Tujuan utama bahasa adalah untuk memudahkan interaksi sesama manusia. Bahasa berperanan sebagai medium bagi manusia untuk meluahkan fikiran, perasaan, dan pendapat yang boleh difahami oleh orang lain. Bahasa tidak terhad kepada bentuk abjad tetapi juga dinyatakan dalam bentuk simbol, tanda, dan bunyi. Semua bentuk ini digunakan seseorang untuk bertukar-tukar fikiran dengan orang lain.
Dengan pertumbuhan pesat dalam perdagangan global, pendidikan merentas negara dan benua, serta penghijrahan penduduk merentas negara dari semasa ke semasa, hal ini mewujudkan keperluan untuk seseorang mempelajari pelbagai bahasa antarabangsa yang bersesuaian dengan keperluannya. Walau bagaimanapun, bahasa antarabangsa yang sentiasa menjadi perhatian penutur asing ini mungkin termasuk bahasa yang paling sukar untuk dipelajari di dunia.
Menurut kajian di Barat, dalam 7,000 bahasa yang disenaraikan di dunia, terdapat 10 bahasa yang paling sukar untuk dipelajari. Bahasa tersebut ialah Mandarin, Arab, Jepun, Korea, Hungary, Finland, Iceland, Poland, Turki dan Vietnam. Hal ini dikatakan demikian kerana tahap kesukaran mempelajari mana-mana bahasa tersebut bergantung pada struktur ayat, tatabahasa, dan pembentukan kata, bukan pada popularitinya.
Walau bagaimanapun yang menariknya, 10 bahasa yang paling sukar ini direkodkan sebagai antara bahasa yang paling popular digunakan di dunia. Bagaimanakah kajian ini mengklasifikasikan 10 bahasa tersebut sebagai bahasa yang sukar untuk dipelajari? Dipercayai bahawa kelompok bahasa ini memberikan cabaran yang unik untuk seseorang mempelajari bahasa tersebut kerana tatabahasa yang kompleks, sistem penulisan yang rumit, dan ciri linguistik yang pelbagai.
Sebagai contoh, bahasa seperti Mandarin mempunyai sistem tonal dan set aksara yang luas, hal ini menimbulkan kesukaran yang ketara bagi penutur bukan asli bahasa tersebut. Bahasa Arab pula terkenal dengan morfologi yang rumit dan skrip yang kompleks. Hal yang demikian juga dengan bahasa Jepun, iaitu bahasa yang dilengkapi dengan pelbagai sistem tulisan dan bernuansa yang seumpama dengan bahasa Korea yang memiliki struktur ayat dan kehormatannya yang unik.
Selain itu, bahasa seperti Finland, Hungary dan Iceland juga terkenal dengan tatabahasa yang kompleks dan serumpun yang terhad dengan bahasa lain. Hal ini memberikan halangan yang ketara kepada sesiapa sahaja, lebih-lebih lagi bagi pelajar asing yang baru berjinak-jinak untuk mempelajari bahasa tersebut.
Yang berikut diperincikan bahasa yang paling sukar untuk dipelajari:
Bahasa Mandarin
Bahasa ini digunakan secara meluas kerana China mempunyai populasi yang besar. Hal ini ditambah lagi dengan terdapatnya populariti bahasa Mandarin yang semakin meningkat di seluruh dunia yang menjadikan bahasa ini antara bahasa yang paling popular untuk dipelajari.
Bukti sejarah asal usul bahasa ini didapati berkaitan dengan abad ke-20. Sebaik-baik sahaja Republik China dibentuk, usaha untuk menetapkan bahasa rasmi telah dimulakan yang berakhir pada tahun 1932 dengan penubuhan bahasa Mandarin sebagai bahasa rasmi negara tersebut.
Bahasa Mandarin sama sekali berbeza daripada bahasa yang biasa digunakan seperti bahasa Inggeris, Perancis dan Sepanyol. Bahasa ini banyak bergantung pada nada suara penuturnya. Terdapat kira-kira empat nada di mana setiap perkataan Mandarin dituturkan. Setiap nada memberikan makna yang berbeza terhadap perkataan yang sama. Selain itu, bahasa ini juga banyak berasaskan simbol atau gabungan simbol. Dianggarkan bahawa terdapat lebih daripada 1,000 simbol untuk dipelajari.
Bahasa Arab
Bahasa ini dituturkan secara meluas di negara Islam. Lebih penting lagi, kitab suci al-Quran ditulis dalam bahasa Arab.
Bukti berkaitan dengan asal usul dan penggunaan bahasa Arab menunjukkan bahawa bahasa ini telah digunakan sejak abad kelapan yang menjadikan bahasa Arab sebagai satu daripada bahasa tertua di dunia. Dipercayai bahawa tidak ada persamaan antara bahasa Arab dengan bahasa lain di dunia.
Selain itu, tidak ada mana-mana bahasa yang ditulis dari kanan ke kiri kecuali bahasa Arab. Tatabahasa Arab juga agak berbeza daripada bahasa Inggeris serta sistem bahasa yang lain. Bahasa ini sangat sensitif dari segi sebutannya. Sebagai contoh, dua perkataan yang bunyinya agak serupa mungkin mempunyai makna yang berbeza hanya kerana beberapa perbezaan kecil dalam sebutan.
