Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangLabuan – Majlis Pelancaran Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) dan Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) 2024 Peringkat Wilayah Persekutuan (WP) Labuan telah diadakan di Pentas Anggerik, Ujana Kewangan dan disempurnakan oleh YBrs. Tuan Haji Rithuan Haji Mohd Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, semalam.
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai badan yang membina dan mengembangkan bahasa dan sastera kebangsaan memainkan peranan dalam menyebarluaskan serta memartabatkan bahasa kebangsaan menerusi Gerakan DBK dan memalarsegarkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat melalui program DMK.
Pengarah DBP Cawangan Sabah, YBrs. Puan Aminah Awang Basar dalam ucapan alu-aluan menyatakan bahawa pada tahun ini, terdapat 12 program yang telah dirancang yang melibatkan pelbagai khalayak masyarakat di WP Labuan.
Beliau turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada Perbadanan Labuan, Ujana Kewangan, dan pelbagai pihak yang telah banyak membantu dalam pelaksanaan program anjuran DBP di WP Labuan sejak dahulu lagi.
Antara program tersebut termasuklah Senam Tari, Pertandingan Mewarna, Pertandingan Pemuzik Jalanan, Bersahabat dengan Kamus, Jom Baca 10 Minit, Aroma Meja Bulat, Pertandingan Video Pendek Tiktok, Pertandingan Sudut Bacaan Persendirian dan Pertandingan Baca Naskhah Melayu Klasik.
Majlis Penutupan DBK dan DMK pula akan diadakan pada bulan November 2024 di lokasi yang sama.
Dalam majlis ini, Wakaf Buku turut disampaikan kepada Sekolah Kebangsaan Pekan Satu dan Sekolah Kebangsaan Lubuk Temiang, serta penyampaian hadiah kepada pemenang Pertandingan Jaguh Jawi. Majlis ini diakhiri dengan program Jom Baca 10 Minit.