1 Julai 2024, 09:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Komunikasi dalam kalangan pesakit yang mengalami masalah kesihatan kronik amat penting, serta sentiasa mendapat perhatian dan perbincangan umum. Untuk berkomunikasi secara lisan dengan baiknya, satu daripada caranya adalah dengan menggunakan bahasa yang tepat.

Selain itu, melalui bahasa yang digunakan, keadaan pesakit kronik pada ketika itu, terutamanya pesakit yang memerlukan penjagaan dan sokongan moral daripada individu lain dapat dikenal pasti.

Pada masa yang sama, individu yang sihat memerlukan pengetahuan tentang tahap keadaan pesakit kronik untuk membantunya memilih tindak balas yang bersesuaian dengan keadaan pesakit tersebut.

Komunikasi antara pesakit kronik dengan individu di kelilingnya ialah elemen penting untuk mengetahui tahap kesihatan pesakit kronik, seterusnya membolehkan pesakit mendapat kepuasan yang optimum terhadap tindak balas yang diterimanya.

Dalam proses pemulihan fizikal, mental dan psikologi pesakit kronik, elemen etiket bahasa digunakan mengikut kesesuaian situasi dan peraturan sosial masyarakat. Komunikasi yang lemah dan tidak berkesan dapat menyebabkan pelbagai kesan negatif terhadap pesakit kronik. Contohnya, wujud perasaan tidak puas hati, bimbang, takut dan kecewa secara berpanjangan.

Selain penggunaan kata yang bersesuaian, segala maklumat tentang pesakit kronik amat diperlukan dalam usaha memberikan sokongan moral yang berkesan mengikut keadaan. Kebanyakan komunikasi yang berlaku bukan sahaja membantu penjaga pesakit kronik, malah membantu pesakit kronik itu sendiri secara tidak langsung.

Hal ini dapat membantu proses pemulihan fizikal, mental dan psikologi pesakit kronik. Hal ini juga dikatakan demikian kerana tindak balas bahasa yang bersesuaian sedikit banyak dapat membantu menyembuhkan emosi pesakit kronik.

Bagi membantu pesakit kronik berjuang melawan penyakitnya, tatatingkat bahasa komunikasi lisan pesakit dan tindak balas bahasa yang perlu diujarkan perlu diketahui. Tatatingkat tersebut terdiri daripada penafian, perasaan cemas, kemurungan, kemarahan, tawar menawar dan penerimaan takdir.

Dalam tatatingkat penafian, pesakit tidak menerima kenyataan bahawa dirinya mengalami penyakit kronik. Pesakit berada pada tahap kurang celik akalnya dan kesedaran diri terhadap sakitnya kerap disangkal, selain berasa sihat seperti sebelumnya. Hal ini menyebabkan pesakit menafikan fakta bahawa dirinya mengalami sakit kronik dan cuba meyakinkan orang di sekeliling yang tidak terkesan.

Contoh komunikasi penafian pesakit kronik dengan orang yang ingin membantunya adalah seperti yang berikut:

Ayat pesakit: “Tak ada apa-apa, saya sihat sahaja.”

Ayat tindak balas: “Tak apa. Makan sahaja ubat dan teruskan rawatan. Sihat awak akan berpanjangan.”

Bagi tatatingkat perasaan cemas, pesakit kronik kadangkala menggunakan bahasa secara langsung atau metafora untuk menggambarkan perasaannya pada ketika itu. Hal ini dikatakan demikian kerana emosinya tidak stabil. Pesakit akan berasa gelisah, bimbang, takut dan risau. Pada ketika ini, pesakit juga mengalami simptom susah tidur kerana memikirkan waktu kematian yang makin dekat. Pesakit juga mula membandingkan takdirnya dengan orang lain atau beranggapan bahawa kesakitan yang dialami ialah balasan bagi perbuatannya sebelum ini.

Contoh komunikasi penafian pesakit kronik dengan orang yang ingin membantunya adalah seperti yang berikut:

Ayat pesakit: “Mengapakah saya yang mendapat penyakit ini?”

Ayat tindak balas: “Saya nampak encik bimbang. Encik boleh tarik nafas dan cuba tenangkan diri. Kemudian, encik boleh ceritakan apa-apa yang encik rasai satu per satu.”

