Oleh Noorilham Ismail
4 Julai 2024, 13:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tulisan Jawi yang terbentuk daripada abjad-abjad yang berdasarkan huruf Arab boleh diibaratkan seperti sumbu buat menyalakan pelita bahasa Melayu di bumi Johor pada suatu masa dahulu. Nyalaan manfaat dan hikmahnya menjadikan suasana terang-benderang di sepanjang muara sungai sejarah Johor yang mengalir dengan mengikuti peredaran masa dari satu detik kepada detik lainnya.

Dua ayat awal tersebut merupakan satu metafora bagi menggambarkan betapa pentingnya tulisan Jawi di Johor pada suatu ketika dahulu, terutamanya sekitar dekad akhir kurun ke-19 hingga memasuki separuh abad kurun ke-20 Masihi.

Tidak hanya dalam urusan pentadbiran, akan tetapi peranan tulisan Jawi tersebut turut singgah di ruangan sosial masyarakat baik di kawasan bandar mahupun di lapangan desa.

Oleh itu, coretan rencana ringkas ini cuba untuk mengambil tempat bagi membicarakan soal signifikannya perkara itu dari alur retrospektif buat tatapan dan kefahaman generasi kini. Biar kita tambah kenal dan tahu tentang kefungsian aksara Jawi itu sendiri, bagai kata pepatah “Tak kenal maka tak cinta”.

Bermulanya baris bicara di sini, tulisan Jawi ingin dilihat sebagai wadah yang mengungkapkan undang-undang tertinggi buat Kerajaan Johor moden menerusi terbentuknya sebuah perlembagaan. Jika huruf serta bahasa Arab pernah digunakan dalam penggubalan Sahifah Madinah, manakala bahasa Inggeris dengan huruf Roman telah merakam Perlembagaan Amerika Syarikat pada 1789, bahasa Melayu bertulisan Jawi pula telah menzahirkan Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor (UTKJ) 1895.

Hal ini memperlihatkan betapa tulisan Jawi dan bahasa Melayu telah berjaya diangkat ke peringkat prestij yang tertinggi dalam instrumen komunikasi pentadbiran kerajaan. Di atas kertas, tulisan itu telah disusun sebagai rangkai kata bagi menjelaskan 57 fasal dalam UTKJ yang mengandungi perkara yang berkaitan dengan ketinggian Islam, perihal rakyat, kedudukan sultan dan para pembesar dalam satu keterikatan antara satu sama lain.

Di luar teks pula, hal tersebut menggambarkan bahawa satu formulasi idea telah pun tercipta oleh para pembesar Melayu Johor di bawah pentadbiran Maharaja Abu Bakar (1862-95) untuk menggubal sebuah perlembagaan yang mencerminkan identiti Kerajaan Johor. Sekaligus hal itu mengisyaratkan bahawa wujudnya keharmonian dan kemakmuran di Johor, malahan turut menunjukkan betapa tulisan Jawi berperanan penting ketika itu bagi memperlihatkan hubungan antara pemerintah dengan rakyat seperti aur dengan tebing.

Selain itu, Wasiat Maharaja Abu Bakar kepada anakanda baginda, iaitu Sultan Ibrahim juga ditulis dengan tulisan Jawi tatkala baginda sedang gering. Wasiat sepanjang empat halaman itu antara lainnya mengandungi pesanan supaya Sultan Ibrahim melaksanakan pemerintahan dengan adil, mengurus harta secara cermat di samping berpegang kepada ajaran Islam.

Hal ini membawa kita berfikir sejenak bahawa tradisi berwasiat seperti ini pernah tercatat dalam kesultanan Melayu sebelum itu. Sebagai contoh, manuskrip Hikayat Raja Pasai pernah menyatakan bahawa adanya wasiat oleh Sultan Malik Al-Zahir, manakala catatan dalam SulalatusSalatin pula menjelaskan bahawa Sultan Alauddin Riayat Shah pun berwasiat kepada anakanda baginda agar menegakkan keadilan.

