21 Mei 2024, 14:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Semua orang menyedari bahawa semua bahasa di dunia ini, terutama sekali bahasa pertama diperoleh secara semula jadi oleh semua manusia. Kemahiran berbahasa yang pertama sekali akan diperoleh oleh seseorang manusia itu ialah kemahiran mendengar dan bertutur. Kedua-dua kemahiran ini diperoleh secara semula jadi tanpa memerlukan proses pengajaran dan pembelajaran yang formal.

Namun begitu, hal ini berbeza daripada kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) yang memerlukan proses pengajaran dan pembelajaran sama ada secara formal atau tidak formal. Bayi, kanak-kanak atau orang dewasa tidak akan memperoleh kemahiran 3M itu secara semula jadi. Situasi inilah yang menyebabkan kita dapat melihat seseorang itu mampu bertutur bahasa Melayu dengan fasih, namun mereka tidak boleh membaca atau menulis.

Kemahiran membaca merupakan kemahiran yang sangat penting yang perlu ada dalam diri seseorang manusia. Kemahiran membaca ini sangat diperlukan oleh seseorang itu kerana membaca merupakan satu daripada cara untuk memperoleh ilmu pengetahuan. Jika mereka tidak mempunyai kemahiran membaca, mereka sukar untuk mendapatkan ilmu-ilmu tersebut kerana kebanyakan ilmu tersebut sudah dibukukan.

Dalam konteks negara Malaysia, pendidikan asas di Malaysia menitikberatkan tiga kemahiran yang utama, iaitu 3M. Seseorang pelajar mestilah mempunyai tiga kemahiran asas tersebut sejak sekolah rendah lagi. Namun begitu, masih terdapat banyak pelajar yang tidak menguasai tiga kemahiran asas tersebut, terutama sekali kemahiran membaca dan menulis.

Kemahiran membaca dan menulis merupakan dua kemahiran yang sangat berkait rapat antara satu sama lain. Secara logiknya, seseorang yang mempunyai kemahiran membaca akan mempunyai kemahiran menulis. Sebaliknya, jika seseorang itu tidak menguasai kemahiran membaca, sudah pastilah dia juga tidak akan menguasai kemahiran menulis.

Terdapat banyak pelajar yang tidak boleh membaca bahasa Melayu dengan fasih walaupun bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan bagi negara Malaysia. Situasi ini amat membimbangkan kerana isu ini merupakan isu yang berterusan disebabkan pada setiap tahun akan ada pertambahan bilangan kelahiran kanak-kanak.

Semua orang sedar bahawa setiap pelajar mempunyai keupayaan kognitif yang berbeza-beza. Bagi para pelajar yang mempunyai kemahiran menghafal yang baik, mereka mudah menguasai kemahiran membaca dengan menggunakan kaedah bacaan yang bersifat hafalan kerana otak mereka mampu menghafal sebutan dan suku kata yang terdapat dalam perkataan. Namun begitu, bagi pelajar-pelajar yang lemah, mereka sukar untuk menguasai kemahiran membaca kerana tidak boleh menghafal dan mudah lupa.

Justeru itu, masalah buta huruf atau lambat membaca ini merupakan isu yang penting dan wajar dibincangkan. Dalam konteks penulisan ini, penulis ingin mengaitkan serba sedikit isu buta huruf ini dengan bidang fonologi bahasa Melayu.

Fonologi merupakan bidang yang mengkaji bunyi bahasa manusia. Setiap bahasa di dunia ini mempunyai bunyi (kecuali bahasa isyarat) yang dihasilkan menggunakan alat-alat artikulasi dari paru-paru hingga ke rongga mulut dan rongga hidung.

Kesemua alat artikulasi yang berada di sepanjang ruang dari paru-paru hingga rongga mulut dan rongga hidung memainkan peranan yang sangat penting dalam menghasilkan bunyi bahasa manusia. Bunyi bahasa yang dihasilkan tersebut merupakan bunyi yang bermakna kerana sesuatu bunyi bahasa itu dapat difahami oleh penutur bahasa atau masyarakat bahasa yang menuturkan bahasa tersebut.

Dalam konteks bahasa Melayu, kajian terhadap bidang fonologi bahasa Melayu ini sangat luas, bermula daripada cara penghasilan sesuatu fonem bahasa Melayu itu sehinggalah kajian yang melibatkan proses fonologi yang berlaku semasa menuturkan bahasa Melayu standard (Johor–Riau) dan dialek-dialek Melayu, kajian terhadap kepelbagaian bunyi yang terdapat dalam dialek-dialek Melayu, kajian terhadap keunikan bunyi lagu-lagu Melayu tradisional dan moden, sehinggalah kajian yang melibatkan kemahiran membaca.

Semua kajian tersebut merupakan kajian-kajian yang menjadikan bidang fonologi sebagai teras dalam merungkai permasalahan yang wujud dalam kajian-kajian tersebut.

