7 Ogos 2023, 19:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bank Islam Malaysia Berhad berjaya memenangi Piala Pusingan Gabenor Bank Negara Malaysia dalam Pertandingan Pidato Piala Gabenor Bank Negara Malaysia 2023, yang diadakan pada pukul 2.00 petang tadi di Auditorium Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia (BNM). Pertandingan ini merupakan kerjasama antara BNM dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Tajuk pidato “Kelestarian Kewangan Pemangkin Ekonomi MADANI” telah menobatkan Encik Muhammad Za’im Mohamad Yusoff dari Bank Islam Malaysia Berhad sebagai johan pertandingan tersebut. Beliau membawa pulang Piala Pusingan Piala Gabenor Bank Negara Malaysia, wang tunai RM10 000, piala iringan, sijil penyertaan dan buku terbitan DBP.

Tempat kedua pula dirangkul oleh Encik Mohamad Amirul Hafiz Mohamad Hassan dari MSIG Insurance, dengan tajuk pidato “Bahasa Kudrati Nusa Bangsa”. Beliau menerima hadiah wang tunai RM7000, piala iringan, sijil penyertaan dan buku terbitan DBP, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Puan Syafi’ah Na’imah Samsuddin dari Syarikat Takaful Malaysia, dengan tajuk pidato “Pendidikan Kewangan Lestari Kehidupan” yang membawa pulang hadiah wang tunai RM5000, piala iringan, sijil penyertaan dan buku terbitan DBP.

Lima orang pemenang hadiah sagu hati pula masing-masing menerima wang tunai RM500, sijil penyertaan dan buku terbitan DBP. Mereka terdiri daripada Encik Muhammad Amirul Haziq Anuar (Bank Simpanan Nasional), Encik Muhammad Ikhwan Abd Hamid (Citibank Malaysia), Encik Muhammad Ruzzaimei Azhar (Bank Simpanan Nasional), Encik Mohammed Faeizal Fareez Ab. Rahman (Bank Simpanan Nasional), dan Encik Amirul Hakmal Jalil (Bank Rakyat).

Sebanyak lapan orang pemidato berjaya ke peringkat akhir pertandingan Pidato Piala Gabenor yang berlangsung pada hari ini. Para juri pula terdiri daripada pegawai DBP, Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM) dan BNM.

Antara tetamu kehormat yang hadir pada majlis tersebut termasuklah Ketua Pengarah DBP, YBhg. Dr. Hazami Jahari  dan YBhg. Datuk Marzunisham Omar, Timbalan Gabenor BNM. Yang turut hadir ialah Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed (Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP), Tuan Haji Razali Che’ Mat (Pengarah Dasar dan Penyelidikan DBP, selaku panel hakim), para tetamu kehormat dan para jemputan serta penyokong pemidato masing-masing.

Terdahulu, peringkat saringan Pertandingan Pidato Piala Gabenor Bank Negara Malaysia telah berlangsung pada 2 Ogos 2023 lalu setelah tiga tahun direhatkan berikutan pandemik COVID-19. Sebanyak 60 orang peserta yang mewakili 24 institusi kewangan telah menyertai pertandingan ini yang turut dihadiri oleh penyokong masing-masing.

Pada tahun ini, segmen baharu telah diperkenalkan pada peringkat akhir yang memberikan peluang kepada para pemidato menyerlahkan bakat berpidato secara spontan. Pemidato juga bebas menentukan tajuk pidato berdasarkan lima (5) tema yang dipertandingkan, iaitu “Ekonomi Pasca-COVID-19”, “Pendigitalan Kewangan”, “Kelestarian Kewangan/Kewangan Hijau”, “Pendidikan Kewangan” dan “Memartabatkan Bahasa Kebangsaan dalam Sektor Kewangan.

Pertandingan Pidato Piala Gabenor Bank Negara Malaysia (Pidato Piala Gabenor) dianjurkan oleh BNM dan DBP sejak tahun 2009. Pertandingan ini merupakan satu daripada inisiatif untuk meningkatkan dan menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan dalam industri kewangan.

Penyertaan terbuka kepada semua kakitangan sektor perkhidmatan kewangan dan topik yang dipidatokan berkisar sekitar isu semasa dalam sektor kewangan yang bertujuan menyemarakkan penggunaan bahasa kebangsaan yang baik dan betul di sektor perbankan dan insurans.

Encik Mohamad Amirul Hafiz Mohamad Hassan dari MSIG Insurance, memenangi tempat kedua dengan tajuk pidato, “Bahasa Kudrati Nusa Bangsa”.
Tempat ketiga pula dimenangi oleh Puan Syafi’ah Na’imah Samsuddin dari Syarikat Takaful Malaysia.
Para peserta dan pemenang bergambar dengan tetamu kehormat.
Barisan panel hakim.
Para hadirin yang hadir memberikan sokongan dalam usaha memartabatkan bahasa kebangsaan.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.