Diterbitkan pada 12 Julai 2024, 19:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi bagi negara Malaysia. Hal ini selaras dengan Perkara 152 yang termaktub dalam Perlembagaan, iaitu bahasa Melayu ialah bahasa rasmi. Dalam hal ini, bahasa Melayu digunakan dalam urusan rasmi, seperti surat-menyurat antara badan kerajaan, perbincangan dalam Parlimen dan pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

Di Malaysia, bahasa Melayu bukan sahaja dikuasai oleh orang Melayu, tetapi penutur bukan natif, seperti orang Cina dan orang India, turut menguasainya. Penguasaan bahasa Melayu oleh penutur bukan natif ini memberikan keistimewaan dan kelebihan kepada golongan ini dari pelbagai aspek. Dengan kelebihan ini, penutur bukan natif ini dapat menjadi ejen pemartabatan bahasa Melayu di Malaysia dan di luar negara.

Satu daripada keistimewaan penguasaan bahasa Melayu oleh penutur bukan natif ialah kemudahan laluan kerjaya. Hal ini dikatakan demikian kerana penguasaan bahasa Melayu, terutamanya dari segi pertuturan, dapat membantu penutur bukan natif dalam bidang lakonan. Contohnya, Daniel Fong, seorang pelakon Cina yang fasih berbahasa Melayu terpilih untuk melakonkan watak utama dalam drama Melayu terbitan TV3 yang berjudul Bintang. Hasilnya, Daniel Fong berjaya menembusi pasaran Melayu dalam bidang lakonan.

Oleh itu, jelaslah bahawa keistimewaan penguasaan bahasa Melayu oleh penutur bukan natif dapat membuka laluan kerjaya bagi dirinya. Bagi penonton yang menonton lakonan penutur bukan natif ini sedikit banyak, wujud rasa keterujaan untuk turut bersama-sama mempelajari bahasa Melayu sehingga mahir seperti penutur bukan natif tersebut.

Selain itu, penutur bukan natif yang menguasai bahasa Melayu dapat memahami nilai dan budaya masyarakat Melayu. Hal ini dikatakan demikian kerana pembelajaran bahasa Melayu tidak dapat dipisahkan daripada adat tradisi dan budaya masyarakat Melayu.

Secara terperincinya, nilai budaya masyarakat Melayu mementingkan kesopanan ketika bergaul dengan orang lain kerana bahasa Melayu dapat menonjolkan peradaban dan kesusilaan. Dengan erti kata lain, penutur bukan natif bukan sahaja dapat mempelajari tatabahasa dan perbendaharaan kata bahasa Melayu, malah nilai murninya.

Maka itu, secara tidak langsung, nilai dan budaya masyarakat Melayu dapat diterapkan dalam kalangan penutur bukan natif. Nilai dan budaya murni ini dapat digunakan oleh penutur bukan natif dalam pergaulan sehariannya. Oleh itu, orang yang berkomunikasi dengan penutur bukan natif yang menguasai bahasa Melayu ini dapat melihat dan memahami nilai dan budaya masyarakat Melayu.

Dari aspek bahasa itu sendiri, penutur bukan natif yang menguasai bahasa Melayu dengan baiknya mampu memartabatkan bahasa ini pada tahap yang lebih tinggi. Hal ini berlaku apabila penutur natif yang terdiri daripada pelajar luar negara yang belajar di Malaysia perlu menguasai bahasa Melayu. Apabila mempelajari bahasa Melayu, pelajar luar negara ini berpeluang untuk bertutur dalam bahasa ini ketika melaksanakan segala aktiviti hariannya. Secara tidak langsung, bahasa Melayu dapat dipraktikkan dalam kehidupan seharian pelajar luar negara.

Impaknya, bahasa Melayu dapat dijadikan medium untuk pembelajaran dan pengantaraan dalam kalangan pelajar luar negara. Sehubungan dengan itu, penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan penutur bukan natif yang terdiri daripada pelajar luar negara ini dapat ditingkatkan. Apabila keadaan ini berlaku, penutur bukan natif ini berpeluang untuk memartabatkan bahasa Melayu.

Di samping itu, penutur bukan natif yang menguasai bahasa Melayu juga dapat meningkatkan imej negara. Hal ini dikatakan demikian kerana bahasa Melayu yang dikuasai oleh penutur bukan natif memberikan kelebihan kepada dirinya untuk memenangi pertandingan yang menggunakan bahasa Melayu pada peringkat antarabangsa.

Contohnya, Nargiza Ortikova Amirdin Qizi dari Uzbekistan muncul sebagai johan dalam Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2021. Kemenangannya menunjukkan bahawa penutur bukan natif bukan sahaja dapat menguasai bahasa Melayu dengan baiknya, malah cukup baik sehingga dinobatkan sebagai juara dalam pertandingan berbahasa Melayu.

Menerusi keadaan ini, tidak hairanlah apabila penggunaan bahasa Melayu oleh penutur asing dalam pertandingan antarabangsa ini dapat menonjolkan bahasa Melayu pada peringkat antarabangsa. Malah, imej negara yang diwakilinya juga dapat diangkat menerusi penggunaan bahasa Melayu dalam pertandingan yang disertainya.

Selanjutnya, penutur bukan natif yang menguasai bahasa Melayu mampu mengembangkan potensi penggunaan bahasa Melayu pada peringkat antarabangsa. Hal ini berlaku apabila penutur bukan natif yang bukan terdiri daripada rakyat Malaysia kembali ke negara masing-masing, seterusnya kekal menggunakan bahasa Melayu di negara asal mereka.

Kesan potensi penggunaan bahasa Melayu pada peringkat antarabangsa ini lebih signifikan apabila bahasa Melayu dijadikan bahasa ilmu di serata dunia, terutamanya sebagai bahasa asing di universiti di luar negara. Akhirnya, penutur asing yang mempelajari bahasa Melayu di Malaysia dapat menyumbang bakti sebagai pengajar bahasa Melayu di institusi pendidikan di negara masing-masing.

Kesimpulannya, terdapat banyak keistimewaan apabila penutur bukan natif menguasai bahasa Melayu berdasarkan penerangan yang diberikan ini. Dalam hal ini, bukan sahaja ilmu tentang bahasa Melayu itu dapat dipelajari, malah penutur bukan natif yang tersebar di seluruh dunia ini menjadi ejen tidak rasmi bagi pemartabatan dan pengantarabangsaan bahasa Melayu yang mampu meningkatkan jumlah penutur bahasa Melayu di luar negara. Secara tidak langsung, jumlah penutur bukan natif yang berjaya menguasai bahasa Melayu dapat ditingkatkan walaupun tidak berpeluang untuk datang ke Malaysia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi