Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKata tanya merupakan subgolongan kata tugas yang sangat unik. Hal ini dikatakan demikian kerana kata tanya dapat menjadi kata pengganti klausa dan frasa. Kata tanya dapat berada pada kedudukan yang sama dengan klausa keterangan, frasa nama atau frasa sendi nama dalam ayat tanya. Dalam bahasa Melayu, kata tanyanya ialah mengapa, kenapa, berapa dan bagaimana.
1. Kata Pengganti Klausa: mengapa/kenapa
Kata mengapa/kenapa merupakan kata pengganti klausa dalam ayat tanya kerana kedudukannya sama dengan klausa keterangan tak bebas (klausa keterangan musabab) dalam ayat tanya.
Ayat tanya
1a. Dia tidak hadir mengapa/kenapa?
1b. Dia tidak hadir kerana (dia) sakit?
Analisis ayat tanya:
Subjek: dia (ayat 1a dan 1b)
Predikat: tidak hadir (ayat 1a dan 1b)
Kata tanya: mengapa/kenapa (ayat 1a)
Klausa keterangan: kerana dia sakit (ayat 1b)
Kata tanya mengapa/kenapa dapat dikedepankan dengan partikel penegas -kah dalam ayat tanya songsang.
2a. Dia tidak hadir mengapa/kenapa?
2b. Mengapakah/Kenapakah dia tidak hadir?
2. Kata Pengganti klausa dan Frasa: bila
Kata bila merupakan kata pengganti klausa dan frasa dalam ayat tanya kerana kedudukannya sama dengan klausa keterangan tak bebas (klausa keterangan waktu), frasa keterangan waktu atau frasa nama dalam ayat tanya.
Ayat tanya 1
1a. Dia datang bila?
1b. Dia datang apabila (dia) ada masa lapang?
1c. Dia datang pada pagi ini?
1d. Dia datang pagi ini?
Analisis ayat 1:
Subjek: dia (ayat 1a, 1b, 1c dan 1d)
Predikat: datang (ayat 1a, 1b, 1c dan 1d)
Kata tanya: bila (ayat 1a)
Klausa keterangan waktu: apabila (dia) ada masa lepang (ayat 1b)
Frasa keterangan waktu: pada pagi ini (ayat 1c)
Frasa Nama: pagi ini (ayat 1d)
Ayat tanya 2
2a. Hari konvokesyen kita bila?
2b. Hari konvokesyen kita pada hari esok?
2c. Hari konvokesyen kita esok?
Analisis ayat 2:
Subjek: hari konvokesyen kita (ayat 2a, 2b dan 2c)
Kata tanya: bila (ayat 2a)
Frasa predikat: pada hari esok (frasa keterangan waktu) ayat 2b
esok (frasa nama) ayat 2c
Kata tanya bila dapat dikedepankan dengan partikel penegas -kah dalam ayat tanya songsang.
3a. Bilakah dia datang?
3b. Bilakah hari konvokesyen kita?
3. Kata Pengganti Klausa dan Frasa: bagaimana
Kata bagaimana merupakan kata pengganti klausa dan frasa dalam ayat tanya kerana kedudukannya sama dengan klausa keterangan tak bebas (klausa keterangan cara), frasa keterangan alat dan frasa adjektif dalam ayat tanya.
Ayat tanya 1
1a. Dia memotong tali itu bagaimana?
1b. Dia memotong tali itu dengan menggunakan pisau?
1c. Dia memotong tali itu dengan pisau?
Analisis ayat tanya 1:
Subjek: dia (ayat 1a, 1b dan 1c)
Predikat: memotong tali itu (ayat 1a, 1b dan 1c)
Kata tanya: bagaimana (ayat 1a)
Klausa keterangan cara (alat): dengan (dia) menggunakan pisau? (ayat 1b)
Frasa keterangan alat: dengan pisau (ayat 1c)
Ayat tanya 2
2a. Keadaannya bagaimana?
2b. Keadaannya semakin stabil?
Analisis ayat tanya 2:
Subjek: keadaannya (ayat 2a dan 2b)
Kata tanya: bagaimana (ayat 2a)
Frasa predikat: semakin stabil (frasa adjektif) ayat 2b
Kata tanya bagaimana dapat dikedepankan dengan partikel penegas -kah dalam ayat tanya songsang.
3a. Bagaimanakah dia memotong tali itu?
3b. Bagaimanakah keadaannya?
4. Kata Pengganti Frasa: berapa
Kata berapa merupakan kata pengganti frasa dalam ayat tanya kerana kedudukannya sama dengan frasa nama dalam ayat tanya.
Ayat tanya:
1a. Harganya berapa?
1b. Harganya sepuluh ringgit?
Analisis ayat tanya:
Subjek: harganya (ayat 1a dan 1b)
Kata tanya: berapa (ayat 1a)
Frasa predikat: sepuluh ringgit (frasa nama) ayat 1b
Kata tanya berapa dapat dikedepankan dengan partikel penegas -kah dalam ayat tanya songsang.
2a. Berapakah harganya?
5. Kata Tanya Praklausa Opsyenal: adakah
Satu hal yang menarik ialah terdapatnya kata tanya yang bersifat opsyenal dalam bahasa Melayu, iaitu kata adakah. Kata tanya adakah merupakan kata praklausa dan digunakan untuk mendapat kepastian tentang maklumat yang terkandung dalam ayat tanya tertutup.
1a. Dia guru?
1b. Adakah dia guru?
2a. Dia belajar?
2b. Adakah dia belajar?
3a. Dia pandai?
3b. Adakah dia pandai?
4a. Dia ke Taiping?
4b. Adakah dia ke Taiping?
Kata tanya berbeza daripada kata ganti nama tanya apa, siapa dan mana kerana kata ganti nama tanya dapat diganti secara sintagmatik dengan kata nama sahaja.