Bidang fonologi bahasa Melayu sangat berkait rapat dengan kemahiran membaca bahasa Melayu kerana kemahiran membaca melibatkan penghasilan bunyi bahasa. Semasa seseorang itu membaca secara kuat, mereka akan membunyikan setiap perkataan dengan kuat. Sebelum sesuatu perkataan itu dapat dibunyikan, seseorang itu juga akan membunyikan huruf atau dalam konteks fonologi disebut sebagai “fonem” semasa proses pengejaan suku kata.

Selain itu, suku kata juga merupakan satu daripada elemen yang dibincangkan dalam bidang fonologi. Bidang fonologi generatif autosegmental merupakan antara satu cabang bidang fonologi yang menyentuh aspek suku kata ini. Hal ini menunjukkan hubungan yang sangat rapat antara kemahiran membaca bahasa Melayu dengan bidang fonologi bahasa Melayu.

Di samping itu, apabila seseorang itu menguasai bidang fonologi bahasa Melayu, mereka akan mudah untuk mengatasi masalah buta huruf atau lambat membaca. Hal ini disebabkan seseorang yang menguasai fonologi bahasa Melayu akan dapat mengesan sama ada seseorang itu membunyikan fonem (huruf) mengikut sifat bunyi fonem itu dengan betul atau tidak.

Dari sudut bunyi fonem, sesuatu fonem itu mestilah mengikut bunyi fonem sebenar seperti yang terdapat dalam International Phonetics Alphabets (IPA). Oleh itu, bunyi IPA merupakan rujukan utama semasa menentukan bunyi fonem yang betul dalam sesuatu kaedah bacaan itu.

Justifikasi penggunaan IPA sebagai rujukan utama kerana bunyi fonem yang terdapat dalam senarai IPA merupakan bunyi yang bersifat sejagat. Bunyi fonem tidak sama dengan bunyi huruf (ABC) kerana bunyi huruf hanyalah bunyi yang dicipta oleh manusia bagi melambangkan bentuk grafik huruf-huruf (ABC) yang diajarkan kepada pelajar.

Sementara iru, bunyi fonem pula ialah bunyi semula jadi pertuturan manusia yang melibatkan aspek penghasilan bunyi fonem daripada alat-alat artikulasi dari paru-paru hingga rongga mulut dan hidung.

Selain itu, seseorang yang menguasai bidang fonologi bahasa Melayu juga akan dapat mengesan sama ada seseorang itu mengeja suku kata bahasa Melayu dengan tepat atau tidak mengikut empat bentuk asas suku kata bahasa Melayu (V, KV, VK, KVK) dan dapat mengesan sama ada proses pengejaan suku kata selari atau tidak selari dengan proses pembatangan (pembunyian suku kata), iaitu selepas ketika bunyi suku kata atau perkataan itu diujarkan.

Hal ini disebabkan dalam bidang fonologi bahasa Melayu, kita dapat memaparkan suku kata bahasa Melayu dalam bentuk rajah pohon yang lebih jelas dan dapat memastikan urutan yang betul semasa proses pengejaan dan pembunyian suku kata bahasa Melayu. Bagi melihat proses pengejaan dan pembunyian suku kata bahasa Melayu tersebut dengan lebih jelas, pembaca boleh merujuk hasil penulisan penulis dalam majalah Pelita Bahasa terbitan bulan November 2023 yang bertajuk “Teknik Pengejaan 3D1B”.

Justeru itu, kesemua kemahiran dan ilmu fonologi yang dinyatakan sebelum ini akan dapat membantu masalah buta huruf kerana mereka yang menguasai bidang fonologi bahasa Melayu ini akan dapat mengesan kelebihan dan kekurangan sesuatu kaedah bacaan itu dan sekali gus cuba menerapkan kaedah membaca yang lebih mudah dipelajari dan diujarkan oleh seseorang itu.

Oleh itu, masalah buta huruf dan perkaitannya dengan bidang fonologi bahasa Melayu ini merupakan isu yang perlu diambil berat oleh masyarakat, terutama sekali ahli bahasa, guru-guru dan juga ibu bapa. Semua pihak perlu memainkan peranan mereka dan tidak perlu menyalahkan mana-mana pihak.

Pihak kerajaan juga perlu terus menyemarakkan program meningkatkan kemahiran membaca ini. Ahli-ahli bahasa dan mereka yang mempunyai kepakaran dalam bidang bahasa dan teknologi perlu terus mencari jalan penyelesaian yang terbaik, selain guru-guru perlu terus mengajar pelajar-pelajarnya tanpa rasa penat dan jemu. Ibu bapa pula perlu terus menyokong dan membantu anak-anak mereka untuk menguasai kemahiran membaca bahasa Melayu.

Apabila semua pihak memainkan peranan masing-masing dan bergerak seiringan, maka dengan izin Allah isu buta huruf ini akan menemui titik noktahnya pada masa hadapan seiring dengan kemajuan negara Malaysia yang akan mencapai status negara maju kelak.

 

 

Dr. Mohamad Rozi Kasim, Pensyarah Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.