4 April 2024, 14:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tidak semua kanak-kanak mempunyai keupayaan semula jadi untuk menulis. Namun begitu, semua kanak-kanak berpotensi untuk menjadi penulis jika dibimbing menggunakan kaedah yang betul. Terdapat perbezaan keupayaan menulis yang ketara bagi kanak-kanak yang masih muda antara yang dibimbing dengan yang tidak dibimbing. Hal ini terjadi kerana guru dan ibu bapa lebih cenderung menggunakan pengukuhan luaran, seperti pujian berbanding dengan pemupukan rasa gembira dan keinginan dalaman ketika membimbing kanak-kanak menulis. Pemupukan tersebut penting untuk menghasilkan keseronokan dan rasa ingin tahu apabila menguasai kemahiran menulis.

Dahulu, kebanyakan buku kanak-kanak ditulis oleh orang dewasa kerana penulis perlu menguasai psikologi, dialog pengucapan, perlakuan watak atau perwatakan, dan laras bahasa kanak-kanak apabila menghasilkan karya. Kini, terdapat buku cerita berilustrasi yang ditulis oleh kanak-kanak. Contohnya, Layang-layang itu Menerbangkan Iman, Kerana Kasut Ajaib, Mahu Menjadi DoktorMari Berkasih SayangMisteri Adik yang Hilang dan Anak Kampung ke Istana Negara. Semua buku ini diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Buku setebal 32 halaman dengan ilustrasi yang sangat cantik ini ditulis oleh kanak-kanak yang berusia 12 tahun ke bawah.

Selain itu, buku yang bertajuk Aiman di Dunia Kenit pula merupakan antologi cerpen yang dihasilkan oleh kanak-kanak yang berumur antara sembilan tahun hingga 13 tahun menerusi program bengkel Minggu Penulis Kanak-kanak. Terdapat tujuh cerpen yang dihasilkan berdasarkan pengalaman dan imaginasi penulis tersebut sebagai kanak-kanak. Karya penulis cilik dalam bentuk buku cerita dan cerpen ini biasanya diterbitkan dalam majalah kanak-kanak. Kebanyakan buku tersebut dipasarkan di pelantar maya atau kedai buku.

Lazimnya, bakat menulis kanak-kanak pada zaman ini tidak setanding dengan bakat menulis generasi terdahulu. Kanak-kanak ini seolah-olah ketandusan idea dan kurang menguasai aspek penulisan, khususnya tatabahasa, organisasi struktur penulisan dan susunan kandungan. Ada kanak-kanak yang benar-benar mahu menulis, tidak kurang juga yang terpaksa. Antara penulisan kanak-kanak ini, ada penulisan yang tergolong dalam anekdot.

Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat (2005), anekdot bermaksud kisah yang ringkas dan biasanya agak lucu tentang sesuatu kejadian (peristiwa). Merujuk Kamus Dewan Perdana (2021) pula, anekdot ialah cerita pendek yang menarik atau lucu tentang sesuatu peristiwa benar atau pengalaman seseorang yang disampaikan sebagai hiburan dan pengajaran kepada pendengar atau pembaca.

Lazimnya, penulis yang cenderung untuk mencuba penulisan jenis anekdot ialah kelompok yang gemar menulis cerpen. Walaupun begitu, harus diingat bahawa anekdot sebenarnya lebih pendek berbanding dengan cerpen. Penulisannya juga lebih ringkas dan kurang puitis berbanding dengan cerpen. Dalam anekdot juga, dialog bukan kemestian. Kehadiran dialog hanya untuk menguatkan jalan cerita.

Antara aspek yang dapat membantu kanak-kanak menghasilkan anekdot termasuklah ilmu pengetahuan. Kanak-kanak perlu mengetahui tujuan dan proses penulisan, serta cara menjadi penulis anekdot yang berkesan. Proses menulis anekdot merangkumi langkah memulakan penulisan, membina cerita, mengembangkan cerita, memilih gaya bahasa dan bentuk penulisan (dialog atau naratif).

