Oleh Kho Thong Eng
13 Mei 2024, 12:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kata nama ialah kata yang dapat menjadi inti frasa nama. Dalam hal ini, kata nama mungkin bersifat mufrad (singular) atau jamak (plural), bergantung pada bentuknya atau konteks penggunaannya dalam ayat. Konsep jamak melibatkan bilangan lebih daripada satu, dan hal ini berkaitan dengan kata nama konkrit dan kata nama abstrak berbilang.

Pada umumnya, kata nama konkrit dalam bahasa Melayu mungkin bersifat mufrad atau jamak, walaupun bentuknya tidak berubah. Sila lihat contoh yang berikut:

1a.  Dia ada rumah.

1b.  Rumah-rumahnya cantik.

 

Dalam ayat 1a, kata nama tunggal rumah mungkin bererti sebuah rumah atau lebih. Dalam ayat 1b, kata nama ganda penuh rumah-rumah menekankan bahawa rumah miliknya lebih daripada sebuah.

Selain bentuk ganda penuh, ada mekanisme lain untuk menggambarkan bahawa benda atau perkara berbilang yang diperkatakan lebih daripada satu. Jika terdapat kata kolektif di hadapan atau di belakang kata nama, hal ini bererti kata nama yang mengiringi kata kolektif bersifat jamak, meskipun kata kolektif itu mufrad. Sila lihat contoh yang berikut:

2a.  Ahli kesatuan pekerja itu mogok.

2b.  Persatuan guru itu bermesyuarat.

2c.  Senarai buku itu panjang.

2d.  Barisan/panel hakim itu berpengalaman.

2e.  Siri buku itu menjadi rebutan ramai.

2f.   Rombongan pelawat mendapat sambutan hangat.

2g.  Deretan kedai itu sudah usang.

2h.  Taburan bintang di langit indah dipandang.

3a.  Dia membeli setandan/sesikat pisang.

3b.  Ada segugus pulau di perairan itu.

3c.  Dia membeli seikat daun sirih.

 

Dalam ayat 2a, kata ahli yang berada di hadapan kata nama kolektif kesatuan sekerja bersifat jamak. Dalam ayat 2b – 2h, kata nama yang menyusuli kata nama kolektif persatuan, senarai, barisan/panel, siri, rombongan, deretan dan taburan bersifat jamak. Dalam kelompok ayat 3, kata nama yang menyusuli penjodoh bilangan kolektif setandan/sesikat, segugus dan seikat bersifat jamak.

 

4a.  Burung berterbangan di langit.

4b.  Daun berguguran dari pokok.

Dalam kelompok ayat 4, kata kerja berimbuhan beR-…-an menandakan sifat jamak pada kata nama burung dan daun yang mendahuluinya.

 

5a.  Rumah di sana cantik-cantik.

5b.  Keretanya mahal-mahal.

Dalam kelompok ayat 5, kata adjektif ganda cantik-cantik dan mahal-mahal menandakan bahawa kata nama rumah dan keretanya bersifat jamak.

 

6a.  Bunga di taman bunga itu cantik.

6b.  Pokok di hutan itu tinggi.

6c.  Rumah di taman perumahan itu mahal.

6d.  Ikan di kolam ikan itu besar.

 

7a.  Kedai buah itu besar,

7b.  Reban ayamnya bocor.

Dalam kelompok ayat 6, kata taman bunga, hutan, taman perumahan dan kolam ikan menandakan bahawa kata nama bunga, pokok, rumah dan ikan bersifat jamak. Dalam kelompok ayat 7, kata nama kedai dan reban menandakan bahawa buah dan ayam bersifat jamak.

Sifat jamak pada kata bilangan jamak sememangnya ketara. Sila lihat contoh yang berikut:

8a.  Tiga orang murid lulus dengan cemerlangnya.

8b.  Banyak baju dibelinya.

8c.  Sesetengah orang suka melancong.

8d.  Semua rakyat harus bersifat setia kepada negara.

8e.  Sebilangan pekerja kilang itu cuai.

8f.   Berpuluh-puluh orang penjenayah telah diberkas.

8g.  Kedua-dua orang adiknya lulus.

8h.  Masing-masing rumah di kampung itu ada bekalan elektrik.

Dalam kelompok ayat 8, kata bilangan tentu atau kardinal tiga, kata bilangan tak tentu banyak, sesetengah, semua dan, sebilangan, kata bilangan himpunan berpuluh-puluh dan kedua-dua, dan kata bilangan pisahan masing-masing menunjukkan bahawa kata nama yang mengikutinya bersifat jamak.