Mengenai Wasiat Maharaja Abu Bakar tadi, teks berkenaan menjadi istimewa kerana telah membuktikan bahawa tulisan Jawi masih bertahan dan dijadikan pilihan. Biarpun Kerajaan Johor pada masa itu dikatakan sedang mengalami asakan proses pembaratan dan pemodenan, tetapi penggunaan tulisan Jawi masih tidak tergugat sebagai lambang jati diri bangsa. Jauh daripada itu, baginda telah mempamerkan suri teladan kepada rakyat bahawa penggunaan tulisan Jawi dan bahasa Melayu telah pun diamalkan di peringkat yang tertinggi.

Bagai cincin dengan permata, begitulah perumpamaan yang dapat dibuat apabila tulisan Jawi menjadi medium bagi menampung gagasan hukum-hakam yang berasaskan syariat Islam tatkala Kerajaan Johor menempuh arus pemodenan. Lahirnya majalah Ahkam Johor yang merupakan bukti bagi kenyataan ini apabila naskhah tersebut dicetak dalam bahasa Melayu bertulisan Jawi semasa Syed Abdul Kadir Mohsin Al-Attas menjawat jawatan Mufti Kerajaan Johor yang ketiga.

Secara asasnya, majalah Ahkam ini merupakan terjemahan kitab undang-undang yang berkaitan dengan Islam berdasarkan mazhab Hanafi daripada Kerajaan Uthmaniyyah yang disesuaikan dengan Mazhab Syafi’i.

Persoalannya, adakah hasil terjemahan ke dalam tulisan Jawi ini menerima sambutan masyarakat? Jawapannya ya kerana naskhah bertulisan Jawi itu telah diperluaskan untuk masyarakat melalui cara penjualan menerusi pejabat-pejabat kadi daerah.

Tidak terhad setakat itu, kandungan majalah Ahkam ini turut diajarkan di sekolah agama di Johor sekitar tahun 1930-an yang membabitkan pengisian yang berkaitan dengan muamalat serta ibadat dan dokumen terbabit masih tersimpan di Arkib Johor dengan kod J/UG X. Ternyata bahawa pihak pentadbir Johor waktu itu tidak bertepuk sebelah tangan kerana masyarakat menyambut baik hasil terjemahan kitab berkenaan dalam tulisan Jawi.

Jika pada hari ini lagu negeri Johor dikenali dengan tajuk Bangsa Johor, akan tetapi pada tahun 1917, terdapat satu lagi perkara yang dinamai sebagai Doa Bangsa Johor. Doa tersebut ditulis dengan tulisan Jawi dalam bahasa Melayu yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam bagi memohon limpah kebaikan di samping perlindungan daripada Allah.

Hal ini menunjukkan bahawa tulisan Jawi masih mempunyai tempat dalam pentadbiran Kerajaan Johor meskipun ketika itu Sir Douglas Campbell telah dilantik sebagai Penasihat Am British. Lazimnya banyak perkara akan berubah sekiranya pihak British sudah mula campur tangan terhadap satu-satu pentadbiran kerajaan, tetapi hal itu tidak berlaku dalam isu tulisan Jawi ini apabila masih digunakan.

Situasi terbabit dari satu segi turut memberikan gambaran tentang fungsi tulisan Jawi ke atas sebuah dokumen aktif pada masa itu. Mengapakah dikatakan sebagai dokumen aktif? Hal ini kerana Doa Bangsa Johor itu sendiri kerap dibaca selepas solat Jumaat, serta hari-hari kebesaran di Johor yang menandakan mesej dan kandungannya sampai kepada masyarakat.

Yang berikut merupakan sedikit petikan daripada doa tersebut, iaitu:

Kepada sekalian rakyat dan lain-lainnya,

Sampaikan dia pada setinggi-tinggi mulia,

Dan lemahkan oleh-Mu yang dengki-dengki,

Memeliharai rakyat serta memarakan,

Dengan merdaheka serta persetujuan,

Sejahtera daripada kehinaan dan perbantahan.

