7 Januari 2024, 12:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Johor – Manuskrip Melayu merupakan karya yang bertulis tangan dalam tulisan Jawi yang dihasilkan dalam lingkungan awal abad ke-16 hingga awal abad ke-20. Hingga kini, terdapat hampir 100,000 buah naskhah manuskrip Melayu di seluruh dunia. Biarpun jumlahnya besar, namun tidak banyak dalam kalangan generasi muda pada hari ini yang mengenali dan memahami akan ketinggian kearifan dan nilai estetika sesebuah manuskrip. Hal ini penting kepada generasi muda khususnya masyarakat Melayu supaya mereka turut bangga dengan ketinggian ilmu yang dimiliki oleh bangsanya.

Sehubungan dengan itu, sebanyak 63 orang pelajar Ijazah Sarjana Muda Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa bersama dengan pensyarah, iaitu Dr. Nurul Jamilah Rosly telah melakukan lawatan ke Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dalam usaha untuk mengenali dan meneliti manuskrip Alam Melayu lama yang masih tersimpan.

Antara objektif utama lawatan ini termasuklah untuk mendedahkan para pelajar dalam memahami jenis dan bentuk manuskrip yang ada serta memupuk minat pelajar untuk menghayati manuskrip Melayu.

Hampir 5,000 buah naskhah manuskrip Melayu yang masih tersimpan yang merangkumi pelbagai bidang perkara seperti kesusasteraan, sejarah, undang-undang, warkah, perubatan tradisional, syair dan nazam, kitab agama, ketatanegaraan, petua, azimat dan kitab ramalan.

Hampir kesemua manuskrip Melayu ini berusia 100 tahun dan masih kekal sempurna hingga hari ini hasil proses penjagaan dan pemuliharaan.

Kemudahan mengakses manuskrip secara dalam talian dan aplikasi yang disediakan juga merupakan kemudahan yang terbaik yang disediakan oleh PNM kepada para penyelidik yang berminat melakukan kajian terhadap manuskrip Alam Melayu.

Mahasiswa diberi peluang melihat pameran manuskrip Alam Melayu sebenar.
Mahasiswa UIAM diberi taklimat oleh Pegawai Pustakawan, PNM khususnya dalam kemudahan mengakses manuskrip Melayu.           
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.