Tatatingkat ketiga, iaitu kemurungan kerap berlaku dalam kalangan pesakit. Biasanya, simptom kemurungan ialah tindak balas semula jadi atau kesan langsung terhadap suatu penyakit kronik yang dapat mengancam nyawanya. Pesakit kerap sedih, mudah putus asa, pesimis, kecewa, tidak bersemangat, berasa dirinya gagal, mengasingkan diri, rendah diri, rasa diri tidak berguna, rasa terancam, dan mahu diri dikasihani.

Contoh komunikasi penafian pesakit kronik dengan orang yang ingin membantunya adalah seperti yang berikut:

Ayat pesakit: “Saya ni tidak sihat seperti orang lain.”

Ayat tindak balas: “Saya tahu cik sedih, tetapi cuba cik tengok kejadian atau perkara positif yang cik ada sekarang.”

Seterusnya, dalam tatatingkat tahap marah, apabila gejala kesakitan makin meningkat, pesakit kronik mula menzahirkan rasa marah terhadap diri sendiri dan penjaganya. Pesakit ini cuba melepaskan kesakitan dengan cara menzahirkan rasa marah terhadap diri sendiri dan orang yang berada berdekatan dengannya. Peralihan emosi melalui bahasa ini kadangkala tidak seperti keadaan sebenar yang terjadi dan kadangkala memberikan kesan emosi kepada penjaga.

Contoh komunikasi penafian pesakit kronik dengan orang yang ingin membantunya adalah seperti yang berikut:

Ayat pesakit: “Saya nak buat benda tu tapi dia (penjaga) tidak tolong.”

Ayat tindak balas: “Minta maaf, saya nampak encik marah. Apakah yang saya boleh bantu encik?”

Tatatingkat yang berikutnya, iaitu situasi tawar menawar ialah suatu bentuk komunikasi supaya pesakit menuruti atau mematuhi apa-apa yang dimaklumi kepadanya. Pada tahap ini, pesakit telah mencuba pelbagai jenis cara rawatan supaya sembuh. Pesakit sebenarnya memerlukan maklumat dan penerangan yang menyebabkan dirinya perlu memakan ubat dan meneruskan prosedur rawatan.

Contoh komunikasi penafian pesakit kronik dengan orang yang ingin membantunya adalah seperti yang berikut:

Ayat pesakit: “Saya telah makan pelbagai ubat. Saya makan ubat yang diberi oleh doktor. Saya juga makan ubat lain yang orang kata baik. Saya nak sembuh.”

Ayat tindak balas: “Saya faham puan sudah mencuba semua cara. Namun begitu, saya tidak menyokong ubat yang tiada pengiktirafan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).”

Tatatingkat terakhir ialah penerimaan takdir. Walaupun proses rawatan agak meletihkan, pesakit kronik yang ingin sembuh tidak pernah kenal erti putus asa. Pada masa ini, pesakit kronik mula menerima takdir bahawa penyakit tersebut berada di dalam badannya. Ayat yang memberikan semangat dan menghargai usaha pesakit amat diperlukan supaya pesakit terus mengumpul tenaga atau semangat untuk meneruskan perjuangan hidupnya.

Contoh komunikasi penafian pesakit kronik dengan orang yang ingin membantunya adalah seperti yang berikut:

Ayat pesakit: “Saya sedar saya sakit. Saya sudah buat seperti yang doktor sarankan.”

Ayat tindak balas: “Tahniah puan. Puan sudah buat yang terbaik.”

Secara kesimpulannya, penulisan ini dapat memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan untuk menggunakan bahasa yang tepat ketika berkomunikasi dengan pesakit kronik.

Komunikasi berkesan ini mampu meningkatkan kualiti rawatan dan kualiti hidup pesakit kronik, serta membantu proses penyembuhan. Namun begitu, tidak dapat dinafikan bahawa kadangkala, tahap penerimaan pesakit kronik berbeza-beza. Oleh itu, perlu ada kesedaran dan pemahaman yang mendalam terlebih dahulu untuk meningkatkan peratus kejayaan rawatan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.