Bahasa Jepun
Bahasa ini sama sekali berbeza daripada semua bahasa lain di dunia. Bahasa Jepun kedengaran sangat sopan sama seperti identiti bangsa Jepun itu sendiri. Walaupun merupakan bahasa yang paling sukar, bahasa Jepun telah meraih populariti dalam kalangan rakyat di kebanyakan negara di dunia kerana kekaguman mereka terhadap Jepun dan budayanya.
Bahasa ini didapati telah digunakan pertama kalinya pada abad kelapan. Sejak itu, bahasa ini mengalami pelbagai perubahan demi perubahan. Keunikan bahasa ini meningkatkan kerumitannya. Terdapat tiga aksara yang penting, iaitu Hiragana, Katakana, dan Kanji yang perlu dipelajari untuk mencapai kelancaran dan pemahaman dalam bahasa ini.
Hiragana dan Katakana merupakan abjad fonik. Hiragana dan Katakana tidak mempunyai makna sendiri, namun kedua-duanya perlu digabungkan dengan huruf lain untuk membentuk perkataan.
Sementara itu, Kanji berdasarkan simbol Cina. Oleh itu, agak mencabar untuk mengekalkan keseimbangan dan pemahaman bahasa ini semasa menulisnya. Bahasa Jepun juga sensitif dari segi pertuturannya. Bahasa ini mempunyai pelbagai jenis ucapan dari peringkat yang berbeza yang boleh membezakan perbualan formal kepada percakapan secara santai. Oleh itu, seseorang perlu bijak semasa menuturkannya.
Bahasa Korea
Meskipun bahasa ini turut dianggap antara bahasa yang paling sukar untuk dipelajari, namun bahasa ini telah mendapat populariti besar kerana “demam” drama Korea dan kumpulan pemuzik/artis Korea (K-Pop) yang melanda di seluruh dunia. Bahasa Korea moden telah digunakan oleh penduduk di negara tersebut sejak abad ke-16 hingga kini.
Hangul digunakan sebagai sistem abjad dalam bahasa Korea. Hangul merupakan sebutan untuk huruf dalam bahasa Korea yang dicipta oleh Raja Sejong pada tahun 1443. Sebelum terciptanya Hangul, masyarakat Korea menggunakan karakter Cina, iaitu Kanji. Kemudian, Raja Sejeong akhirnya menyebarkan aksara Hangul untuk memudahkan pelafalannya.
Struktur ayat dalam bahasa ini mengikut pendekatan subjek–objek–kata kerja. Oleh itu, mempelajari bahasa ini sememangnya memerlukan latihan yang hebat untuk memahaminya. Meskipun banyak kata pinjaman yang sering digunakan semasa bercakap, bahasa ini nampaknya sangat berbeza daripada bahasa yang lain.
Bahasa Hungary
Bahasa ini berbeza sama sekali daripada bahasa Eropah yang lain. Sebanyak 26 abjad dan peraturan tatabahasa yang kompleks menjadikan bahasa ini agak sukar untuk dipelajari. Bahasa ini secara rasmi dipanggil “Maygar”.
Bahasa Hungary atau Maygar merupakan bahasa yang berasal dalam kalangan suku nomad dari Asia dan Eropah. Lama-kelamaan, pengaruh pelbagai budaya dan bahasa lain telah mengisi bahasa ini dengan pelbagai perbendaharaan kata.
Dalam bahasa ini, banyak komponen tatabahasa boleh ditambah dalam perkataan yang mempengaruhi makna perkataan dalam ayat. Oleh itu, satu perkataan kecil boleh menjadi rumit dan digunakan dalam keadaan yang berbeza. Bahasa ini mempunyai sebanyak 44 abjad, sembilan vokal dan 17 peraturan yang menjadikan bahasa ini sedikit mencabar sukar untuk dipelajari.
Bahasa Hungary adalah berdasarkan bahasa Uralic, tetapi mempunyai pengaruh yang besar terhadap bahasa lain yang membawa kepada perbezaan yang besar dalam mentafsir bahasa kepada bukan penutur asli.
Pada hakikatnya, semua bahasa di dunia ini pasti sukar untuk dipelajari, khususnya oleh penutur asing. Maka itu, mempelajari sesuatu bahasa haruslah menggunakan teknik yang betul agar pembelajarannya mudah difahami dan akhinya bahasa tersebut mampu dikuasai. Dalam dunia moden yang berasaskan sains dan teknologi, semua perkara di dunia ini semakin mudah untuk didekati.
Hal yang sedemikian juga dengan bahasa. Suatu ketika dahulu, pelancong memerlukan pemandu pelancong untuk memudahkan komunkasi di negara asing yang dilawati. Namun demikian, hal itu tidak lagi menjadi keutamaan kerana aplikasi terjemahan sudah berada di hujung jari. Hampir semua bahasa utama di seluruh dunia dapat diterjemahkan dalam sekelip mata menggunakan banyak aplikasi percuma di telefon pintar. Hal yang sama dengan mempelajari bahasa asing. Mana-mana bahasa utama di dunia boleh dipelajari secara percuma menerusi pelbagai medium. Sukar atau sebaliknya hal itu sebenarnya bergantung pada diri masing-masing, jika ada tekad yang bulat untuk menguasi bahasa Mandarin atau Jepun, pastinya hal itu akan disulami dengan usaha yang bersungguh-sungguh.
Pernahkah kita terfikir, bagaimanakah seseorang itu mampu menguasai banyak bahasa? Hal itu tentulah tidak akan datang bergolek.