Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPagoh – Kerjasama yang berterusan dalam bidang bahasa terus berkembang di Malaysia dan pada kali ini melalui kerjasama antara Jabatan Bahasa Melayu, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Pagoh dengan Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan, Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.
Program Jelajah Bahasa (Zon Selatan) yang berlangsung selama dua hari yang bermula dari 15 Mei 2024 hingga 16 Mei 2024 merupakan langkah proaktif dalam meningkatkan kemahiran berbahasa Melayu dalam kalangan murid.
Menurut YBrs. Dr. Nurul Jamilah Rosly, iaitu Ketua Jabatan Bahasa Melayu, UIAM Kampus Pagoh, komitmen Jabatan Bahasa Melayu untuk meningkatkan taraf bahasa Melayu dalam kalangan murid di lima buah sekolah rendah sekitar Pagoh adalah sebagai langkah untuk memastikan kelestarian dan keunggulan bahasa kebangsaan.
Sementara itu, YBrs. Dr. Ezaleena Mohd Khalid, iaitu Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan, (USM), Pulau Pinang turut menyokong langkah ini sebagai satu platform untuk mewujudkan sinergi antara kedua-dua institusi dalam bidang pengajian bahasa.
Dengan mengintegrasikan pembelajaran bahasa, permainan bahasa, aktiviti berasaskan projek, dan penggunaan digitalisasi yang interaktif, pelajar akan dapat mempelajari bahasa Melayu secara menyeluruh sambil menikmati proses pembelajaran yang lebih bermakna dan dinamik.