Oleh Kho Thong Eng
9 Julai 2024, 13:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ragam bahasa melibatkan manipulasi atau penyusunan kata dengan pelbagai gaya dan bentuk untuk menyatakan sesuatu berdasarkan tujuannya. Pengolahan susunan kata ini bergantung pada kreativiti dan imaginasi seseorang, dan biasanya tidak tetap seperti peribahasa. Ragam bahasa bersifat tersirat, iaitu maksudnya tidak dinyatakan secara terus terang, tetapi masih dapat difahami oleh seseorang pendengar atau pembaca.

Terdapat 15 ragam bahasa dalam bahasa Melayu. Hal ini telah dinyatakan oleh Pendeta Za’ba dalam bukunya, Ilmu Mengarang Melayu, seperti yang berikut:

  1. Bahasa sindiran
  2. Bahasa menggiat
  3. Bahasa mengejek
  4. Bahasa terbalik
  5. Bahasa merajuk
  6. Bahasa tempelak
  7. Bahasa herdik
  8. Bahasa besar atau melampau dan bahasa kecil
  9. Bahasa naik dan bahasa turun
  10. Bahasa pertanyaan ingkar
  11. Bahasa seruan atau keluhan
  12. Bahasa berulang
  13. Bahasa bertimbal
  14. Bahasa bukan
  15. Bahasa jenaka

Bahasa sindiran ialah bahasa yang tidak dinyatakan secara terus terang, tetapi dikiaskan kepada perkara lain dengan nada sindiran. Bahasa ini mendatangkan kesan yang lebih dalam jika difahami maksudnya. Tujuannya ialah membetulkan keadaan atau diri seseorang. Adakalanya bahasa sindiran disampaikan dalam bentuk pantun. Sila lihat contoh yang berikut:

1a.  Orang yang sudah berpangkat besar takkan nak bercampur dengan orang biasa macam kita.

1b.  Apa gunanya bergaji besar kalau sumbangan tak seberapa?

Bahasa menggiat ialah bahasa yang digunakan untuk mengusik seseorang. Adakalanya bahasa ini mungkin mendatangkan perasaan malu kepada orang yang ditujuinya. Sila lihat contoh yang berikut:

2a.  Amboi, sudah tua masih ada hati nak berkahwin lagi!

2b.  Eh! Dah kaya raya takkan nak makan pucuk ubi juga!

Bahasa mengejek ialah bahasa yang menyentuh keburukan atau kelemahan seseorang serta mempermainkannya supaya orang itu menjadi bahan ketawa kepada orang lain. Bahasa serupa ini menimbulkan kemarahan dan sakit hati pada orang yang diejek. Sila lihat contoh yang berikut:

3a.  Kalau tak pandai, usahlah memandai-mandai!

3b.  Inikah yang dikatakan kawan? Kawan makan kawan?

Bahasa terbalik ialah bahasa yang kata-katanya mempunyai maksud yang bertentangan dengan maksud sebenar yang hendak disampaikan. Sila lihat contoh yang berikut:

4a.  Tak usahlah nak tolong. Biar saya buat seorang diri!

4b.  Berbelanjalah puas-puas. Takkan duit kita habis!

Bahasa merajuk ialah bahasa yang menunjukkan rasa kecil hati kerana seseorang beranggapan bahawa sudah berlaku perkara yang tidak wajar. Sila lihat contoh yang berikut:

5a.  Baiklah, kamulah yang putuskan semuanya. Manalah saya tahu apa-apa!

5b.  Kita kan melukut di tepi gantang? Siapalah sudi melayan kita?

Bahasa tempelak ialah bahasa yang menyentuh kesalahan yang terdahulu. Tujuannya untuk menyedarkan seseorang agar dia beringat-ingat pada masa depan. Sila lihat contoh yang berikut:

6a.  Dulu kata peperiksaan senang. Tak payah belajar. Habis, kenapa gagal sekarang?

6b.  Dulu beria-ia nak ke bandar. Sekarang kenapa balik lagi ke kampung?

Bahasa herdik ialah bahasa yang kasar dan bernada ejekan. Bahasa ini menyentuh kesalahan pada waktu itu juga. Sila lihat contoh yang berikut:

7a.  Kalau makan pun tak cukup, buat apa kita nak beli kereta?

7b.  Kalau tak nak tolong, buat apa kamu hadir?

Bahasa besar atau melampau ialah bahasa yang menyatakan sesuatu secara berlebihan (lihat ayat 8a di bawah). Bahasa kecil atau merendah pula menyifatkan sesuatu itu kecil untuk merendah diri (lihat ayat 8b di bawah).

8a.  Hatinya sedih bagaikan dunianya sudah runtuh.

8b.  Sudi apalah kiranya menjamah hidangan yang tidak sepertinya ini.

Bahasa naik ialah bahasa yang menggambarkan sesuatu daripada tahap yang rendah kepada tahap yang tinggi secara berterusan (lihat ayat 9a di bawah). Bahasa turun ialah bahasa yang menggambarkan sesuatu daripada tahap yang tinggi kepada tahap yang rendah secara berterusan (lihat ayat 9b di bawah).

9a.  Mula-mula kucingnya mati, kemudian rumahnya kecurian dan seterusnya isterinya menuntut cerai.

9b.  Orang yang tidak bersalah ditangkap, dikurung, diseksa dan akhirnya dibunuh.

Bahasa pertanyaan ingkar bukan pertanyaan untuk mendapatkan jawapan, tetapi pertanyaan untuk mengejek atau menguatkan maksud yang hendak disampaikan (lihat ayat 10a di bawah). Adakalanya pertanyaan itu dijawab sendiri oleh orang yang bertanya (lihat ayat 10b di bawah).

10a.  Adakah kita patut membiarkan alam terus tercemar?

10b.  Bagaimanakah kita dapat hidup senang? Tentulah dengan berusaha.

Bahasa seruan atau keluhan ialah bahasa untuk meluahkan perasaan tertentu tanpa menghabiskan kata-katanya. Sila lihat contoh yang berikut:

11a.  Alahai, kalaulah aku mendapat kerja esok!

11b.  Aduhai, wang dah habis, kawan pun lari!

Bahasa berulang ialah bahasa yang diulang untuk menguatkan maksud yang hendak disampaikan. Sila lihat contoh yang berikut:

12a.  Beli, beli, belilah sementara stok belum habis!

12b.  Cukup, cukup, cukuplah setakat ini sahaja!

Bahasa bertimbal ialah dua pemikiran pendek yang bertentangan dari segi isi dan mendukung maksud yang tersirat.Bahasa ini biasanya terdapat dalam peribahasa. Sila lihat contoh yang berikut:

13a.   Alah membeli menang memakai

13b.   Makin murah makin menawar

Bahasa bukan menggunakan kata bukan untuk menidakkan maksud yang disampaikan (lihat ayat 14a di bawah). Walau bagaimanapun, jika ada dua kata negatif, maksudnya menjadi positif (lihat ayat 14b di bawah).

14a.  Bukan mudah untuk memikat hatinya.

14b.  Bukan dia tidak sudi datang.

Bahasa jenaka ialah bahasa dengan dua makna untuk bergurau. Sila lihat contoh yang berikut:

15a.  Setinggi-tinggi manusia berapa kaki? (Jawapan: dua kaki)

15b.  Buaya apa yang tidak makan bangkai? (Jawapan: buaya darat)

Adanya pelbagai ragam bahasa dan bahasa kiasan menawarkan seribu satu kemungkinan untuk kita memanipulasikan bahasa ke arah penyampaian maksud yang tepat lagi berkesan dari segi pragmatik.

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.