Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangMalaysia sebuah negara yang mempunyai banyak tempat unik yang namanya dikaitkan dengan konsep Matematik. Satu daripada konsep asas Matematik ialah “besar” dan “kecil’ yang merupakan dua istilah yang melibatkan konsep perbandingan. Sebagai contoh, Pontian yang terbahagi kepada Pontian Besar dan Pontian Kecil merupakan satu daripada daerah di negeri Johor. Yang menariknya, pusat bandar terletak di Pontian Kecil, manakala Pontian Besar terletak di kawasan perkampungan nelayan yang menghadap Selat Melaka.
Satu lagi tempat yang menggunakan konsep Matematik yang sama ialah Sedili Besar dan Sedili Kecil yang terletak di Pekan Tanjung Sedili di daerah Kota Tinggi. Banyak juga tempat di Malaysia yang menggunakan konsep “kuala” dan “hulu” yang merupakan antara konsep Matematik bagi menggambarkan kedudukan sesuatu lokasi walaupun pada hakikatnya lebih menjurus kepada konsep topografi.
Kuala merujuk muara sungai, iaitu sungai bertemu dengan laut atau tasik, manakala hulu ialah bahagian teratas atau sumber sebuah sungai. Oleh itu, terdapat perbezaan utama antara kedua-dua bahagian, iaitu hulu ialah tempat sungai bermula, manakala kuala ialah tempat sungai bertemu dengan air laut atau tasik. Antara tempat di Malaysia yang menggunakan konsep Matematik tersebut termasuklah Hulu Langat dan Kuala Langat, Hulu Selangor dan Kuala Selangor dan Kuala Terengganu dan Hulu Terengganu.
Ibu negara Malaysia, iaitu Kuala Lumpur mendapat namanya berikutan pertemuan Sungai Gombak dan Sungai Klang, yang dahulunya dikatakan terdapat banyak lumpur. “Kiri” dan “kanan” merujuk arah atau posisi relatif terhadap objek atau titik rujukan dalam konteks umum. Apabila seseorang menghadap ke hadapan, kiri biasanya ialah arah sebelah sisi tangan kiri, manakala kanan ialah arah sebelah sisi tangan kanan. Perbezaan ini relatif dan bergantung kepada siapa yang melihatnya.
Di Malaysia, antara tempat yang menggunakan konsep Matematik tersebut termasuklah Bota Kiri dan Bota Kanan yang terletak di negeri Perak. Nama “kiri” dan “kanan” di Bota diletakkan untuk membezakan kawasan yang dipisahkan oleh Sungai Perak. Jika kita berdiri di darat di sebelah tebing sungai Perak di Bota, nama kiri dan kanan diberikan mengikut aliran sungai. Begitu juga dengan Skudai Kiri dan Skudai Kanan yang pengunjung dapat lihat sekiranya melalui Jalan Skudai di Johor Bahru, iaitu kedudukan kiri dan kanan digunakan bagi membezakan kawasan yang dibahagikan oleh jalan tersebut.
Tanjung ialah bahagian daratan yang menjorok ke dalam air, biasanya di antara dua bahagian air seperti laut atau sungai. Selain itu, tanjung juga merujuk tanah yang menjorok ke dalam air seperti penonjolan. Sering kali istilah ini digunakan untuk merujuk jurang atau kawasan semula jadi di pantai. Antara kawasan di Malaysia yang menggunakan istilah Matematik berkenaan ialah Tanjung Karang di Selangor, dan Tanjong Malim di Perak.
Tanjung Karang merupakan kawasan jelapang padi kedua terbesar di Malaysia, selepas Kedah dan namanya dikaitkan dengan Sungai Tengi yang membahagikan pekan Tanjung Karang. Sementara itu, Tanjong Malim berada di sebelah utara Sungai Bernam. Tanjung Piai di Johor pula merupakan penghujung selatan daratan Asia, atau lebih tepat, benua Eurasia.
Utara, selatan, barat, dan timur ialah arah kardinal atau mata angin yang menentukan orientasi geografi atau kompas pada muka bumi. Utara merujuk arah ke Kutub Utara, selatan merujuk arah ke Kutub Selatan, barat merujuk arah matahari terbenam, dan timur merujuk arah matahari terbit.
Malaysia turut terbahagi kepada Malaysia Barat yang merujuk Semenanjung Malaysia, dan Malaysia Timur merujuk negeri Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan. Semenanjung Malaysia terbahagi kepada beberapa bahagian, iaitu Pantai Timur yang terdiri daripada Kelantan, Terengganu dan Pahang. Pantai Selatan ialah Johor, serta Pantai Barat yang meliputi kawasan utara, tengah dan selatan membentuk pantai barat Semenanjung Malaysia. Pantai Barat ini pula kemudiannya dibahagikan mengikut zon.