 

9a.  Budak-budak itu pandai.

9b.  Dia suka makan buah-buahan tempatan.

9c.  Jari-jemarinya panjang.

9d.  Pepohon itu berbuah.

9e.  Karya sastera berzaman-zaman dikumpulkannya.

9f.   Anak-beranak itu hidup miskin.

9g.  Dia menghidangkan lauk-pauk untuk tetamu.

9h.  Gunung-ganang itu tinggi.

9i.  Rempah-ratus menyedapkan masakan.

Dalam kelompok ayat 9, pelbagai jenis kata ganda yang menandakan maksud jamak. Dalam ayat 9a, terdapat kata ganda penuh budak-budak.  Pada ayat 9b, ada kata ganda penuh berakhiran buah-buahan.  Pada ayat 9c, ada kata ganda penuh bersisipan jari-jemari. Pada ayat 9d, 9e dan 9f, ada kata ganda separa pepohon, zaman-berzaman dan adik-beradik. Pada ayat 9g, ada kata ganda berentak pengulangan vokal lauk-pauk. Pada ayat 9h, ada kata ganda pengulangan konsonan gunung-ganang. Pada ayat 9i, ada kata ganda berentak bebas rempah-ratus.

 

10a.  Ibu bapa Ali hadir.

10b.  Bukit bukau di sana sudah ditarah.

10c.  Kerusi meja di dewan itu tersusun rapi.

Dalam kelompok ayat 10, terdapat frasa nama yang bersifat jamak kerana melihat dua pihak atau dua jenis benda, iaitu ibu bapa, bukit bukau dan kerusi meja.

 

11a.  Kakitangan syarikat itu rajin.

11b.  Staf sekolah itu cekap.

 

12a.  Bunga rampai menghiasi tempat majlis itu.

12b.  Sayur campur itu sedap dimakan.

 

13a.  Jalan raya di sana simpang-siur.

13b.  Murid di sekolah itu saling membantu.

13c.  Penduduk kampung itu bergotong-royong/bekerjasama.

13d.  Askar berkawad kaki di padang.

13e.  Peserta berbaris panjang.

13f.   Bukunya tersusun rapi.

13g.  Tetamu bergaul mesra.

13h.  Budak yang nakal bergaduh.

13i.   Bajunya berlonggok.

13j.   Sampah bertimbun.

13k.  Pengunjung membanjiri tempat pameran.

13l.   Penyakit bertimpa-timpa menyerangnya.

13m.  Pemanjat batu jatuh bertindih.

13n.   Adiknya makan sehidangan.

Dalam kelompok ayat 12, terdapat kata nama yang sedia bermaksud jamak, iaitu kakitangan dan staf. Dalam kelompok ayat 13, kata rampai dan campur menandakan bahawa bunga dan sayur bersifat jamak. Dalam kelompok ayat 14, kata simpang-siur, saling membantu, bergotong-royong, bekerjasama, berkawad kaki, berbaris, tersusun, bergaul, bergaduh, berlonggok, bertimbun, membanjiri, bertimpa-timpa, bertindih dan makan sehidangan menandakan bahawa jalan raya, murid sekolah itu, penduduk kampung itu, askar, peserta, bukunya, tetamu, budak yang nakal, bajunya, sampah, pengunjung, penyakit, pemanjat batu dan adiknya bersifat jamak.

 

15a.  Kita/kami harus bersedia.

15b.  Mereka akan menyerang kubu itu.

15c.  Kalian tidak harus berdegil.

Dalam kelompok ayat 15, terdapat kata ganti nama diri yang sedia bermaksud jamak, iaitu kita, kami, mereka dan kalian (bahasa percakapan untuk kamu semua)

Satu hal yang menarik ialah sesetengah kata pinjaman daripada bahasa Inggeris sedia bersifat jamak. Sila lihat contoh yang berikut:

Kata BI Jamak Kata BI Mufrad Kata Pinjaman dalam BM

(mufrad/jamak)

bacteria bacterium bakteria
data datum data
phenomena phenomenon fenomena

 

Ada kalanya kata adverba juga menandakan maksud jamak. Sila lihat contoh yang berikut:

  1.  Peserta membuat tugasan masing-masing.

Dalam ayat 16, kata adverba masing-masing menunjukkan bahawa peserta yang membuat tugasan bersifat jamak.

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.