Di sekolah-sekolah agama, tulisan Jawi tetap menjadi pilihan untuk dijadikan alat ilmiah bagi mendidik kanak-kanak di Johor. Kitab-kitab agama telah tersedia dalam tulisan terbabit dengan melibatkan mata pelajaran seperti tauhid, ibadat, tasawuf, adab, muamalat, sirah dan munakahat mengikut peringkat umur murid, iaitu dari darjah satu hingga darjah enam.

Bukan itu sahaja, kitab tentang ilmu tauhid, iaitu Matla’ Al-Badrain yang asalnya dalam bahasa Arab turut diterjemahkan kepada bahasa Melayu dengan tulisan Jawi menerusi inisiatif Mufti Keempat Kerajaan Johor, Sayyid Alwi Syeikh Tahir Al-Haddad pada tahun 1934 untuk diajarkan kepada murid-murid. Sekali lagi tulisan Jawi telah dijadikan sebagai aksara yang menampung gagasan ilmu pengetahuan berteraskan Islam yang melangkaui dekad awal kurun ke-20.

Dari sudut lain, keadaan demikian menjelaskan bahawa tulisan Jawi benar-benar berfungsi dalam Islamisasi ilmu pengetahuan di Johor buat manfaat serta penyelesaian kemaslahatan masyarakat. Limpahan faedahnya tidak bersifat vertikal semata-mata, sebaliknya tumbuh melata secara horizontal dalam lapangan sosial masyarakat. Tulisan Jawi itu sendiri boleh diibaratkan seperti benih, iaitu “Kalau asal benih yang baik, jatuh ke laut menjadi pulau.”

Tidak mahu perbincangan di sini kelihatan deskriptif dalam naratif semata-mata, biarlah kita renungkan sebentar berhubung dengan perkara ini. Bagaimanakah tulisan Jawi memperoleh tempat sebegitu rupa? Sejauh manakah para pemerintah Johor berperanan dalam hal ini? Menjawabnya tidak sukar kerana terdapat keselarian antara tindakan golongan elit dengan golongan masyarakat berhubung dengan usaha untuk memartabatkan dan mempertahan tulisan Jawi.

Masyarakat di bandar dan desa menyambut baik dasar kerajaan tentang tulisan Jawi dan ditambah pula dengan keberadaan institusi seperti sekolah agama sebagai tempat pembelajaran. Sebalik perkara tersebut, kesemua perkara yang dinyatakan tadi memberikan gambaran betapa aktifnya kegiatan tulis-menulis dalam tulisan Jawi untuk manfaat pelbagai pihak. Jika kegiatan ilmiah itu hanya pasif, adalah mustahil untuk kita menyaksikan kewujudan dokumen serta teks yang diperincikan sebelum ini.

Sebagai rumusan, tulisan ringkas yang diperturunkan di sini adalah untuk mencuit sebentar perhatian kita supaya memikirkan perihal tulisan Jawi di Johor pada suatu waktu dahulu. Hal ini kerana banyak aspek dalam kerajaan ini yang mengangkat prestij tulisan Jawi baik di peringkat pentadbiran mahupun di ruangan sosial rakyat. Sekurang-kurang pada kesempatan ini kita telah menjejaki sekelumit tinggalan dalam catatan sejarah Johor melalui hubungannya dengan tulisan Jawi.

Adakah negeri lain tidak berbuat seperti mana Johor lakukan? Jawapan mengenainya boleh kita telusuri dalam wacana penulisan lain khususnya Terengganu dan Kedah, yang mengorak langkah ke arah pemodenan tatkala memasuki kurun ke-20. Cakupan bicara seperti ini setidak-tidaknya dapat menjadikan ulasan tentang sejarah ketinggian tulisan Jawi terus bernafas, bak kata pepatah “Tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas.”

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.