang didiami oleh pelbagai kaum dan etnik, serta mempunyai pelbagai dialek dan loghat masing-masing. Walaupun tidak dinafikan bahawa bahasa Melayu telah diangkat sebagai bahasa rasmi dan bahasa perpaduan yang menyatupadukan masyarakat, ada kalanya penyampaian sesuatu maklumat lebih berkesan apabila menggunakan dialek atau loghat masing-masing, terutamanya bagi mereka yang tinggal di kawasan luar bandar.

Dialek berbeza antara satu-satu kawasan disebabkan oleh pengaruh alam, persekitaran, budaya dan cara pergaulan yang berlainan. Perbezaan tersebut menyebabkan terjadinya kelainan dalam penggunaan bahasa, seterusnya menjadikannya suatu bentuk bahasa itu berbeza daripada bahasa standard.

Bentuk bahasa tersebut dikenali sebagai dialek atau loghat. Dialek berasal daripada kata dalam bahasa Yunani, iaitu dialektos, yang bermaksud manner of speech. Menurut Syarifah Raihan Syed Jaafar dalam makalah “Pembentukan Struktur Kata Dialek Melayu Kuala Pilah”, dialek ditakrifkan sebagai sistem bahasa yang digunakan dalam sesebuah masyarakat untuk membezakannya daripada masyarakat lain yang menggunakan sistem bahasa yang berlainan walaupun mempunyai hubungan yang erat.

Dialek boleh digunakan sebagai medium penyampaian maklumat yang berkesan berbanding dengan bahasa standard. Contohnya, semasa pandemik berlaku di Malaysia, dialek digunakan untuk membantu masyarakat memahami bahaya virus COVID-19 dengan lebih jelas. Semasa wabak ini mula melanda negara, istilah yang berkaitan dengan wabak ini kebanyakannya adalah dalam bahasa Inggeris.

Setelah itu, pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengambil langkah proaktif dengan cara memperkenalkan pelbagai istilah dalam bahasa Melayu. Walau bagaimanapun, istilah tersebut masih belum difahami dengan berkesannya oleh masyarakat, terutamanya bagi mereka yang tinggal di kawasan luar bandar. Buktinya, masyarakat masih bersikap sambil lewa dengan masih melepak dan menziarahi antara satu dengan lain pada waktu permulaan wabak itu.

Dalam usaha untuk menjadikan maklumat yang disampaikan lebih berkesan, banyak pihak dilihat menggunakan dialek tempatan masing-masing. Teguran yang disampaikan melalui dialek menyebabkan seseorang yang ditegur itu tidak mudah berasa hati atau terguris hati.

Jabatan Penerangan Negeri (JaPen) merupakan antara pihak yang mula menggunakan dialek setempat ketika menyampaikan maklumat tentang tahap bahaya wabak ini kepada masyarakat. Usaha tersebut dilihat semakin berkesan apabila masyarakat lebih berhati-hati dan mengambil langkah pencegahan untuk mengelakkan jangkitan wabak tersebut.

Setelah kejayaan menggunakan dialek untuk memberikan penerangan tentang tahap bahaya wabak COVID-19, banyak pihak mula menggunakan dialek dalam usaha mejayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan. Negeri yang mempunyai kadar vaksinasi rendah seperti Kelantan, Kedah dan Sabah mengambil pendekatan menggunakan dialek setempat dalam usaha menyedarkan masyarakat, terutamanya bagi mereka yang tinggal di kawasan luar bandar.

JaPen Sabah tidak terkecuali apabila menggunakan dialek tempatan semasa memberikan penerangan dari kampung ke kampung bagi memperhebat usaha untuk menarik minat masyarakat. Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) juga mengambil inisiatif mendidik orang ramai mengenai vaksin COVID-19 dengan penggunaan pelbagai dialek dalam usaha menggalakkan vaksinasi melalui media sosial fakulti tersebut.

Penggunaan dialek ini dilihat berkesan dalam usaha menyampaikan kepentingan vaksinansi kepada masyarakat apabila kadar vaksinasi masyarakat semakin meningkat sehingga negara mampu mencapai kadar vaksinasi 90 peratus daripada populasi dewasa pada Oktober 2021.

Selain itu, dialek juga digunakan oleh peniaga untuk mempromosikan perkhidmatan dan barangan. Penggunaan bahasa yang indah, menarik dan dekat dengan khalayak mampu mempengaruhi minda golongan sasaran untuk membeli barangan. Walaupun dialek mungkin hanya sesuai digunakan untuk penulisan iklan di kawasan dan negeri tertentu, penggunaannya juga berkesan kepada masyarakat yang berada di luar kawasan tersebut.

Hal ini dikatakan demikian kerana masyarakat Malaysia sentiasa berasimilasi dan berhijrah dari satu kawasan ke kawasan yang lain. Contohnya, terdapat video tular yang menunjukkan pramugari penerbangan Syarikat Air Asia yang dalam perjalanan ke Kota Bharu, Kelantan mempromosikan barangan syarikat tersebut dalam dialek Kelantan kepada penumpang. Penggunaan dialek menjadi pilihan kerana lebih dekat dan mudah difahami oleh penumpang yang menuju ke negeri Che Siti Wan Kembang tersebut.

Dialek juga digunakan dalam usaha untuk mempromosikan produk pelancongan sesuatu kawasan. Kebanyakan pelancong berasa teruja untuk melihat keunikan bahasa dan budaya yang ada di sesebuah kawasan yang ingin dilawati. Buktinya, seorang Tiktoker popular di Perlis, Mohd Hafiz Md Yatim, memanfaatkan medium sosial berkenaan bagi mempromosikan destinasi menarik dan produk pelancongan yang terdapat di Perlis dengan menggunakan dialek negeri tersebut. Kandungan video yang dimuat naik mendapat perhatian masyarakat Malaysia sehingga semakin ramai yang mengunjungi Perlis untuk bercuti bersama-sama keluarga.

Kesimpulannya, dialek yang melambangkan identiti sesebuah masyarakat mampu menjadi medium penyampaian maklumat yang berkesan. Bukan itu sahaja, dialek juga membantu seseorang untuk mempromosikan barangan dan perkhidmatan dengan lebih berkesan kepada khalayak.

Dialek bukanlah bahasa basahan yang dipandang sebelah mata kerana penggunaan dialek telah membantu kerajaan menyampaikan maklumat yang berkesan kepada masyarakat, terutamanya bagi mereka yang tinggal di kawasan luar bandar sepanjang negara dilanda wabak pandemik COVID-19.

Diharapkan agar lebih banyak pihak dapat menggunakan dialek dalam usaha untuk menyampaikan sesuatu maklumat yang berkaitan dengan isu semasa agar penyampaiannya lebih difahami secara tepat dan berkesan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.