Kanak-kanak juga perlu mengetahui tema pilihan penulisan. Apabila temanya jelas, cerita yang dihasilkan lebih mudah difahami dan menarik perhatian sasaran pembaca yang biasanya ialah kanak-kanak. Antara tema yang berpotensi untuk ditulis termasuklah pengalaman menjalani sesuatu rawatan, hubungan kemesraan antara ahli keluarga, pengalaman pengembaraan dan percutian yang menarik, serta nilai murni sepanjang pengembaraan tersebut. Elemen emosi yang menarik dan pelbagai, seperti gembira, sedih dan marah, serta elemen yang mengejutkan dan kisah pelik perlu diselitkan supaya pembaca berasa seronok untuk meneruskan pembacaan.

Dalam usaha mengembangkan penulisan anekdot, biasanya kebanyakan penulis cilik tidak memberikan penerangan terperinci tentang setiap unsur dan tidak mengutamakan perincian latar masa, latar tempat dan perwatakan. Perkara yang difokuskan hanyalah tema atau persoalan asas sesuatu cerita yang biasanya dihasilkan berdasarkan pengalaman sendiri, kejadian sebenar atau bayangan perkara yang menjadi idea atau pemikiran seseorang.

Sama seperti penulis dewasa, penulis cilik anekdot juga perlu mematuhi format penulisan anekdot yang ditetapkan oleh penerbit, seperti jumlah kata yang biasanya antara 8000 hingga 10 000 kata. Dalam hal ini, tarikh penyerahan juga perlu dipatuhi. Penulis perlu menetapkan sasaran penulisan supaya dapat dihantar pada tarikh yang ditetapkan. Perkara yang paling penting dalam penulisan anekdot ini ialah inti atau mesej yang hendak disampaikan pada penghujung cerita, begitu juga kepuasan pembaca.

Bagi kanak-kanak yang berminat untuk menjadi penulis cilik anekdot, terdapat pelbagai panduan yang dapat digunakan. Langkah permulaan adalah dengan memupuk minat membaca. Semakin banyak kanak-kanak membaca, semakin banyak kosa kata yang diperoleh. Secara tidak langsung, hal ini membantu penguasaan bahasa.

Selain menghasilkan karya berdasarkan pengalaman hidup sendiri, penulis cilik juga boleh mendapatkan ide berdasarkan penceritaan orang lain. Dalam hal ini, penulis cilik perlu bijak menyusun idea dan menggunakan bahasa yang ringkas dan padat sehingga terhasil manuskrip yang berkualiti. Hal ini penting supaya bersesuaian dengan tingkah laku dan bahasa kanak-kanak dan bahasa orang di kelilingnya. Di samping itu, karya menjadi lebih menarik jika diselitkan unsur humor dan sindiran yang bersesuaian dengan tahap umur kanak-kanak.

Dari sudut watak, ada penulis cilik yang menggabungkan watak manusia dengan watak haiwan dan ada yang mengasingkannya. Secara keseluruhannya, tatatingkat penulisan penulis cilik meliputi enam aspek penting. Pertama, keterangan awal dan pemaparan umum sesuatu cerita. Kedua, penerangan dan penjelasan kronologi cerita. Ketiga, krisis dan masalah yang berlaku. Keempat, reaksi dan penyelesaian terhadap masalah yang berlaku. Kelima, perubahan suasana berdasarkan watak utama dan keadaan. Keenam, unsur pengajaran dan nilai murni.

Kesimpulannya, kemahiran penulisan anekdot dalam kalangan penulis cilik merupakan suatu yang patut dibina dan dikekalkan. Kemahiran yang dimiliki ini membolehkan penulis cilik berjaya memasuki dunia kreatif sejak kecil. Jika bakat ini digilap dengan cara yang betul, sudah tentu kanak-kanak ini bakal menjadi penulis yang berjaya. Pada masa yang sama, karya penulis cilik ini bukan sahaja sesuai dibaca oleh kanak-kanak, tetapi juga sangat sesuai dijadikan sebagai bahan kajian oleh pengkaji kesusasteraan kanak-kanak dan ahli psikologi kanak-kanak.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.