Zon Utara terdiri daripada Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak. Zon Tengah pula terdiri daripada Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, manakala Zon Selatan terdiri daripada Negeri Sembilan dan Melaka. Konsep Matematik “mata angin” ini juga biasanya turut dijumpai di Tanah Rancangan Felda. Misalnya, Felda Bukit Rokan Barat dan Felda Bukit Rokan Utara di Negeri Sembilan dan Felda Bukit Aping Barat dan Felda Bukit Aping Timur di Johor.
Susunan nombor juga sering digunakan dalam nama kawasan Felda. Misalnya, Felda Projek Mempaga 01, Felda Projek Mempaga 02 dan Felda Projek Mempaga 03 di negeri Pahang; Felda Jengka 1 hingga Felda Jengka 25 di negeri Pahang dan Felda Sahabat 1 hingga Felda Sahabat 5 di negeri Sabah.
Kota Tinggi merupakan satu daripada daerah yang terletak di negeri Johor. Berdasarkan sejarah, nama Kota Tinggi diberi berikutan kedudukannya yang lebih tinggi daripada aras sungai. Sebaliknya, Serendah, iaitu pekan kecil yang terletak di Selangor memperoleh namanya berikutan kawasan tersebut sering dibanjiri air selepas hujan lebat kerana paras tanah yang rendah.
Oleh itu, penduduk tempatan menamakannya, Serendah bersempena dengan menggunakan singkatan “rendah”. Slim River merupakan pekan kecil yang terletak di daerah Muallim, Perak. Nama Slim River berasal daripada perkataan Inggeris, yang bermaksud “sungai sempit”. Hal ini berdasarkan fakta bahawa British telah menamakan kawasan ini pada masa lalu kerana keadaan sungai di kawasan ini yang sempit.
Kampung Simpang Tiga yang terletak di Nibong Tebal, Pulau Pinang pula mendapat namanya daripada pertemuan tiga simpang, iaitu jalan utama yang menghubungkan Butterworth ke Ipoh, dan Simpang yang menghubungkannya ke Sungai Acheh.
Sungai Dua juga terletak di Pulau Pinang dan dinamakan sebegitu kerana terletak di antara dua batang sungai. Konsep Matematik “tunggal” yang merujuk satu atau bersifat satu berkemungkinan berkait dengan Mukim Durian Tunggal terletak di Daerah Alor Gajah, Melaka. Begitu juga halnya dengan nama tempat Bukit Tunggal yang terletak di Terengganu, yang namanya berasal daripada fakta, iaitu satu-satunya gunung atau bukit di kawasan ini.
Rantau Panjang di Kelantan pula terletak di sempadan Malaysia dan Thailand. Nama Rantau Panjang dikatakan berasal daripada barisan rumah panjang yang dibina semasa pembinaan kereta api di Kelantan. Ini kerana rumah yang dibina pada masa itu sangat panjang. Maka itu, tempat itu dipanggil Rantau Panjang, dan nama itu kekal digunakan hingga kini.
Sebuah lagi pekan yang terletak di sempadan Malaysia dan Perlis yang turut menggunakan istilah Matematik ialah Padang Besar, yang terletak di negeri Perlis. Pekan Simpang Empat juga terletak di negeri Perlis. Nama Simpang Empat berasal daripada silang parit yang menghubungkan Sungai Sanglang, Kampung Sanglang, Kedah, ke Sungai Perlis dan Sungai Arau, yang mengalir ke Kuala Sungai Baru.
Nama Batu Anam yang terletak di Segamat, Johor pula berasal dari lokasinya yang terletak enam batu di sebelah utara Negeri Sembilan. Selain itu, satu-satunya negeri di Malaysia yang melibatkan angka ialah Negeri Sembilan. Nama Negeri Sembilan dipercayai berasal daripada sembilan kawasan di negeri tersebut yang dipanggil “luak”.
Natijahnya, pengaruh Matematik dan topografi memainkan peranan dalam menentukan nama sesebuah tempat di Malaysia. Antaranya termasuklah konsep asas Matematik seperti turutan nombor, perbandingan besar, kecil, tinggi dan rendah, bilangan, mata angin, iaitu utara, selatan, timur dan barat dan topografi. Topografi sememangnya melibatkan konsep Matematik seperti bentuk dan ciri-ciri permukaan bumi, termasuklah daratan, bukit, lembah, sungai, dan sebagainya.
Prof. Madya Dr. Abdul Halim Abdullah dari Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia.